RABU, 5 OKTOBER – Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) telah mengadakan kunjungan hormat ke PUSPANITA Radio Televisyen Malaysia (RTM), Sabah hari ini.

Lawatan Muhibbah tersebut antara lain bertujuan mengeratkan hubungan antara kedua-dua organisasi ini melalui kelab wanita, dan memupuk hubungan baik dalam kalangan ahli-ahli kelab termasuk perbincangan tentang kerjasama dua hala.

PUSPANITA RTM Sabah diketuai oleh Setiausahanya, Raja Jamaliah Raja Mokhtar bersama beberapa orang ahli PUSPANITA menyambut delegasi KESUMBA seramai sembilan orang di perkarangan bangunan RTM.

Pengerusi KESUMBA Kampus Antarabangsa Labuan (KAL), Hayati Salleh Baihaki telah memberi taklimat tentang latar belakang KESUMBA termasuk aktiviti yang telah dijalankan pada tahun lepas.

Ahli-ahli kelab itu kemudian dibawa ke Bilik Berita, studio rakaman TV dan Studio Penyiaran SabahVfm dan Sabahfm.

Turut bersama dalam rombongan tersebut adalah Timbalan Yang Dipertua KESUMBA, Roha Asmara dan Ketua-ketua Biro KESUMBA yang lain. – FL

RABU, 5 OKTOBER – Kontinjen Polis Bantuan Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul naib johan pertandingan kawad istiadat perbarisan bagi kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi bersempena Hari Jadi Rasmi Ke-63 Yang Di-Pertua Negeri Sabah yang diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu Sabtu lalu.

Kontinjen Polis Bantuan UMS seramai 30 orang ahli yang diketuai oleh Pegawai Keselamatan UMS, Insp/PB Rakam Singh Karam Singh bersaing bersama-sama 82 kontinjen lain membabitkan kira-kira 3,000 peserta yang menyertai istiadat perbarisan tersebut.

Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan kontinjen UMS membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, piala dan sijil, yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan.

Pencapaian ini menyamai rekod kejayaan tahun lalu, apabila kontinjen UMS turut muncul naib johan bagi kategori IPTA/IPTS.

Sebanyak tujuh kategori perbarisan diadakan, dan antara pemenang utama setiap kategori adalah Penguat kuasa Jabatan Tanah dan Ukur (Kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi), Jabatan Kerja Raya (Kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi),Persatuan Bulan Sabit Merah Kota Kinabalu (Kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan), Kumpulan Yayasan Sabah (Kategori Swasta/Komersial), Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (Kategori IPTA/IPTS), SMK Agama Kota Kinabalu (Kategori Sekolah Menengah), dan SK St Francis Convent (Kategori Sekolah Rendah).

SELASA, 4 OKTOBER - Taklimat Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja (MPKFM) yang diadakan buat julung kalinya baru-baru ini berjaya menarik penyertaan 80 Pegawai Rekod dan Kakitangan Sokongan Bukan Akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bertempat di  Dewan Auditorium Pusat Pengajian Pascasiswah, taklimat tersebut dirasmikan  Ketua Bahagian Governan Jabatan Pendaftar, Talib Abdullah Shani mewakili Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj. Ahmad.

Dalam ucapannya Talib berkata, taklimat tersebut diharap dapat memberi ruang perkongsian ilmu berkaitan MPKFM untuk penambahbaikan dan diaplikasi di Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Unit (JFPIU) masing-masing.

“Fokus utama taklimat ini adalah untuk memberi kefahaman kepada peserta mengenai konsep dan standard yang digunakan dalam MPKFM seterusnya memudahkan proses dokumentasi panduan menjalankan tugas-tugas rasmi sesebuah organisasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster, Hasmi Hashim ketika ditemui berkata, kluster MPKFM salah satu daripada lima kluster diwujudkan di bawah JKIP UMS bertujuan memantapkan lagi tadbir urus di UMS.

“Ia selaras dengan usaha menyokong Pelan Strategik UMS Tahun 2013 – 2017 iaitu salah satu tujuan utama adalah memperkukuhkan tadbir urus, kepimpinan dan sistem penyampaian di UMS.

“Sehubungan itu, penganjuran taklimat MPKFM ini dilihat salah satu cabang bagi menyokong dan mencapai matlamat pelan yang telah dirancang,” ujarnya.

Selain sesi taklimat yang disampaikan penceramah jemputan, Penolong Pengarah Kanan MAMPU Sabah, Shahfri Abd. Muktah, turut diadakan sesi perkongsian ilmu bersama ahli kumpulan kluster MPKFM UMS.

Sumber : Kenny Uwai (FSSA)

JUMAAT, 30 SEPTEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa bersedia meneruskan komitmen dan kerjasama bersama agensi penguatkuasa khususnya dalam agenda pembangunan lestari sumber marin.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, UMS sememangnya telah mengikuti “Higher Education Sustainability Initiative (HESI)” melalui pengenalan kepada konsep pembangunan lestari, menggalakkan penyelidikan mengenai isu-isu pembangunan lestari, penghijauan kampus, dan menyokong usaha kelestarian komuniti setempat.

“Pengetahuan dan pendidikan yang diiktiraf di seluruh dunia sebagai antara pemacu utama untuk pembangunan lestari.

“Dalam konteks ini, saya dengan sukacitanya mengesahkan komitmen UMS kepada perjuangan ini,” katanya ketika berucap sempena Bengkel ‘3rd Pillar (Marine Environment) Kesban at Sea’ di Auditorium Pascasiswazah baru-baru ini.

Menurutnya lagi, UMS akan memberikan komitmen berterusan kepada sumber-sumber manusia dan pembinaan kapasiti yang merupakan salah satu objektif bengkel tersebut.

“Bengkel ini bukan sahaja membincangkan permasalahan alam sekitar marin, tetapi turut mengenal pasti dasar, strategi dan rancangan pembangunan lestari bagi sumber marin, dan membincangkan halangan yang ditempuh serta cadangan tindakan susulan ke arah pembangunan sumber lebih baik di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Lebih 40 peserta hadir pada bengkel yang berlangusng selama dua hari anjuran bersama UMS, Institut Maritim Malaysia (MIMA) dan disokong oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Bengkel tersebut dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, serta turut dihadiri Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Sairin Karno dan Ketua Pengarah MIMA, Laksamana Pertama Datuk Chin Yoon Chin.

 

KHAMIS, 29 SEPTEMBER - Persatuan Pelajar Pascasiswazah (PSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menganjurkan Program Gemilang Pewaris Muda di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, Beaufort.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PSA, seramai sembilan pelajar pascasiswazah yang mengambil bahagian iaitu tujuh ahli PSA dan dua pelajar pascasiswazah dengan diiringi tiga pegawai daripada Pusat Pengajian Pascasiswazah (PPPS) UMS.

Menurut kenyataan itu lagi, seramai 160 pelajar-pelajar SMK Gadong telah menyertai dan menjayakan program berkenaan.

Program Gemilang Pewaris Muda merupakan  satu  aktiviti kemasyarakatan yang diadakan bertujuan untuk mendekatkan universiti dengan masyarakat. 

Program berbentuk motivasi yang mensasarkan pelajar sekolah menengah itu, memberikan peluang kepada mahasiswa UMS berkongsi ilmu dan pengalaman sebagai pelajar institusi pengajian tinggi awam kepada para pelajar sekolah yang terlibat di samping memberikan pendedahan kepada mereka tentang peri pentingnya pendidikan. 

Program yang berlangsung selama dua hari itu diisi dengan pelbagai aktiviti motivasi seperti perkongsian pengalaman sebagai pelajar universiti, penghayatan erti kemerdekaan, seminar ilmu yang disampaikan oleh Timbalan Dekan (Kebajikan Pelajar) PPPS, Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim, persembahan bakat serta aktiviti riadah berbentuk permainan berkumpulan dan sukan.

Kemuncak program itu ialah majlis perasmian dan penutupan yang disempurnakan wakil dari SMK Gadong iaitu Encik Muhamud Haji Duriman.

Sumber : Laisreyn Laisok (PSA)

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.