SELASA, 25 OKTOBER - Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan pertemuan dan sesi ramah mesra bersama alumni UMS di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Pengarah Pusat Alumni, Mohd Raffie Hj Janau berkata, program itu antara lain bertujuan untuk menjejaki alumni UMS di Sarawak bagi memperkukuhkan hubungan bersama alma mater.

“Kita juga ingin memaklumkan bahawa para alumni diiktiraf sebagai duta UMS terhadap seluruh agensi kerajaan atau swasta dan masyarakat dengan membawa kecemerlangan melalui jenama UMS di serata tempat.

“Para alumni juga berperanan sebagai penasihat, membantu dalam perjumpaan (reunion) anjuran UMS atau menyumbang kepada pembangunan universiti demi kepentingan bersama,” katanya ketika berucap pada majlis yang julung kalinya diadakan di Bumi Kenyalang.

Pada majlis itu, Raffie turut membuat pelancaran Chapter Alumni UMS bagi Zon Kuching.

Menurut beliau, dengan tertubuhnya chapter itu sekali gus akan mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan alumni di negeri itu dengan melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk perancangan untuk mengadakan Majlis Homecoming.

Serentak dengan pelancaran itu, turut diadakan pelantikan jawatankuasa tertinggi yang menyaksikan Zaim Zaidi dilantik sebagai Ketua Chapter dan Ahmad Shafiq Ahmad Sabirin Timbalan Ketua Chapter.

Jawatan Setiausaha dan Bendahari pula masing-masing disandang Nurul Azzah Zainal dan Francesca Lim Way.

Program tersebut turut diserikan dengan acara citra karisma yang menyaksikan para alumni memperkenalkan diri masing-masing dan memaklumkan perihal status pekerjaan pada masa kini.

Sumber: Dayangku Rozlina Pg. Aliuddin 

ISNIN, 24 OKTOBER - Seluruh warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersedih atas pemergian mantan Ahli Lembaga Pengarah UMS yang juga tokoh tersohor pasukan keselamatan negara, Tan Sri (Dr.) Henry Chin Poy-Wu.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah, pemergian mendiang Tan Sri Henry bukan sahaja merupakan satu kehilangan besar kepada negara Malaysia dan negeri Sabah, malah sangat dirasai oleh seluruh warga UMS apatah lagi mendiang merupakan Ahli Lembaga Pengarah yang paling lama di universiti itu.

“Sepanjang mendiang bersama UMS, pelbagai jasa bakti telah diberikan kepada universiti terutama dalam memberi idea dan perkongsian pengalaman khususnya dalam sama-sama menetapkan hala tuju UMS.

“Saya bagi pihak UMS, dengan penuh dukacita mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang dan berharap agar mereka tabah dalam menghadapi saat-saat sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tan Sri Henry, 79, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur pada pukul 6.04 pagi semalam akibat strok.

Mendiang, yang meninggalkan isteri Puan Sri Shirley Cheng Hua Chien, 72, serta sepasang anak lelaki dan perempuan, berkhidmat dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) lebih 38 tahun sebelum bersara pada 1993.

Untuk rekod, mendiang terlibat dalam pelbagai peritiswa  bersejarah seperti berkhidmat sebagai  Sekratariat Suruhanjaya Cobbold dan Jawatankuasa antara Kerajaan pada tahun 1962, mempertahankan negara semasa insiden Kalabakan sewaktu era Konfrantasi, terlibat dalam insiden tembak menembak menentang Unit bersenjata Komunis di Kampar Perak (1980) dan memainkan peranan penting ketika rundingan dengan Parti Komunis Malaya (PKM) dan Parti Komunis Kalimantan Utara pada tahun 1990.

Beliau turut dilantik sebagai Pesuruh Jaya Polis Kuala Lumpur pada 22 Jun 1990 sehingga 12 Ogos 1993.

Selepas bersara, mendiang meneruskan perkhidmatan kepada negara sebagai pengerusi pelbagai syarikat, badan pendidikan dan persatuan  sukan.

Tan Sri Henry dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UMS dari tahun 2001 sehingga 2015.

Atas jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan kepada UMS, mendiang juga telah dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Sosiologi, pada majlis Konvokesyen UMS ke-17 pada tahun lalu.

ISNIN, 24 OKTOBER - Hampir 1500 hadirin memenuhi Dewan Kuliah Pusat ke-2 Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersempena program Soaring Upwards : Let’s Talk Higher Education Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diadakan baru-baru ini.

Program yang dihoskan oleh Menteri KPT, Dato’ Seri Idris Jusoh itu merupakan signature programme KPT yang menjadi saluran hebahan utama bagi menyebar luas maklumat pendidikan tinggi Malaysia serta kejayaan-kejayaan yang telah dicapai di peringkat nasional dan antarabangsa.

Program Soaring Upwards : Let’s Talk Higher Education merupakan kesinambungan Program Jelajah KPT : Soaring Upwards yang telah diadakan dengan jayanya pada Januari hingga April 2016.

Selaras juga dengan hasrat KPT untuk membangunkan golongan belia dengan kepercayaan bahawa belia berpendidikan dapat memacu pembangunan negara, program tersebut memberi fokus kepada golongan berkenaan daripada institusi pendidikan, pusat latihan kemahiran, agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan serta pertubuhan di negara ini.

Empat orang ikon yang dijemput khas untuk berkongsi kejayaan mereka pada program tersebut ialah, Pengarah Urusan Wan Nazri & Partners, Ketua Jurutera Struktur Abraj al-Bait (Menara Jam Mekah), Wan Nazri Wan Aria; Atlet Lompat Tinggi Negara, Nauraj Singh Randhwa; Atlet Gimnastik Negara, Farah Ann Abdul Hadi; dan Pengacara Astro Awani (Alumni UMS), Hilal Azmi.

Program tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Dato’ Prof. Dr. Rujhan Mustafa dan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah bersama Pegawai-pegawai Utama serta Kanan Universiti. 

Foto: Suzeanywati Gasinin

JUMAAT, 21 OKTOBER - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah mengingatkan barisan pewakilan pelajar UMS agar menjalankan amanah yang diberikan dengan telus dan penuh dedikasi.

Menurut beliau pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2016/2017 yang berjalan dengan sistem pengundian yang sihat harus memastikan isu-isu dan perkara-perkara yang berhubung kait dengan kebajikan pelajar dan hal ehwal semasa dapat diketengahkan dan diselesaikan dengan baik.

“Ahli MPP memikul tanggungjawab untuk memelihara citra dan nama baik UMS, sekaligus mengangkat prestij UMS sebagai sebuah universiti awam terbaik. Justeru, tanggungjawab anda bukan sahaja berfokus kepada pelajar, bahkan anda adalah duta kepada universiti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan watikah pelantikan MPP sesi 2016/2017, kelmarin.

Profesor Datuk Dr. Harun turut menasihatkan barisan MPP untuk mengemukakan cadangan-cadangan yang rasional dan praktikal agar dapat diperhalusi dan dipertimbangkan oleh pihak pengurusan universiti.

MPP 2016/2017 menampilkan Mohd Afi Haziq Sapili dipilih sebagai Presiden, manakala Wan Mahussin Wan Zain dipilih sebagai Timbalan Presiden.

Selain itu, Nur Adilah Ismail dipilih menyandang jawatan Setiausaha, manakala Lim Way Yang menyandang jawatan Bendahari.

KHAMIS, 20 OKTOBER - Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Perpustakaan Negeri Sabah, Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) Kumpulan Sabah telah menganjurkan Bengkel Hands On Perpustakaan Digital PNM di UMS baru-baru ini.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari di Makmal Saham, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) dan Makmal Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) itu dihadiri seramai 200 orang peserta terdiri daripada pelajar UMS, pustakawan dan penjawat awam agensi negeri dan persekutuan di Sabah.

PNM dalam kenyataannya menjelaskan, objektif penganjuran bengkel tersebut adalah bagi membudayakan para penjawat awam di Malaysia untuk menjadikan Perpustakaan Digital PNM sebagai medium utama rujukan maklumat, selain meningkatkan usaha bagi menggalakkan lebih ramai pengguna merujuk kepada maklumat yang sahih.

Bengkel Hands On Perpustakaan Digital PNM juga adalah selaras dengan usaha PNM untuk meningkatkan statistik penggunaan selaras dengan sasaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia iaitu pencapaian sebanyak 3 juta pengguna pada tahun 2016, serta meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya amalan membaca dan literasi maklumat dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Melalui bengkel tersebut, peserta telah diberi tunjuk ajar secara spesifik untuk menggunakan pangkalan data yang terdapat di dalam Perkhidmatan Perpustakaan Digital PNM.

Perkhidmatan Perpustakaan Digital PNM adalah salah satu daripada Pelan Transformasi MOTAC di bawah inisiatif Merakyatkan Perkhidmatan Awam. Portal Perkhidmatan Sumber Elektronik PNM (PNM Digital) mula diperkenalkan pada April 2012 dan portal ini merupakan portal utama yang membolehkan rakyat Malaysia mengakses pelbagai maklumat dari pangkalan data yang dilanggan dan juga inisiatif digital PNM.

Perkhidmatan ini boleh diakses melalui url: www.pnmdigital.gov.my.

Sumber: Perpustakaan UMS