Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan pogram UMS Bank Rakyat UNIpreneur 3.0: Kick-Off Event di Pusat Islam UMS, di sini, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin berkata, program itu bertujuan memberi suntikan dana sebanyak RM3,000 seorang kepada usahawan siswa asnaf UMS untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Selain itu, program ini memberi latihan dan bimbingan keusahawanan kepada usahawan siswa asnaf untuk menguruskan perniagaan mereka selama enam bulan.

“Seramai 20 usahawan siswa asnaf telah terpilih yang terdiri daripada pelajar Akademi Seni dan Teknologi Kreatif, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Perhutanan dan Tropika, Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program tersebut.

Menurut Dr. Raman seramai 10 mentor telah dilantik daripada kalangan pensyarah dan kakitangan UMS untuk membimbing dan memantau peserta program ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan pada Bank Rakyat atas sumbangan dan sokongan kepada UMS, terutamanya suntikan dana sebanyak RM66,000 untuk membantu usahawan pelajar asnaf mengembangkan perniagaan dan mengikuti latihan serta bimbingan.

“Diharapkan 20 usahawan pelajar ini akan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk menceburi bidang ini sebagai pilihan kerjaya dan mampu memberi peluang pekerjaan kepada komuniti setempat,” ujarnya.

Untuk rekod, Bank Rakyat UNIpreneur merupakan inisiatif kewangan sosial Bank Rakyat yang mensasarkan pembangunan ekosistem usahawan mahasiswa asnaf berpotensi di Malaysia. Bank Rakyat UNIpreneur 3.0 yang berlangsung selama enam bulan pada tahun ini akan memberi manfaat kepada 500 peserta daripada 20 institut pengajian tinggi yang terpilih.

Hadir sama, Pengarah Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah, Dr. Arif@Kamisan Pusiran, Timbalan Pengarah (Keusahawanan) PKPKP UMS, Dr. Nur Thara Atikah Zainal, Pengurus Cawangan Bank Rakyat Kota Kinabalu, Suhaimi Jainulah, dan Pengurus Kelestarian Bank Rakyat, Azahary Kamarulzaman

 

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Haji Mansor berkata, graduan yang seimbang dalam pelbagai aspek merupakan aset yang diperlukan untuk memacu kemajuan pembangunan negara selain keupayaan untuk bersaing hingga ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, bagi mengukur kejayaan seseorang graduan mereka hendaklah bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi turut cemerlang dalam kemahiran insaniah.

"Graduan juga perlu menghayati enam tonggak dasar Malaysia MADANI yang digariskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Anwar Ibrahim iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

"Agenda MADANI ini bukan sahaja menumpukan aspek penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan semasa negara tetapi agenda ini turut menyentuh corak masa depan serta memenuhi potensi rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kokurikulum UMS Semester 2 Sesi 2022/2023 anjuran Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP), di sini pada Sabtu.

Menurut Dr. Kasim, penganjuran karnival itu merupakan inisiatif yang baik untuk membuka mata pelajar dalam bidang reka cipta dan inovasi serta memberi peluang kepada mereka supaya berfikir secara kreatif sejajar dengan misi UMS sebagai peneraju masyarakat berinovatif dengan slogan “Leading Towards Innovative Societies”.

"Saya yakin bahawa kursus-kursus yang ditawarkan di PKPP ini memfokuskan potensi pelajar dalam mengasah bakat dan kemahiran insaniah melalui silibus kursus yang sesuai dan program-program yang dianjurkan.

"Di samping itu, pelajar diberikan pendedahan tentang inovasi dengan bimbingan daripada jurulatih yang bertauliah melalui Karnival Inovasi," katanya.

Sementara itu, Pengarah PKPPUMS, Prof. Madya Dr. Jurry Foo berkata, pusat itu sentiasa memastikan matlamat UMS sebagai peneraju masyarakat berinovatif menjadi realiti dengan menyediakan modul pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkualiti.

"Selain itu, kita juga melantik jurulatih yang kompeten mengendalikan kursus kemahiran bidang dan aktiviti kemasyarakatan," katanya.

Beliau berkata karnival itu yang melibatkan 23 kursus kokurikulum diisi dengan pelbagai acara antara lain termasuk pameran aktiviti sepanjang semester, aktiviti interaksi, permainan, pertandingan bakat, peragaan pakaian sekolah, pameran poster hasil inovasi pelajar dan derma darah.

"Karnival kali ini dimeriahkan lagi dengan penyertaan jemputan khas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagi kempen derma darah anjuran Kursus Paramedik II dengan kerjasama KKM, seramai 128 pelajar telah mendaftar untuk menderma dengan sebanyak 49 pain darah berjaya dikumpul iaitu melebihi sasaran yang ditetapkan," tambah Dr Jurry.

Hadir sama pada karnival tersebut, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin serta pegawai-pegawai utama dan kanan UMS.

 

 

Seramai 31 pelajar Kursus Pengurusan Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak sesi 2022/2023 program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan lawatan akademik di Pusat Minda Lestari UMS serta Taska dan Tadika Chung Hwa Likas, di sini baru-baru ini.

Ketua rombongan merangkap Penasihat Program, Dr. Connie Shin @ Connie Cassy Ompok berkata, antara tujuan utama lawatan tersebut ialah memberi pendedahan tentang kualiti pengurusan Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak kepada para pelajar kursus berkenaan.

"Belajar sambil melawat merupakan salah satu kaedah pembelajaran luar bilik darjah yang mampu memberi pengetahuan dan pengalaman sebenar sekali gus menimbulkan keseronokan untuk mendalami topik yang sedang dipelajari," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, lawatan ke Pusat Minda Lestari menyaksikan para pelajar terlibat mengendalikan enam aktiviti bertemakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) bersama 25 kanak-kanak berumur enam tahun.

"Sementara lawatan ke Taska dan Tadika Chung Hwa pula, mereka telah didedahkan dengan tatacara pelaksanaan sesebuah Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak dengan diiringi oleh Guru Besar, Yvonne Chu serta beberapa guru lain.

"Para pelajar turut berpeluang mencuba pelbagai fasiliti yang terdapat di pusat itu seperti aplikasi pembelajaran pada komputer di bilik komputer dan mencuba permainan di taman permainan selain berinteraksi bersama para penyelia dan berlatih tarian bersama para guru," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Program, Saleha Mohd Firdaus berkata, dia bersama rakan-rakan sangat bersyukur dapat menyertai program tersebut yang disifatkannya mampu meningkatkan kemahiran insaniah khususnya dalam cara berkomunikasi dengan komuniti setempat dan pihak luar.

“Program ini telah membuka minda saya dan pelajar lain tentang aspek pengurusan organisasi, persekitaran pembelajaran dan fasiliti di kedua-dua pusat pendidikan awal kanak-kanak yang dilawati.

“Melalui lawatan ini saya dapat melihat bagaimana smartboard berfungsi dan cara penggunaannya untuk sesi pembelajaran kanak-kanak.

“Meskipun terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaan program, namun semua itu adalah motivasi kepada diri sendiri agar terus berusaha menjadi bakal guru yang kompeten," katanya.

 

Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) menerusi Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS) mengadakan Program Kesihatan di Kampung Long Pasia, Sipitang baru-baru ini.

Menurut Ketua Pasukan Perubatan, Dr. Yung Chee Tien, Program KRIS kali ini merupakan sebuah program klinik bergerak dan program jangkauan (outreach) kesihatan komuniti kepada golongan sasar iaitu golongan luar bandar dan pedalaman.

"HUMS merupakan salah sebuah institusi perubatan yang antara lain berperanan untuk memberikan perkhidmatan rawatan serta perkongsian ilmu kesihatan di kawasan penduduk yang terhad dalam akses fasiliti perubatan.

“Untuk itu pada program ini, seramai 24 kakitangan HUMS menjadi sukarelawan yang terdiri daripada Pegawai Perubatan Pakar, Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi dan Jururawat telah menjayakan program ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr. Yung Chee, sambutan yang diterima sepanjang tiga hari di Kampung Long Pasia amat menggalakkan dengan kehadiran seramai 240 penduduk.

"Selain meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan secara menyeluruh, program ini secara tidak langsung dapat mewujudkan sebuah jalinan kukuh antara HUMS dengan penduduk di sana.

"Penganjuran program ini juga selari dengan moto HUMS iaitu “Transforming Healthcare” dengan matlamat untuk meningkatkan taraf kesihatan kawasan luar bandar dan pedalaman serta meningkatkan kebolehcapaian kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi untuk masyarakat setempat di Sabah," jelasnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof yang turut hadir dalam program tersebut menyambut baik inisiatif HUMS berkenaan.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan lagi sekali gus memberikan manfaat kepada komuniti terutama masyarakat di luar bandar dan pedalaman Sabah khususnya dalam aspek kesihatan," ujar beliau.

 

Duta Besar Romania ke Malaysia dan Brunei Darussalam, Nineta Barbulescu berhasrat untuk meneroka potensi jalinan hubungan dua hala antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan universiti-universiti di Romania.

Katanya, beliau optimis bahawa kolaborasi antara universiti di Malaysia khususnya UMS bersama universiti yang terdapat di Romania mampu direalisasikan dengan mengambil kira wujud beberapa persamaan yang boleh dijadikan sebagai permulaan kepada hubungan yang bakal dibina.

“Sebagai contoh, di Romania kita ada sejenis skaf yang dipanggil batik, dan secara kebetulan, di Malaysia juga skaf ini diperbuat dari kain batik.

“Persamaan ini sungguh unik apabila saya pertama kali sampai ke Malaysia dan saya membeli dan memegang sendiri kain batik yang memang ada persamaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena sesi kunjungan Duta Besar Romania ke UMS. Nineta yang ditemani oleh suaminya, Dan Barbulescu disambut oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Shahril Yusof bersama-sama Dekan-Dekan Fakulti dan Pengarah-Pengarah Pusat UMS.

Nineta yang dilantik sebagai Duta Besar Romania pada bulan Mac 2021 turut memaklumkan bahawa UMS adalah universiti awam yang ke 16 dilawatinya.

“Ini merupakan lawatan kali kedua saya ke negeri Sabah, dan kali pertama ke UMS.

“Kesemua universiti awam di Malaysia yang saya lawati sememangnya mempersona dan memiliki keunikan yang tersendiri, termasuk UMS yang mempunyai kelainan yang ketara kerana merupakan satu-satunya universiti awam yang berpusat di Sabah,” katanya.

Beliau menambah, keindahan flora dan fauna, biodiversiti yang masih kukuh terpelihara dan sumber marinnya yang sangat kaya dan belum terusik menyebabkan beliau berminat untuk memadankan UMS dengan universiti-universiti di Romania.

“Bahasa Romania dan Bahasa Melayu juga dari segi linguistiknya adalah memiliki fonetik atau selok-belok bunyi bahasa yang hampir serupa, kerana bahasa Romania berasal dari rumpun bahasa Romawi.

“Terdapat beberapa lagi persamaan lain yang jika diteroka dengan lebih mendalam akan mewujudkan peluang yang baik untuk diselidik dengan lebih terperinci menerusi kolaborasi antara universiti yang bakal berlangsung kelak,” katanya.

Nineta turut menyatakan keyakinannya bahawa kolaborasi yang bakal dirintis itu juga akan membuka peluang kepada lebih ramai penyelidik tempatan khususnya dalam kalangan pelajar pascasiswazah untuk menimba ilmu merentasi benua Eropah.

“Antara aktiviti yang diusulkan adalah seperti mobiliti pertukaran pelajar, kajian penyelidikan, gabungan kepakaran antara UMS dan universiti di Romania, program pembelajaran secara atas talian dan lain-lain lagi,” ujar beliau.

Pada sesi kunjungan tersebut, Nineta diberikan taklimat ringkas berkenaan UMS yang disampaikan oleh Shahril, serta turut juga dibawa melawat sekitar UMS bagi menyaksikan sendiri keindahan panorama kampus UMS.