29 JULAI 2016, JUMAAT - Hala tuju yang jelas dan komited merupakan dua tunjang yang mendasari kejayaan Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Bukan Akademik UMS (PPUMS) dalam memastikan objektif persatuan itu tercapai.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr Mohd Harun Abdullah, sepanjang 11 tahun PPUMS ditubuhkan, beliau melihat persatuan tersebut mempunyai hala tuju yang jelas selain komited terhadap objektif persatuan, membolehkan PPUMS terus bergerak aktif sebagai antara persatuan di UMS yang mampu membawa manfaat kepada para ahlinya.

“Saya menyarankan agar PPUMS bergerak pantas untuk kekal relevan sebagai persatuan yang disegani, baik oleh para ahli, dalam kalangan pegawai dan warga UMS yang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Mesyuarat Agung Tahun (MAT) ke-10 PPUMS di Bankuasi, Dewan Canselor, UMS. Turut hadir Pendaftar UMS, No’man Hj. Ahmad; Ketua Pustakawan, Dayang Rukiah Ag. Amit, dan Presiden PPUMS, Azmi Jumat.

Datuk Harun menambah, di samping memperjuangkan kebajikan para ahli, PPUMS juga harus menitikberatkan penambahbaikan dalam soal membantu UMS menyampaikan dasar-dasar yang dibuat oleh universiti, selain bertindak sebagai role model kepada kakitangan sokongan.

Pada mesyuarat agung itu, Jawatankuasa Eksekutif PPUMS  telah membentangkan laporan berkenaan perkembangan terkini persatuan di samping  membawa beberapa usul untuk dibincangkan.

Mesyuarat diakhiri dengan  majlis sambutan Aidilfiri yang diserikan dengan kehadiran semua ahli dan tetamu kehormat.

KHAMIS, 28 JULAI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjayakan ‘#Meriah Bah Raya’ sempena Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Persekutuan Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah (KPKPS) baru-baru ini.

Berlangsung dengan penuh kemeriahan, acara tersebut telah dirasmikan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Borhan Dolah.

UMS yang diwakili oleh kakitangan Bahagian Perhubungan Korporat menyediakan juadah kering berupa kuih-muih dengan konsep hiasan gerai ala kampung.

Tinjauan media UMS mendapati, seluruh warga kakitangan KPKPS dan orang ramai sama-sama menjayakan majlis tersebut.

Dengan kepelbagaian suku dan agama, acara itu memperlihatkan keharmonian masyarakat Sabah yang hidup damai sejahtera dan sama-sama meraikan Meriah Bah Raya kali ini. -SM-

KHAMIS, 28 JULAI - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah sentiasa menitikberatkan aspek semangat kerja berpasukan, disiplin dan keharmonian untuk memastikan UMS terus maju ke hadapan.

Katanya, beliau tidak mahu amalan berpuak-puak wujud dalam warga UMS kerana ia bukan sahaja satu tabiat yang tidak baik dan menghalang hubungan kerjasama erat tetapi ia juga membantut usaha universiti untuk meraih pelbagai kejayaan.

“Tidak dinafikan ilmu pengetahuan adalah asas terhadap kemajuan dan pencapaian sesebuah organisasi, tetapi saya percaya dengan sikap-sikap yang saya nyatakan tadi membolehkan halatuju UMS mampu direalisasikan,” katanya.

Datuk Harun berkata, universiti bukan hanya untuk melahirkan golongan bijak pandai, tetapi yang lebih utama turut melahirkan rakyat Malaysia yang hidup makmur dalam kepelbagaian bangsa dan agama.

“Dalam masa yang sama kita juga perlu mempunyai koloborasi  dengan pihak industri tempatan, nasional dan antarabangsa,” tambahnya. 

Beliau berkata demikian apabila  diminta menyuarakan harapan  berkaitan usaha membawa universiti terus kekal maju ke hadapan ketika sesi temuramah eksklusif bersama Utusan Borneo di pejabatnya baru-baru ini. - SS

RABU, 27 JULAI – Para penyelidik Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menyahkodkan genetik kedua-dua Nanas MD-2 dan jenis dari Babagon tempatan, yang terkenal seluruh dunia.

Penyelidik utama projek ini,  Profesor Madya Dr. Vijay Kumar berkata, genom ini sukar untuk diuraikan disebabkan tahap pertindihan dan kerumitannya yang tinggi.

Timbalan Pengarah IPB, Dr. Zarina Amin pula memaklumkan, kajian tersebut mengambil masa selama tiga tahun meliputi hampir 526 necleotid yang membentuk DNA nanas.

“Dengan siapnya pengkajian genom ini, ia akan dapat meningkatkan lagi ciri agronomi tanaman ini sekali gus meletakkan UMS di barisan hadapan dalam genetik dan penanaman nanas,” katanya.

Menurut Dr Zarina, dengan menggunakan genom nanas yang lengkap sebagai rujukan, penyelidik UMS mendapati tertib signifikan pada protien nanas yang terlibat dalam biosintesis etilen semasa proses ranum buah nanas. 

Ujarnya, penemuan ini adalah penting memandangkan sebelum ini dianggap bahawa hormon tidak memainkan peranan penting dalam proses tersebut.

“UMS telah bekerja rapat dengan syarikat bioinformatik yang berpangkalan di Malaysia, yang menyediakan latihan dan sokongan bioinformatik untuk projek ini. 

“Mereka juga membangunkan pakej novoLRTM untuk membantu dalam pemasangan genom menggunakan teknologi hibrid,” tambah Dr Zarina.

Untuk rekod, jenis nanas MD-2  merupakan baka pilihan secara komersial yang terkemuka di peringkat global kerana kelebihannya dalam warna, kemanisan , rasa dan keseragaman dalam saiz. – FL (SS)

Sumber: BRI

KHAMIS, 21 JULAI – Kursus e-Usahawan anjuran Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) mempelajari ilmu keusahawanan digital dalam memasarkan produk hasil kerja tangan, sekali gus membantu menjana pendapatan yang lumayan.

Menurut Ketua UPPsiKS, Dr. Ferlis Bullare,  kursus ini membolehkan peserta khususnya golongan OKU mengetahui cara menjana pendapatan digital melalui teknik pemasaran produk mereka di laman sosial.

“Ia juga bertujuan untuk menerapkan nilai dan ilmu keusahawanan digital dalam kalangan usahawan mikro yang sedia ada serta orang awam yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan,” katanya.

Ujar beliau, beberapa peserta OKU turut membawa produk menarik yang mempunyai potensi pasaran tinggi.

“Didapati produk mereka amat berkualiti dan mampu mendapat tempat di pasaran, tetapi mereka kurang pengetahuan tentang kaedah pemasaran yang berkesan untuk menjana pendapatan buat mereka.

“Melalui kursus ini, diharapkan mampu memberi manfaat kepada mereka seterusnya membantu mengembangkan potensi dalam bidang keusahawanan yang diceburi,” tambah Dr. Ferlis.

Beliau berkata, adalah menjadi harapan pihak penganjur agar program ini dapat mencapai matlamat pembangunan insan sekali gus meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat khususnya bidang keusahawanan dalam kalangan OKU dan orang awam.

Bertempat di Bilik Seminar Fakulti Psikologi dan Pendidikan, kursus yang dianjurkan dengan kerjasama Yanzz Excellence Services dan JNJ Management & Consultant itu dihadiri lebih 50 peserta, termasuk 20 OKU.

Antara pengisiannya termasuklah perkongsian ilmu pemasaran melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan Whatsapp; pendedahan kepada e-marketplace, pemasaran viral, e-payment dan segmentasi; dan kemahiran menulis kandungan iklan yang menarik pelanggan  serta teknik mengambil gambar yang menarik. -MA-