RABU, 14 MAC 2018 - Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal memiliki ‘Teaching Resort’ dalam kampus hasil pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Traverse Tours Sdn. Bhd, menjadikannya sebagai universiti pertama di Malaysia yang akan menyediakan kemudahan tersebut.
MoA tersebut dimeterai dalam satu majlis di Fakulti Komputeran dan Informatik kelmarin, dengan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin mewakili UMS menandatangani dokumen perjanjian tersebut, manakala Traverse Tours Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dares Saham.
Turut menyaksikan majlis menandatangani dokumen antara kedua-dua pihak adalah Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi; Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeoh Boon Hai; dan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.
Melalui kerjasama tersebut, UMS bakal mempunyai resort yang menyediakan kemudahan 30 unit chalet berkonsepkan eco-friendly berserta kemudahan restoran dan spa dijangka mampu menarik para pelancong luar dan dalam negara menginap di tepi pantai di kelilingi suasana kampus.
Ini sekali gus dapat memberi latihan dan pengalaman industri secara terus kepada pelajar-pelajar jurusan perhotelan dan pelancongan UMS melalui bantuan pihak Traverse Tours Sdn. Bhd. yang berpengalaman dalam industri pelancongan selama hampir 30 tahun.
Dalam pada itu, Datuk D Kamarudin dalam satu kenyataan berkata, teaching resort tersebut bakal memberi nilai tambah yang tidak ternilai kepada para pelajar perhotelan dan pelancongan UMS bagi memenuhi pasaran kerja dan industri.
“Ini selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahu memperkasakan konsep industry in campus dengan membawa pihak industri bekerjasama dengan pihak universiti.
“Hasil kolaborasi bersama dengan pihak industri akan memberi nilai tambah dan kelebihan kepada bakal-bakal graduan khususnya dalam bidang pelancongan dan hospitaliti selain menyasarkan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya.
Teaching Resort tersebut bakal dibina berdekatan dengan bangunan FPEP serta berhampiran dengan pantai memberikan landskap resort yang menarik kepada bakal pelancong yang menginap di chalet yang akan disediakan nanti.



RABU, 14 MAC - UMS bakal memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) pada April depan bagi menjalin kerjasama erat dalam reka bentuk kayu dan perabot.
SELASA, 13 MAC – Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) menganjurkan Program Ziarah Ukhuwah PIUMS 2018 di Wad Onkologi Dewasa pesakit kanser lelaki dan perempuan, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kota Kinabalu baru-baru ini.
SELASA, 13 MAC - Pengaruh dadah boleh menjejaskan institusi kekeluargaan dan memusnahkan masa depan individu yang terlibat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif.
JUMAAT, 9 MAC -Berikutan perkembangan industri yang sangat kompetitif pada masa ini, kualiti penghasilan produk dan piawaian kualiti di negeri ini perlu diperhebat.