Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan program Santuni Komuniti, Kesejahteraan Bersama di Kampung Jawi-Jawi, di sini, baru-baru ini.

Bertemakan ‘Jelajah Keluarga Angkat Borneo 1.0’, majlis perasmiannya disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk merangkap Pengerusi Sabah Softwoods Berhad, Datuk Mohd Arsad Bistari.

Berucap pada majlis itu Arsad berkata, kesedaran terhadap bahaya dadah perlu diberi perhatian dalam memastikan masyarakat terus terhindar daripada penyalahgunaan bahan terlarang itu.

“Ini kerana penyalahgunaannya boleh merangkumi pelbagai kumpulan umur dan latar belakang sosial.

“Justeru isu ini perlu yang sentiasa diberi perhatian dalam kalangan masyarakat. Pada kesempaatan ini, syabas dan tahniah diucapkan kepada Kelab PEMADAM UMS atas usaha menganjurkan program ini bersama komuniti,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Penganjur, Rosli Sidin; Ketua Kampung Jawi-Jawi, Jamari Seleh; Ketua Kampung Sangkir, Sabih Muluk; Naib Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Osman Johari; dan Pengarah Program, Mohd Ridzwan Majuk.

Dalam pada itu, Ridzwan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

“Diharapkan program ini dapat memberi impak yang positif kepada komuniti khususnya dalam membendung penyalahgunaan musuh nombor satu negara.

“Semoga ia juga mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara Kelab PEMADAM dengan komuniti setempat dan dapat membantu pihak kerajaan untuk mencapai matlamat generasi muda bebas dadah,” ujarnya.

Program itu turut disemarakkan dengan penglibatan 12 keluarga angkat daripada Kampung Jawi-Jawi dan Kampung Sangkir serta guru-guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Jawi-Jawi.

 

Speed Drugs Awareness Carnival (SDAC) 2023 anjuran Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya meraih lebih 600 penyertaan mahasiswa.

Bertemakan ‘Generasi Penamat: STOP DARVIH’, penganjuran program itu merupakan langkah proaktif bagi memantapkan kesedaran warga kampus mengenai ‘Generational End-Game’ sekali gus menyahut seruan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menamatkan generasi perokok dan mencapai sasaran Dadah Terkawal 2025.

Majlis perasmian penutupannya disempurnakan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Mohd. Raffie Hj. Janau.

Dalam ucapannya, Raffie berkata, karnival itu dapat memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada mahasiswa agar menjauhi penyalahgunaan dadah yang merupakan musuh nombor satu negara.

“Ia juga bagi menggalakkan nilai dan perpaduan sosial serta memperkasakan belia melalui penglibatan dalam program pembangunan sukan negara.

“Semoga SDAC 2023 dapat memberi impak positif kepada mahasiswa dan semua yang hadir menjayakan program ini,” katanya.

Pelbagai pengisian menarik turut diadakan sepanjang karnival tersebut, antaranya seminar, pertandingan fotografi, poster, penulisan, pertandingan video ringkas, explorace, pertandingan larian berwarna, dan forum.

Ia juga dimeriahkan dengan penglibatan lebih 35 gerai jualan serta pameran dan saringan kesihatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah.

Dalam pada itu, Pengarah Program, Nur Fatimah Al-Haura Rohaizad merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan karnival tersebut

“Besar harapan saya agar objektif program yang dianjurkan ini dapat dicapai, kemudian mewujudkan generasi bebas DARVIH (Dadah,Alkohol,Rokok,Vape,Inhalan dan HIV/AIDS) pada masa hadapan.

“Semoga bentuk kerjasama dan komitmen yang terjalin ini diteruskan bagi memberi pendidikan kepada semua dalam mencapai tujuan bersama,” katanya.

Hadir sama Pegawai Pemulihan AADK Cawangan Beaufort, Yusley Maning; Penolong Pegawai Tadbir Kanan PEMADAM Negeri Sabah, Abdul Ahmid Yusop; Naib Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Osman Johari; dan Pegawai Farmasi Hospital Queen Elizabeth, Muhammad Syafiq Afandi Mahdan.

 

Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Shell Malaysia mengadakan majlis Pengenalan Program Graduan Shell (An Introduction to Shell Graduate Program), di sini, baru-baru ini.

Perekrut Graduan Shell, Syerra Manan berkata, program itu antara lain bertujuan memberi pengenalan dan berkongsi peluang pekerjaan yang ditawarkan.

“Selain itu, para peserta berpeluang untuk membincangkan isu semasa berkaitan industri berkaitan dengan wakil - wakil industri yang hadir.

“Di samping itu, ia juga bagi memberi pendedahan tentang hala tuju dan cabaran kerjaya di Shell sekali gus menyumbang ke arah peningkatan kadar pekerjaan dalam bakal graduan” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena program tersebut yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan UMS, di sini.

Sementara itu Pegawai Psikologi PKPKP, Nurul Fatiha Firdaus Roslan memaklumkan seramai 150 pelajar tahun akhir daripada pelbagai bidang ijazah sarjana muda UMS telah menghadiri program tersebut..

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program yang julung kalinya diadakan di UMS ini.

“Semoga ia dapat memberi manfaat dari segi peningkatan ilmu mengenai industri dan pengetahuan mengenai peluang pekerjaan jangka masa panjang yang ditawarkan oleh pihak Shell,” katanya.

Turut hadir Perekrut Shell, Dinesh Jayabalan, dan Penolong Pegawai Tadbir PKPKP UMS, Anita Jamo Rudy.

 

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Hospital UMS (HUMS) dan Koperasi Ukhuwah Kota Klias Berhad menganjurkan Seminar Kesedaran Rehabilitasi, di sini pada Selasa.

Turut diadakan Pelancaran Rehab Living Lab bagi memperkasa komuniti sebagai pemberi perkhidmatan rehabilitasi asas kepada penduduk setempat melalui program Community-based Rehabilitation (CBR) atau pemulihan berasaskan komuniti.

Majlis perasmiannya disempurnakan Pembantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih bertempat di Kampung Pilajau Beaufort

Dalam ucapannya Isnin menyarankan, para pegawai kerajaan tempatan dan pemimpin komuniti memberi sokongan penuh terhadap usaha murni yang dijalankan secara kolaborasi padu antara UMS dengan komuniti Beaufort.

“Saya ingin menyeru terutamanya kepada warga belia agar menyahut program ini untuk menerima latihan sebagai pemberi CBR.

“Sesungguhnya kerjasama dalam program-program sebegini ini amat penting sama ada di pihak industri, universiti dan komuniti terutamanya bagi menyokong dari segi sumbangan kewangan dan kepakaran,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Menurut Rosalam, projek yang dinamakan CBR-UMS itu dapat memenuhi keperluan warga komuniti luar bandar yang sememangnya sukar untuk mendapatkan rawatan rehabilitasi di atas pelbagai faktor.

“Kebanyakan pesakit yang memerlukan rawatan rehabilitasi adalah mereka yang mempunyai keupayaan berlainan.

“Ada antaranya yang mempunyai masalah pengangkutan, mengalami kesukaran akses ke fasiliti kesihatan serta ketiadaan ahli keluarga atau penjaga bagi membawa pesakit ke hospital daerah.

“Justeru, inisiatif yang pertama kali seumpamanya dilaksanakan di Sabah ini diharap dapat membantu masyarakat yang terkesan sekali gus mencapai objektif penubuhan CBR - UMS yang bertemakan ‘Memperkasa Komuniti’,” katanya.

Untuk rekod, pusat Rehab Living Lab UMS di Kampung Pilajau itu juga akan berperanan memberi latihan kepada belia yang terpilih untuk menjadi pemberi CBR sejajar dengan aspirasi UMS sebagai peneraju masyarakat berinovatif.

Ia diketuai pakar perubatan rehabilitasi dari FPSK UMS, Prof. Madya Dr. Fatimah Ahmedy bersama-sama para penyelidik Sabah Rehabilitation Research and Service Group UMS serta beberapa pegawai rehabilitasi HUMS.

Sementara itu, Seminar Kesedaran Rehabilitasi yang diadakan juga mendapat sambutan memberangsangkan daripada penduduk setempat.

Seminar disampaikan Prof. Madya Dr. Fatimah; Pegawai Pemulihan Perubatan (PT) HUMS, Nurul Afiqah Fattin Amat; dan Pegawai Pemulihan Perubatan (OT) HUMS, Frisca Aziah Francis.

Turut diadakan pada program tersebut saringan kesihatan secara percuma daripada pasukan HUMS2U bersama Klinik Bergerak Hospital Pengajar UMS.

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan lawatan tapak bagi persediaan latihan kecemasan bencana alam di Kampung Melangkap Baru, Kota Belud baru-baru ini.

Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus berkata lawatan tapak itu merupakan persediaan awal bagi Program Pendidikan Awam Bencana Alam yang akan diadakan pada 19 Ogos 2023.

“Antara pengisian program pendidikan awam ini nanti adalah latihan kecemasan bencana alam seperti banjir, kebakaran dan gempa bumi.

“Latihan kecemasan banjir akan diberikan oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Belud; latihan kecemasan kebakaran akan diberikan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Belud, manakala latihan kecemasan gempa bumi akan diberikan oleh pihak NDRC sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Carolyn, lawatan tapak itu juga bagi menentukan lokasi yang akan digunakan untuk latihan, termasuk melihat infrastruktur, dan ciri geografi yang relevan dengan bencana yang akan disimulasikan.

“Antara lain latihan ini diadakan adalah bertujuan untuk meningkatkan sistem keselamatan dan pengendalian kecemasan bencana alam di kawasan Kampung Melangkap serta melatih komuniti untuk menghadapi kecemasan bencana seperti gempa bumi, banjir dan kebakaran.

“Ia juga bagi mempersiapkan mereka agar lebih bersiap siaga menghadapi sebarang kejadian bencana alam di sekitar mereka pada masa hadapan,” jelasnya.

Lawatan tersebut turut diisi dengan sesi perbincangan bersama Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi - Pengerusi JPKK Melangkap Baru, Melangkap Tomis, Melangkap Tiong, Melangkap Kapa dan Melangkap Nariou.

Antara isu dan cadangan yang dibincangkan adalah pemasangan siren amaran banjir, mengadakan satu garis panduan keselamatan bagi pusat-pusat pelancongan, penubuhan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) serta cadangan penubuhan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) untuk Kampung-kampung di Melangkap.

Dalam pada itu, Carolyn turut berterima kasih atas komitmen yang ditunjukkan oleh JBPM dan APM Kota Belud kerana turut serta dalam lawatan tapak dan perbincangan bersama Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi-Pengerusi JPKK Melangkap.

“NDRC sentiasa menyokong dan bersedia untuk memberikan khidmat latihan, nasihat serta menjadi penyelaras sekiranya cadangan-cadangan yang diutarakan dalam perbincangan tersebut diteruskan oleh komuniti Melangkap,” katanya.

Hadir sama Pegawai Bomba Kanan I Kota Belud, Thomas Bolu; Bahagian Pengurusan Latihan (CPL) APM Kota Belud, PBT (PA) Mohd Fazrul Ihwan Laip; Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan UMS/Felo Penyelidik Utama NDRC, Dr. Janice Lynn Ayog; Pensyarah Kanan FSSA, UMS/Felo Penyelidik NDRC, Ts. Dr. Hardianshah Saleh; dan Pegawai Penyelidik NDRC, Eldawaty Madran.