Peserta Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih hadiah bernilai RM20,000 dalam pertandingan akhir Program V Creator yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Kemenangan itu diperoleh Prof. Madya Dr. Wilson Yong Thau Lym dari Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) melalui produk Seaweed Seedling Production System.

Seorang lagi pemenang, Felicia Ling Wen Xia, pelajar Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan UMS meraih kejayaan melalui produk Agrowaste Biosorbant (Provera).

Kedua-kedua mereka masing-masing menerima hadiah berjumlah RM10,000.

Pertandingan yang berlangsung di Dewan Auditorium Pascasiswazah UMS itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Transformasi Pembangunan Usahawan Sabah (SET) Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (KPPK) Sabah, dan Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri (PKLI) UMS.

Menurut Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Prof. Dr. Coswald Sipaut @ Mohd Nasri, Program V Creator merupakan program Pemula Idea Perniagaan Business Pitching yang diadakan sejak 24 Jun 2023 di Galeri Azman Hashim (GAH) UMS.

“Sebanyak 53 penyertaan telah diterima yang menyaksikan seramai empat peserta UMS berjaya mara ke peringkat akhir.

“Syabas dan tahniah kepada semua pemenang khususnya kepada dua peserta yang telah mengharumkan nama universiti.

“Terima kasih juga kepada pihak SET, KPPK dan semua yang terlibat dalam penganjuran program ini termasuk para juri profesional yang berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan dan perniagaan,” katanya.

Untuk rekod, program V Creator diadakan dengan tema Inovasi dan Idea, Makanan, Hasil Laut, Perkhidmatan Sosial, Pertanian, Barangan Pengguna, Inovasi Makanan, Carbon Solution dan Lean Manufacturing.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Setiausaha Perhubungan Awam KPPK, Amos Thien. Turut hadir Presiden Persatuan SET Sabah, Dato’ George Lim Su Chung.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai kerjasama dengan Universiti Beihua, Universiti Sains dan Teknologi Pertanian Jilin, dan Institut Teknologi Kimia Jilin, China baru-baru ini.

Pada majlis menandatangani Surat Niat (LoI) tersebut, UMS diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor manakala Universiti Sains dan Teknologi Pertanian Jilin diwakili oleh presidennya, Li Qiyu.

Sementara itu, Universiti Beihua diwakili oleh Naib Presiden, Shin Junyou dan Profesor Lifeng Cai mewakili Institut Teknologi Kimia Jilin.

Menurut Kasim, kerjasama tersebut merupakan usaha kolektif dalam memajukan pengetahuan dan menangani cabaran global yang memberi kesan kepada kita semua.

“Dengan menggabungkan kepakaran dan sumber, kita mampu menghadapi isu yang kompleks, mencipta penyelesaian yang inovatif dan memberi kesan yang bermakna kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi lawatan delegasi wilayah Jilin ke UMS.

Tambah Kasim, kolaborasi ini bukan sahaja memperkayakan komuniti akademik tetapi juga menyumbang kepada kemajuan ilmu yang lebih besar pada skala global.

“Melalui pakatan yang bermakna inilah kita dapat memupuk generasi penyelidik dan pemimpin berbakat yang akan membentuk masa depan dengan semangat dan dedikasi mereka,” katanya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah kerana memberikan UMS peluang luar biasa untuk menjadi tuan rumah kepada delegasi terhormat ini.

“Sokongan dan dorongan daripada Kerajaan Negeri Sabah yang tidak berbelah bahagi telah memainkan peranan penting dalam menjayakan acara ini, dan kami benar-benar terharu dengan komitmen mereka untuk mempromosikan pendidikan dan penyelidikan di rantau ini,” tambahnya.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Dr. Rosalam Sabartly, dan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertekad untuk terus menghasilkan graduan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang selaras dengan misi dan visi penubuhan Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS selain kemudahan universiti yang disediakan.

Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, warga universiti tanpa mengira pangkat dan lapisan umur juga perlu berganding bahu untuk bersama-sama mencapai visi dan misi universiti.

Katanya, perkara itu mampu disempurnakan dengan ikhlas agar semua pihak dapat bersatu selain menetapkan fikiran yang satu bagi menyempurnakan matlamat universiti agar senantiasa melangkah maju ke hadapan.

“UMS sebagai menara gading yang menjadi pusat penyebaran ilmu seharusnya berupaya melahirkan pelajar dan cendekiawan berpendidikan tinggi, berkualiti dan bertaraf global.

Justeru, pengurusan universiti bertekad untuk menyediakan bimbingan dan peluang pembelajaran dalam suasana persekitaran yang menekankan inovasi dan bakat.

“Sejak ditubuhkan, UMS telah memberikan usaha yang konsisten dengan menyediakan ahli akademik yang berkebolehan, membangunkan infrastruktur dan mekanisme moden, dan juga disokong oleh pihak pengurusan yang menyediakan dasar yang berkesan dalam usaha memupuk pemikiran kritis generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Afaz Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu Program Asasi Sesi 2023/2024.

Kasim berkata, universiti wujud disebabkan permintaan masyarakat sekeliling yang ingin melihat perubahan hidup menerusi tahap pendidikan yang tinggi.

Katanya, zaman yang serba mencabar ini, keperluan untuk mendapatkan pendidikan tinggi adalah satu kemestian.

“Adalah menjadi harapan saya agar pelajar semua memanfaatkan segala peluang dan kesempatan di PPST dengan sebaik-baiknya bagi meraih kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun kemahiran insaniah.

“Saya percaya bahawa proses pembelajaran itu haruslah seimbang di antara bilik kuliah dan kehidupan kampus,” katanya.

Terdahulu, seramai 347 pelajar terdiri dari pelbagai daerah di negeri ini termasuk Semenanjung; Sarawak dan Labuan telah mendaftar bagi sesi kemasukan 2023/2024

 

Kelab Pendidikan Awal kanak-kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Program Kesedaran Hak Kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan (SK) Kindu, Tuaran, baru-baru ini.

Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak FPP UMS, Dr. Juppri Bacotang berkata program itu bertujuan memberikan pendedahan kepada masyarakat khususnya ibu bapa tentang hak kanak-kanak.

Katanya, ibu bapa merupakan insan yang paling penting dalam kehidupan kanak-kanak dan mempunyai amanah serta tanggungjawab besar untuk mengasuh, menjaga dan mendidik kanak-kanak sejak awal umur lagi.

Tambah Juppri program itu antara lain memberi peluang kepada pelajar UMS menjalinkan kerjasama erat dengan komuniti setempat.

“Melalui program ini juga, pelajar dapat melihat dan merasai sendiri persekitaran dan suasana di sekolah luar bandar bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dan kompeten dalam menghadapi apa jua cabaran mendatang.

“Di samping itu, ia juga bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk mempraktikkan ilmu dan pengetahuan yang telah dipelajari kepada golongan sasar iaitu kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program tersebut.

Juppri turut menekankan kepentingan pendidikan awal termasuklah prasekolah yang dapat membantu kanak-kanak menguasai 4M (membaca, menulis, mengira, dan menaakul) sebagai asas persediaan sebelum mereka ke sekolah rendah.

“Pendidikan merupakan salah satu hak yang perlu diberikan kepada semua kanak-kanak demi menjamin masa depan mereka. Ini perlu bermula sejak awal umur kanak-kanak lagi sama ada bermula di rumah, taska, mahupun di prasekolah atau tadika,” tambahnya.

Manakala Pengarah Program, Muhammad Ehsan Kamba berkata, program itu merupakan kerjasama FPP bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Sabah.

“Peserta program terdiri daripada ibu bapa dan kanak-kanak prasekolah yang disajikan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti ceramah keibubapaan, sesi pengajaran dan pembelajaran dan sukaneka.

“Selain itu juga, terdapat aktiviti bersama kanak-kanak yang dijalankan oleh pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak iaitu membuat kraf diorama bertemakan hidupan laut di kelas prasekolah.

“Aktiviti ini dapat memupuk minat kanak-kanak terhadap seni dan kraf, dan seterusnya meningkatkan kreativiti dan imaginasi mereka,” jelasnya.

Pada program tersebut, turut diadakan ceramah keibubapaan yang menjelaskan tentang hak kanak-kanak yang merangkumi Hak Kehidupan, Hak Perlindungan, Hak Perkembangan, dan Hak Penyertaan yang disampaikan oleh wakil SUHAKAM, Mohd Irsyad Hamilin dan Qalista S. Dohny.

Turut hadir, Guru Besar SK Kindu, Sitiamah Hi. Sahat dan Ketua Penolong Setiausaha SUHAKAM Sabah, Dr. Alfonso Min.

 

 

Program Khidmat Masyarakat oleh sekumpulan pelajar Non Residen Universiti Malaysia Sabah (UMS) di SK. Bungalio, Tuaran baru-baru ini memberi motivasi kepada murid-murid di sekolah tersebut untuk terus meningkatkan pencapaian diri dan mencapai kecemerlangan.

Bertemakan 'Siswa Prihatin, Masih Ada Yang Sayang’, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Non Residen sesi 2022/2023 (JAKMAS NR) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF).

Menurut pengarah program, Jane April Teo, program tersebut membabitkan 22 pelajar non residen bersama-sama dengan beberapa kakitangan PNRF.

“Objektif utama program ini diadakan adalah bagi menambah pengetahuan dan pengalaman para peserta program dalam berinteraksi dengan masyarakat.

“Di samping itu, program ini juga menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan pendidikan melalui pelbagai medium dalam kehidupan, serta memberi pengalaman berkualiti untuk pelajar,” katanya.

Jane turut memaklumkan, antara aktiviti yang diadakan oleh peserta sepanjang program tersebut berlangsung adalah sesi Latihan dalam kumpulan (LDK), sukaneka, penyerahan sumbangan buku dan juga melukis mural di dinding bangunan yang diabadikan untuk kenang-kenangan bersama.

Dalam pada itu, Guru Besar SK. Bungalio, Jalius Gadsong merakamkan penghargaan kepada pihak UMS atas inisiatif mengadakan program khidmat masyarakat bersama murid-murid di sekolah tersebut.

“Pihak sekolah menyambut baik usaha ini dan berharap agar program murni seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai motivasi kepada anak-anak untuk mencapai cita-cita ke menara gading,” katanya.

Pengarah PNRF, Hasmi Hashim juga menyokong usaha kumpulan pelajar Non Residen UMS untuk meneruskan program-program yang memberi manfaat baik kepada pelajar mahupun kepada masyarakat.

“Program murni ini menyokong kepada amanat dan fokus ke-11 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu pemerkasaan pelajar, serta menyahut seruan salah satu program utama di bawah KPT iaitu Semarak Siswa Madani atau juga dikenali sebagai S4S (Student for Society),” ujar beliau.

Seramai 37 murid SK. Bungalio dan dibantu oleh guru-guru sekolah telah menjayakan program tersebut.

Hadir sama dalam program tersebut Yang Dipertua JAKMAS NR, Mohd. Nazarruddin Zulkipli.