JUMAAT, 15 DISEMBER – Kontinjen Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedia menggalas cabaran untuk mempertahankan kejuaraan Sukan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Sabah Kali ke-2 Piala YB Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching yang akan bermula esok.

UMS yang menjuarai kejohanan sama pada tahun lalu menghantar seramai 87 atlet dan pegawai yang akan menyertai kesemua enam jenis sukan yang dipertandingkan. 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali ketika berucap pada majlis penyerahan bendera kontinjen berkata, kejohanan sukan itu akan menjadi medan pengukur prestasi setiap atlet yang bertanding bagi pemilihan atlet untuk kejohanan-kejohanan sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Sukan IPT Kebangsaan dan Sukan MASUM.

“Saya percaya kontinjen UMS tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kejuaraan memandangkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

“Berikan saingan terbaik, bersaing atas semangat kesukanan dan gandakan usaha agar kita dapat mengatasi pencapaian pada edisi temasya sebelum ini,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Prof. Dr. Ismail dan Pengarah Pusat Sukan UMS, Mohd. Asyraaf Fong Abdullah serta pegawai-pegawai sukan UMS menyaksikan bacaan ikrar yang diketuai oleh Ketua Pasukan Bola Sepak UMS, Izzudin Irfan, serta menyampaikan pakej kepada ketua pasukan bagi setiap kategori sukan. 

Kejohanan Sukan IPT Sabah Kali Ke-2 Piala YB Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching berlangsung selama dua hari dengan mempertandingkan enam jenis sukan iaitu Bola Sepak, Futsal, Sepak Takraw, Bola Tampar Pantai, Bola Jaring, dan Bola Keranjang.

Temasya sukan yang akan disertai lebih 20 IPT di Sabah itu akan dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching di UMS Arena, esok.

KHAMIS, 14 DISEMBER – Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam bermula kelmarin.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, seminar itu merupakan medan penyampaian ilmu yang diperoleh hasil penyelidikan untuk tujuan perkongsian bersama.

“Saya pasti warga seminar maklum betapa teknologi sangat berpengaruh dalam dunia pendidikan masa kini dan bersedia mendepani cabaran serta transformasi dalam Pendidikan Tinggi 4.0.

“Saya juga menaruh keyakinan setiap Universiti Awam kini berada pada landasan yang betul dalam memacu perkembangan pendidikan di negara ini,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail di Auditorium Perpustakaan UMS.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr. Siti Hamisah Tapsir dalam ucapan perasmiannya berkata, universiti harus bersedia menghadapi cabaran revolusi industri 4.0 khususnya dalam mendidik anak-anak generasi digital yang berbeza dengan generasi terdahulu seiring dengan perkembangan dunia teknologi dan komunikasi.

“Para pensyarah tidak lagi tertumpu hanya mengajar di dewan kuliah tetapi perlu lebih kreatif dan berperanan sebagai kurator dalam pengetahuan teras bagi memastikan keberkesanan sistem pembelajaran dalam menghadapi Pendidikan Tinggi 4.0,” katanya.

Seminar selama dua hari itu disertai 150 pensyarah pendidikan dari seluruh Universiti Awam.

Turut hadir, Dekan FPP UMS, Prof. Dr. Mohd. Dahlan Hj. A. Malek.

 

 

KHAMIS, 14 DISEMBER – Seramai 100 peserta daripada pelbagai etnik dan anutan agama hadir menjayakan Forum Harmoni 1Malaysia yang dianjurkan dengan gabungan kerjasama Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS), Belia Harmoni Alamesra, dan Hidayah Centre Foundation, Kota Kinabalu.

Dengan tajuk ‘Kedamaian dan Kebahagian Pelbagai Agama’, forum itu diadakan bertempat di Auditorium Perpustakaan UMS, baru-baru ini.

Pengarah PIUMS, Prof. Madya Dr. Muhamad Suhaimi Taat berkata, forum itu antara lain bertujuan untuk menyampaikan konsep kedamaian dan kebahagiaan menurut kitab agama masing-masing serta menjelaskan tentang pemahaman masyarakat terhadap kepelbagaian agama di dunia.  

“Melalui forum ini, kita dapat duduk bersama-sama serta dapat memupuk keharmonian dan melahirkan masyarakat seimbang dengan mengetahui dan berinteraksi dengan mereka yang berlainan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan forum berkenaan.

Forum sehari itu menyaksikan seramai tiga ahli panel terlibat, iaitu Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Haji Nicholas Sylvester; Ketua Rahib Mettiyarama Centre Kota Kinabalu, Bhante Jotipala; dan Ahli Aktif Kuil Sri Pasupathinath Kota Kinabalu, Dr. Shargunandass Iynam.

 

 

KHAMIS, 14 DISEMBER -  Lebih 70 kanak-kanak berusia antara 4 hingga 6 tahun dari Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan beberapa sekolah di sekitar Kota Kinabalu turut menjayakan program myTREEvolution anjuran Bahagian Hubungan Industri, Kementerian Pendidikan Tinggi (BHI-KPT) menerusi CEO@Faculty Programme 2.0 di Kompleks Perhutanan, Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) kelmarin.

Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus UMS, Prof. Madya Dr. How Siew Eng, yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin ketika ditemui pada majlis tersebut berkata, penglibatan UMS dalam program seumpama ini selaras dengan hasrat universiti bagi mewujudkan kesedaran alam sekitar, pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai EcoCampus dalam kalangan generasi baru di rantau ini.

“Program ini bukan sahaja membolehkan golongan cilik ini mendekati alam sekitar, tetapi juga membimbing mereka secara holistik untuk memberikan pendekatan yang lebih tepat mengenai program penghijauan bumi.

“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai kehijauan bumi dan menyediakan wadah terbaik untuk perkongsian pengetahuan dan kerjasama antara universiti awam dan agensi-agensi kerajaan dan swasta,” katanya.

Tambah beliau, pada masa ini, kebanyakan penyertaan aktiviti penanaman pokok berakhir sebagai 2T sahaja, iaitu tanam dan tinggal, yang semestinya memberikan natijah yang palsu mengenai usaha Pelan Pemulihan dan Restorasi kawasan hutan dan hijau seperti yang digariskan dalam misi Jabatan Perhutanan.

Pada program tersebut, 100 pokok daripada spesies kapur paji, urat mata daun beludu dan seraya tembaga telah disumbangkan dan ditanam sebagai simbolik asas terhadap program myTREEvolution.

Kejayaan program tanam pokok ini merupakan usaha libat sama UMS bersama Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Agri-Biotech Marketing Sdn. Bhd., Malaysia Airport Berhad (Kota Kinabalu) dan Life Water Industries Sdn. Bhd. melalui myTREEvolution. Aktiviti ini turut digerakkan oleh 36 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar FSSA UMS, 10 staf MAB-KK dan staf Pusat Kecemerlangan EcoCampus, FSSA dan wakil CEO@Faculty Programme 2.0.

KHAMIS, 14 DISEMBER - Seramai 21 peserta berjaya menamatkan program SME@UMS dan diraikan pada Majlis Graduasi Program SME@UMS 2017 kali ke-3 yang berlangsung di Galeri Majlis Universiti Malaysia Sabah (UMS), kelmarin.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, pemilihan UMS sebagai salah sebuah universiti dalam pelaksanaan program SME@universiti adalah amat bertepatan untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan modal insan dan melahirkan pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bertaraf global.

“Program ini membantu membangunkan modal insan yang kreatif dan berinovatif dalam pengurusan perniagaan demi membangunkan pertumbuhan perniagaan dalam kalangan usahawan baharu dan sedia ada,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Profesor Madya Dr. Raman Noordin.

“Peningkatan ilmu pengetahuan dalam dunia keusahawanan tidak boleh diabaikan kerana perubahan persekitaran pasaran dan persaingan akan menjadi penghalang utama usahawan beraksi dalam pasaran global. Bagi mencapai matlamat ini, peningkatan ilmu pengetahun dan kemahiran dalam pengurusan perniagaan adalah perlu bagi membolehkan PKS memainkan peranan utama dalam merangsang pertumbuhan ekonomi untuk lebih berdaya saing,” tambahnya.

Terdahulu, Pengurus Kanan Malaysia Timur, Pembangunan Sumber Manusia SME Corporation, Tinah Anak Jerome menasihatkan agar para graduan mengambil peluang untuk menaik taraf perniagaan masing-masing dengan mengambil peluang selari dengan kewujudan industri 4.0.

“Para pengusaha harus sentiasa bersedia dengan perubahan persekitaran agar perniagaan anda sentiasa relevan, gunakan peluang industri teknologi untuk meluaskan lagi perniagaan anda,” ujarnya.

Program SME@Universiti adalah pembelajaran berstruktur untuk Ketua Eksekutif PKS berdasarkan modul dari University of Tokyo Jepun yang bersifat hands-on bagi memastikan usahawan mendapat ilmu pengetahuan yang terkini di pasaran.