Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) menganjurkan Program KPT Prihatin Madani bersama Sanjungan Budi Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) bagi rawatan pemulihan kanak-kanak berkeperluan khas di Pusat Pendidikan Perubatan Desa (PPPD), Kudat, pada Rabu.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, program kali ini adalah untuk menghargai inisiatif murni pihak BPMB terhadap sumbangan yang diberikan dalam penyediaan rawatan pemulihan kanak-kanak berkeperluan khas.

“Program ini sejajar dengan objektif utama penubuhan HUMS iaitu merintis perkhidmatan atau aktiviti kesihatan khusus untuk komuniti.

“Diharap keprihatinan ini menjadi satu momentum penting untuk memberikan sokongan dan rawatan yang berkualiti kepada penduduk luar bandar terutamanya kepada kanak-kanak yang berusia 18 tahun ke bawah.

“Ramai kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan rawatan seperti kelewatan perkembangan global (GDD), sindrom down dan gangguan pembelajaran,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly,

Tambah beliau, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seramai 589 kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah didiagnosis dengan Autism Spectrum Disorder (ASD) pada tahun 2021 berbanding hanya 99 kanak-kanak pada tahun 2010.

“Peningkatan yang ketara dari tahun ke tahun ini menunjukkan perlunya tindakan segera untuk mengenal pasti faktor penyebab dan sokongan yang lebih baik kepada kanak-kanak dan keluarga yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah HUMS, Prof. Dr. Helen Benedict Lasimbang berkata, suntikan dana sebanyak RM36,000 oleh pihak BPMB telah meningkatkan pemberian rawatan kesihatan kepada kanak-kanak daripada 12 orang kepada 38 orang pesakit.

Beliau turut memaklumkan, sebahagian daripada sumbangan tersebut juga disalurkan bagi kursus Applied Behavior Analysis (ABA) untuk meningkatkan kemahiran perawat menjadi lebih berkualiti dan berkesan kepada lebih ramai keluarga B40 di sekitar Kudat.

Pada program itu juga, HUMS turut memberikan pelbagai perkhidmatan kepakaran dalam bidang kesihatan secara percuma kepada 143 orang terdiri daripada keluarga pesakit dan orang awam.

Hadir sama, Ketua Sumber Manusia Kumpulan BPMB, Datin Sainursalwa Sani; Timbalan Pengarah Klinikal HUMS, Muhammad Syafiq Abdullah; Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi HUMS, Dr. Nicholas Pang Tze Ping dan Ketua Pusat Pendidikan Perubatan Desa, Sikuati, Kudat, Dr. Mohd Faizal Madrin.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) berperanan untuk menyemai kepelbagaian dalam kepimpinan dalam kalangan generasi muda yang menuntut komitmen untuk menerima perbezaan dan kemahiran.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal, usaha ini penting kerana kecemerlangan bukanlah dilihat dari segi akademik sahaja.

“Kecemerlangan bakat adalah penting dalam memimpin komuniti akademik yang menyokong kecemerlangan institusi.

“Sebagai pemimpin institusi pengajian tinggi (IPT), peranan penting kita untuk memupuk dan menyebarkan pemahaman tentang keperluan untuk menghormati kepelbagaian dan keterangkuman dalam kepimpinan kepada generasi muda.

“Kepelbagaian dan keterangkuman bukan sekadar kata kunci tetapi asas yang membentuk masyarakat yang cergas dan progresif,” katanya ketika berucap sempena Persidangan ‘Empowering Diversity in Leadership: Navigating Complexities, Embracing Differences 2023’ yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Yusof menekankan agar IPT memanfaatkan kuasa perpaduan dengan mengiktiraf dan menghargai perbezaan.

“Persidangan ini telah dirangka dengan teliti bagi tujuan meneroka dimensi kepelbagaian dan memanfaatkannya sebagai pemangkin kepada perubahan positif dalam bidang pendidikan tinggi.

“Anjakan 2 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) bertujuan memperkasakan komuniti akademik yang relevan, dirujuk dan dihormati di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, pelan tersebut turut memperkenalkan program pembangunan kapasiti profesional yang komprehensif bagi membolehkan para pemimpin di peringkat IPT dapat membawa universiti masing-masing ke arah meningkatkan keterlihatan di kawasan serantau dan global.

“Dengan memperjuangkan kepelbagaian, kita memperkasakan diri kita untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang mencerminkan kekayaan masyarakat dan dapat menyediakan

pelajar untuk dunia yang berkembang maju dalam kebolehsuaian dan kecekapan silang budaya.

“Persidangan ini berfungsi sebagai mercu tanda untuk memupuk kepimpinan sedemikian, kerana ia menghimpunkan pelopor, cendekiawan dan pengamal yang telah menunjukkan kepintaran luar biasa dalam memupuk keterangkuman dan ekuiti,” ujarnya.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA), komited dalam membantu golongan usahawan untuk meningkatkan kemahiran berkaitan keusahawanan digital melalui penguasaan bahasa Inggeris.

Usaha tersebut direalisasikan melalui penganjuran Program Bahasa Inggeris Untuk Pemasaran Media Sosial baru-baru ini.

Menurut Pengarah JHEWA, Haslina Ismail, penganjuran program tersebut bertujuan untuk menangani isu kemahiran komunikasi digital dalam penggunaan bahasa Inggeris yang melibatkan pemasaran media sosial sebagai platform utama jual beli.

“Golongan usahawan perlu memahami dan menguasai bahasa Inggeris yang relevan untuk memasarkan produk atau perkhidmatan di media sosial, termasuklah penggunaan kata kunci yang betul dan teknik penulisan yang menarik.

“Dengan itu, para usahawan akan berpeluang mengembangkan lagi perniagaan di peringkat lebih tinggi khususnya antarabangsa dan tidak hanya tertumpu dalam pasaran tempatan,” katanya ketika berucap semasa merasmikan program tersebut.

Haslina turut memaklumkan, program tersebut merupakan salah satu usaha kerjasama dalam aspek pemindahan ilmu melalui Knowledge Transfer Program (KTP) oleh PPIB UMS.

“Penganjuran program seperti ini amat membantu dalam meningkatkan kemahiran keusahawanan digital dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi.

“Program ini juga memantapkan keyakinan diri dengan keupayaan untuk meningkatkan kedudukan sosioekonomi melalui media sosial,” ujar beliau.

Antara yang terlibat dalam program tersebut empat orang penceramah dari PPIB yang diketuai oleh Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Hubungan Antarabangsa PPIB, Dr. Priscilla Shak dan 14 peserta dari usahawan wanita Sabah di bawah pemantauan JHEWA.

Hadir sama, Dekan PPIB, Profesor Madya Dr. Lai Yew Meng; Pensyarah Asas Pembudayaan Keusahawanan, Dr. Adeline Tam dan Dr. Kelvin Yong; serta Pensyarah bahasa Inggeris, Kamsilawati Kamlun

 

Kolaborasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Delegasi Badan Kerjasama Perguruan Tinggi Negeri Wilayah Indonesia Bagian Barat (BKS-PTN) mampu meningkatkan keupayaan akademik dalam bidang pertanian, pada Isnin.

Menurut Pengerusi Delegasi Badan Kerjasama Perguruan Tinggi Indonesia, Dr. Ir Samadi, kolaborasi kali ini bertujuan untuk melawat Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS.

“Kami percaya lawatan ini akan membuka peluang yang berharga untuk meningkatkan kerjasama antara universiti kami dalam bidang mobaliti dan penyelidikan pelajar, kakitangan akademik.

“Diharap Kolaborasi kali ini dapat memupuk kerjasama yang lebih mendalam dan meneroka peluang untuk pertumbuhan bersama antara universiti dalam bidang pertanian,” katanya dalam satu ruang mesyuarat kolaborasi bersempena majlis tersebut.

Dr. Samadi juga memaklumkan, pihak mereka berbesar hati untuk mengembangkan kerjasama dalam pertukaran staf akademik dan program pelajar bagi memudahkan kerjasama penyelidikan dan penerokaan projek dan insiatif bersama.

Beliau mengucapkan terima kasih di atas peluang yang diberikan untuk meneroka kampus, melihat kemudahan yang terdapat di UMS dan berinteraksi dengan ahli fakulti dan pelajar.

Kolaborasi tersebut turut disantuni oleh Prof. Madya Dr. Azwan Awang, Dekan FPL secara atas talian melalui aplikasi Webex bagi memberikan sedikit maklumat tentang keistemewaan dan fasiliti yang disediakan oleh UMS kepada pelajar dan penyelidikan pertanian.

Dalam pada itu, Webinar yang disampaikan oleh Dr. Muhammad Askari, Pensyarah Kanan FPL yang bertajuk Agricultural Irrigation System for Durian telah diadakan pada sesi akhir ruang mesyuarat kolaborasi tersebut.

Dalam majlis tersebut, turut berlangsung sesi menandatangani LoI antara UMS dan BKS PTN, yang disempurnakan oleh Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor mewakil UMS, dan Dr. Ir. Samadi mewakili BKS PTN.

Seramai 22 orang delegasi yang mewakili sebelas universitas termasuklah Universitas Sumatera Utara, Tirtayasa, Jambi, Andalas, Riau, Syiah Kuala, Sriwijaya, Universitas Palangka Jaya, Universitas Tanjung pura dan Siliwangi.

Hadir sama, Dr. Norhuda Salleh, Timbalan Pengarah, Pusat Pengantarabangsaan dan Penlibatan Global, Prof. Madya Dr. Fifiy Hanisdah Saikim, Pengarah Institud Biologi, Tropika dan Pemuliharaan.

 

Seminar penyelidikan anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu memberi manfaat dalam memperkukuh perkembangan bidang akademik.

Menurut Pengarah Pusat Perakaunan FPEP, Jainurin Justine, seminar itu juga memberikan peluang kepada kakitangan akademik UMS dalam bidang perakaunan untuk membentangkan hasil penyelidikan akademik.

“Selain peserta dari UMS, penyertaan seminar ini juga melibatkan beberapa institusi pengajian tinggi tempatan antaranya Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor; Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS); University College Sabah Foundation (UCSF) dan Universitas Andalas Indonesia.

“Sebanyak 16 kertas kerja telah dibentangkan oleh kakitangan dan pelajar sarjana FPEP dan universiti-universiti tempatan yang terlibat.

“Para peserta juga dapat mengambil kesempatan untuk bertukar idea dan pandangan dalam bidang penyelidikan khususnya bidang perakaunan,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan seminar tersebut.

Beliau turut berharap agar seminar itu menjadi medium dalam penyampaian ilmu yang bermanfaat khususnya dalam bidang akademik dan masyarakat luar.

Seminar kali ketujuh yang diadakan sejak tahun 2017 itu disertai seramai 28 peserta dan dijalankan secara hibrid melalui aplikasi Cisco Webex, dan fizikal bertempat di Smart Class Room, FPEP.