ISNIN, 14 NOVEMBER – Seramai kira-kira 200 pelajar yang belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Sabah diraikan pada majlis makan malam Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) bersama kepimpinan kerajaan negeri Terengganu di sebuah hotel di 1Borneo Hypermall baru-baru ini.

Majlis yang diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi kerajaan negeri Terengganu, YB Haji Bazlan bin Abd. Rahman dianjurkan oleh PERMATA Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut Haji Bazlan, majlis yang dianjurkan ini bertujuan mengeratkan hubungan antara kerajaan negeri dengan pelajar IPTA yang berasal dari Terengganu supaya kemesraan dapat dijalin dengan lebih erat.

“Pelajar adalah aset penting kepada kerajaan negeri kerana merekalah yang akan mengisi jawatan-jawatan penting dan menerajui kepimpinan negeri pada suatu masa nanti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit.

Pada majlis itu, pelajar UMS yang mendapat gred CGPA 3.5 dan ke atas telah dihadiahkan sumbangan berupa wang tunai bagi pencapaian cemerlang mereka.

Selain itu, sebanyak 43 hadiah cabutan bertuah yang terdiri daripada barangan elektrik dan gajet elektronik disediakan bagi menghargai pelajar PERMATA UMS.

Turut hadir ke majlis itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr Ismail Ali, Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Mohamad bin Sulong dan Penasihat PERMATA UMS, Ir. Dr. Ahmad Mukifza Harun.

JUMAAT, 11 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyemarakkan lagi usaha pengantarabangsaan dengan menandatangani satu Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Kementerian Pendidikan Republik Demokratik Timor-Leste pada Rabu (9 November 2016) di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur.

UMS diwakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin, manakala Timor-Leste diwakili Timbalan Menteri Pelajaran 1, Dulce De Jesus ​​Soares.
Disaksikan Pro-Canselor UMS, Tan Sri (Dr.) Yeoh Tiong Lay, perjanjian selama lima tahun itu antaranya bakal menyaksikan kehadiran pelajar dari Timor-Leste yang ditaja Kementerian Pendidikan negara itu melanjutkan pengajian di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah di UMS.

Terdahulu, Dulce De Jesus dalam ucapannya berkata, Timor-Leste memerlukan sumber manusia yang terbaik, dalam beberapa bidang pertanian mampan, pengurusan pelancongan, kejuruteraan, sains dan pendidikan kemanusiaan.

“Dengan sumber manusia bertambah baik, Timor-Leste bukan sahaja dapat menjadi sebuah negara yang makmur, tetapi boleh mempunyai cara untuk mencapai matlamat pembangunan mampan untuk menggalakkan masa depan yang cerah kepada rakyat,” katanya.

Beliau percaya bahawa memorandum yang ditandatangani akan menyokong Timor-Leste dalam mengambil satu langkah ke hadapan ke arah mencapai matlamat itu.

“UMS mempunyai semua kualiti yang kita cari sebagai sebuah institusi rakan kerjasama, iaitu rekod kecemerlangan berdaftar dalam bidang akademik dan penyelidikan selain pelbagai program yang telah tersedia menyokong pelajar untuk berjaya.

“Belajar di UMS merupakan peluang yang baik kepada para pelajar kami dalam mendapatkan ilmu dan pengalaman di sebuah institusi pendidikan yang terkenal di ASEAN,”  tambah Dulce.

Menurutnya lagi, pihaknya tidak mempunyai keraguan bahawa apabila pelajar-pelajar mereka lulus dari UMS,  mereka telah mencapai tahap pendidikan akademik yang lebih tinggi.

“Kami berharap para pensyarah serta seluruh warga UMS, akan memberi dorongan dan motivasi kepada pelajar kami untuk membuat perubahan kepada masyarakat Timor-Leste,” katanya.

Majlis menandatangani MoA itu turut dihadiri Duta Besar Republik Demokratik Timor-Leste ke Malaysia, Jose Antonio Amorim Dias; Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Dr Yusof Yacob dan Prof. Dr. Marcus Jopony serta Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad.

 

 

KHAMIS, 10 NOVEMBER - Program Daycare Pusat Minda Lestari (PML) dengan kerjasama Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah telah menganjurkan Pertandingan Deklamasi Sajak baru-baru ini.

Bertempat di Bilik Koleksi Kanak-kanak Perpustakaan UMS, pertandingan ini antara lain bertujuan memupuk keyakinan diri murid berinteraksi di hadapan orang ramai.

Pertandingan sebegini juga mampu memupuk kesan positif terhadap perkembangan kanak-kanak terutamanya sosio emosi, daya intelek dan nilai keberanian ke arah perkembangan minda yang holistik.

Pertandingan tersebut terbahagi kepada tiga kategori iaitu peringkat 6 tahun, 5 tahun dan 4 tahun. Pertandingan ini telah diadili oleh Abdullah Bin Sabudin, Ketua Pembantu Perpustakaan dan Siti Khatizah Naimah Abd Rashid, Pembantu Pustakawan. Kriteria penilaian mengambil kira lontaran suara, penghayatan, kelancaran sebutan/kejelasan/intonasi dan gaya serta kreativiti persembahan.

Bagi kategori 6 tahun, johan disandang oleh Nur Adriana Arischa Ardiansyah dengan sajak bertajuk “Mama Mutiara Hati”, manakala Nurul Hannan Damme muncul naib johan dengan “Guru.

Muhemmed Ilhan El Ghazi Bin Muhammad Zuhri yang mendeklamasikan sajak “Negaraku” pula muncul johan bagi kategori 5 tahun, sementara naib johan dan tempat ketiga masing-masing dimenangi Daniella Aleesya Binti Dzulkifli yang mempersembahkan sajak “Mak” dan Nur Aina Natasyah Ardiansyah dengan sajak “Tanggal 31”

Kategori 4 tahun pula menyaksikan Muhammad Al Khwarizmi Mohd Rizal muncul johan dengan sajak “Hormat”. Naib johan dan tempat ketiga masing-masing dimenangi Nur Qayla Aleesya Ahmad Saprawan dengan sajak “Esok” dan Muhammad Amjad Hakim Kamal dengan sajak “Emak”.

 

Sumber: Pusat Minda Lestari

JUMAAT, 11 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kursus Pembangunan Usahawan Muda baru-baru ini dalam hasrat untuk melahirkan usahawan muda dalam kalangan belia di daerah Semporna khususnya dalam industri rumpai laut.

Bertempat di Perpustakaan Cawangan Semporna, seramai 60 orang peserta terlibat yang terdiri daripada penuntut Kolej Komuniti Semporna, Kolej RISDA dan Kolej Poly-Tech Mara Cawangan Semporna.

Menurut Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan (ERDEC) UMS, Dr. Bonaventure Boniface, hasil tinjauan awal yang dijalankan di Semporna baru-baru ini mendapati tahap penglibatan golongan muda dalam industri rumpai laut sangat rendah disebabkan kurang minat untuk menceburi industri tersebut.

Justeru, kursus ini dianjurkan sebagai memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta tentang bidang keusahawanan dan perniagaan dalam industri yang diceburi, terutama dalam industri berkaitan rumpai laut.

“Hasil kursus ini kita berjaya mencungkil potensi sekumpulan belia yang sangat komited mengikuti pembelajaran selama tiga hari dengan aplikasi Model Kanvas Perniagaan, yang mana aplikasi tersebut membantu peserta kaedah untuk menyusun rancangan perniagaan mereka dengan cara yang lebih mudah dan berkesan.

“Buktinya, dua pembentangan produk makanan yang berasaskan rumpai laut iaitu ‘Aiskrim Magic Collagen’ dan Jem Mermalade De’Lato’ telah berjaya dihasilkan oleh peserta kursus tersebut,” katanya.

Kursus ini merupakan program susulan setelah beberapa aktiviti seperti lawatan ke tapak penanaman rumpai laut di Pulau Kerindingan, Kajian Kesejahteraan terhadap Pengkultur Rumpai Laut di Kg. Terusan, Kursus Pengkulturan Rumpai Laut dan Kursus Penghasilan Makanan dari Rumpai Laut yang diberikan kepada peserta projek Pengukuhkan Industri Rumpai Laut Malaysia.

Penganjuran kursus ini adalah kesinambungan terhadap UMS yang diberi tanggungjawab menjalankan projek inisiatif kerjasama Universiti dengan Program Transformasi Luar Bandar di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 (NBOS 4).

 

FRIDAY, 11 NOVEMBER - Professor Dato’ Dr. Yusserie Zainuddin gave a talk on ‘Strategic Management in Accounting Practices Towards Performance Excellence’  to about 120 accounting students from UMS and UiTM, during his second visit to Universiti Malaysia Sabah (UMS).

The talk was held on 18th October 2016 at UMS Library Auditorium.  Professor Dato’ Dr Yusserie Zainuddin is the Adjunct Professor for Accounting Programme, Faculty of Business, Economics and Accountancy (FPEP). 

The talk was organised by UMS Accounting Centre as part of the 2-day programme with the UMS Adjunct Professor.  A meeting between Professor. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin and the faculty’s academicians was conducted on 19th October 2016.

Associate Professor Dr. Raman Noordin, Dean for Faculty of Business, Economics and Accountancy (FPEP) and Mr. Jainurin Justine@Abdul Aziz, Director of Accounting Centre were in attendance together with accounting lecturers from UMS and UiTM, Sabah Campus.

Source: FPEP