PenampangISNIN, 1 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan jelajah transformasi pendidikan bagi menyalurkan informasi kepada orang ramai melalui program Selangkah Ke Menara Gading di zon Penampang.

Pada program jelajah itu, kira-kira 150 orang pelajar dan ibu bapa telah bertandang ke Bohavan Square, Donggongon Penampang bagi mendapatkan informasi mengenai kursus-kursus yang di tawarkan oleh UMS melalui ceramah akademik yang diberikan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Giluk Dompok yang juga merupakan Ahli Parlimen P.174 Penampang. Turut hadir Pengarah Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Mahmud Sudin.

Pada program itu, terdapat juga gerai pameran daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Bahagian Perkhidmatan Akademik, UMS Link Holdings Sdn. Bhd dan Hospital Queen Elizabeth yang turut serta menyediakan kaunter derma darah.

Oleh: Faezah Mohamad Dun

Foto: Suzeanywati Gasinin



Seksyen Penerangan dan Media, Bahagian Perhubungan Korporat

 

pameran KMJUMAAT, 29 MAC  - Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa mengambil berat mengenai aspek kecemerlangan pendidikan di negeri ini. Terbaru, UMS melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEP) dengan kerjasama Pejabat Parlimen P.168 Kota Marudu telah mengadakan Program Transformasi Pendidikan dengan tema ‘Selangkah Ke Menara Gading’.

Ketika merasmikan karnival tersebut  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili berkata menerusi kerajaan sedia ada, pelbagai bantuan telah disalurkan untuk pembangunan pendidikan termasuk di  negeri Sabah.

“Kita berharap suatu hari nanti akan adanya pusat pengajian di daerah ini untuk memberi peluang kepada anak-anak kita melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” ujar beliau kepada lebih 150 hadirin yang hadir di Dewan Komuniti, Kota Marudu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen P.168 Kota Marudu berkata, para pelajar perlu memupuk minat untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi bagi menghasilkan modal insan yang lebih berjaya.

Justeru Datuk Seri Dr. Maximus berharap, melalui program transformasi pendidikan itu mampu melahirkan sekurang-kurangnya satu kampung satu graduan pada masa hadapan ke arah memenuhi permintaan pasaran kerjaya.

Program sehari itu turut diisi dengan gerai-gerai pameran pendidikan, ceramah akademik dan aktiviti kemasyarakatan daripada sukarelawan UMS. Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Pusat Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Mahmud Sudin mewakili Timbalan Naib Canselor HEP UMS, Prof. madya Datuk Dr. Hj. Kasim Md. Mansur.

Oleh: Faezah Mohamad Dun
Foto: Musaab Umair
 
 
Seksyen Penerangan dan Media Bahagian Perhubungan Korporat

 

 

dialogISNIN, 25 MAC - Sejak kebelakangan ini pelbagai isu percanggahan idea, pendapat, konflik dan krisis dalam kalangan warga pendidik kian diperkatakan.

Justeru, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Shariff Abd. Kadir S. Omang Al-Haj berkata, situasi berkenaan memerlukan suatu formula penyelesaian yang konstruktif, dinamik dan harmonis menerusi kerjasama semua pihak termasuklah di peringkat institut pengajian tinggi.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh Dekan Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial (SPPS), Prof. Madya Dr. Ismail Ibrahim pada sesi dialog Majlis Dekan-Dekan Fakulti Pendidikan Institut Pengajian Awam (IPTA) Malaysia bersama Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat dan Bahagian Pendidikan Guru.

Menurut Prof. Dr. Shariff, pihak tertentu tidak seharusnya melakukan sebarang spekulasi mahupun menokok tambah tentang permasalahan isu pendidikan dan proses pembelajaran sebaliknya semua pihak berkenaan harus membantu merungkai serta memperbaiki keadaan selaras dengan kemapanan pembangunan modal insan negara.

“Pendidikan merupakan wadah utama dalam menentukan kemajuan dan kemakmuran negara, sekali gus menjadi peneraju dalam pembangunan generasi pelajar yang berpengetahuan, kemahiran dan berkeperibadian mulia,” ujar beliau.

Tambahnya, usaha berterusan menangani isu tersebut wajar, agar warga pendidik dipandang tinggi sesuai dengan peranan besar mereka membentuk bangsa menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti.

Mengenai penganjuran dialog yang bertemakan ‘Isu-isu Pendidikan Kini dan Masa Hadapan: Realiti dan Cabaran’, beliau berkata ia amat bertepatan bagi merungkai pelbagai isu semasa berkaitan proses pendidikan dan pembelajaran sekali gus membuka jalan penambahbaikan hala tuju pendidikan dan pembangunan modal insan agar berada pada landasan yang tepat.

Dialog tersebut yang dianjurkan oleh SPPS bertempat di Grand Ballroom 1Borneo, Kota Kinabalu itu telah disertai lebih 100 peserta.

 

Oleh: Faezah Mohamad Dun

Foto: Musaab Umair

 

Seksyen Penerangan dan Media, Bahagian Perhubungan Korporat

MoA UMSLinkRABU, 27 MAC - Para penyelidik digesa agar lebih kreatif dan inovatif dalam melaksana penyelidikan dan pembangunan (R&D). Ia kerana usaha tersebut merupakan antara elemen penting bagi memastikan pencapaian serta kebolehpasaran sesuatu produk yang dihasilkan.

Naib Canselor Universiti  Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah, berkata penekanan terhadap kepentingan R&D  itu bukan sekadar teori semata-mata malah mengimbangi elemen amali sekaligus menyumbang kepada pengkomersilan produk yang untuk pembangunan sumber ekonomi.

Beliau berucap demikian pada Majlis Menandatangani Pengkomersilan dan Perjanjian Pelesenan produk ‘Alife’ antara UMS dan Ulink Agro-Based Sdn. Bhd.

Perjanjian tersebut ditandatangani Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Dr. Felix Tongkul bagi pihak UMS, manakala bagi pihak Ulink Agro-Based Sdn. Bhd, diwakili Pengerusinya, Datuk Jurij Yaccob dan Ketua Pegawai Operasi, UMS Link Holdings Sdn. Bhd. Wan Mohd Azeelan Haji Adnan.

Perjanjian tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi Kumpulan UMS Link Holdings Sdn. Bhd, Datuk K.Y. Mustafa, Bendahari UMS, Tuan Haji Rizal Othman dan Pengarah Urusan Kumpulan  Suria Capital Berhad merangkap  Pengarah UMS Link Holdings Sdn. Bhd dan ahli Audit Dalaman & Pengurusan Risiko ULink, Datuk Dr. Mohamed Fowzi Hassan Mohamed Razi.

Sementara itu, mengenai perjanjian tersebut, pihak UMS amat menghargai kesediaan UMS Link Holdings Sdn. Bhd. melalui anak syarikatnya ULink Agro Based Sdn. Bhd. untuk bekerjasama dalam mengkomersilkan produk harta intelek (IP) dan teknologi hasil ciptaan para penyelidik UMS.

Perjanjian tersebut melibatkan penghasilan produk kesihatan dijenamakan sebagai ‘ALife’ yang merupakan makanan tambahan berupa kapsul Tongkat Ali atau dikenali sebagi Eurycoma Longifolia menerusi kajian dan penyelidikan pengasasnya, Awang Ahmad Yunus dari Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa UMS.

Pada majlis itu, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah turut menerima replika cek berjumlah RM 30,000 daripada Pengerusi ULink Agro-Based Sdn. Bhd, Datuk Jurij Yaccob sebagai bayaran yuran pelesenan eksklusif  kepada UMS.

 

Oleh: Faezah Mohamad Dun

Foto: Musaab Umair

Seksyen Penerangan dan Media Bahagian Perhubungan Korporat

Bantuan LDJUMAAT, 22 MAC - Pelbagai pihak terus tampil memberi bantuan bagi meringankan beban seramai kira-kira 1500 penduduk di beberapa perkampungan terlibat yang telah dipindahkan ke kawasan sementara dalam daerah Lahad Datu.

Terbaru, Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut tidak ketinggalan dalam menghulurkan bantuan menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan ke kawasan Ops Daulat.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah berkata, program tersebut yang disertai oleh kakitangan UMS, agensi-agensi kerajaan dan individu perseorangan adalah dilaksanakan secara sukarela.

“UMS melalui beberapa sekolah termasuklah Sekolah Perubatan telah mengadakan kerjasama antara  Jabatan-jabatan, Sekolah, Pusat, Institut dan Unit dalam UMS, berserta Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Bukan Akademik UMS (PPUMS), Persatuan Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik Malaysia (Cawangan Sabah dan Labuan) serta pihak MERCY Malaysia Cawangan Sabah bagi menyelaraskan aktiviti bantuan kemanusiaan di daerah Lahad Datu,” ujar beliau ketika merasmikan pelepasan konvoi Misi Bantuan Kemanusiaan UMS.

Menurutnya, program tersebut diadakan secara berperingkat di mana objektif utama Misi Bantuan Kemanusiaan UMS ke Lahad Datu kali pertama pada 21 sehingga 24 Mac 2013 adalah lebih memfokuskan  kepada penghantaran barang-barang keperluan yang dikumpul hasil daripada sumbangan kakitangan UMS dan juga daripada pihak luar UMS.

Sementara itu, Misi Bantuan Kemanusiaan UMS ke Lahad Datu kali kedua pula yang dijangka akan diadakan pada bulan April atau Mei 2013 mempunyai objektif utama untuk melaksanakan program seperti pemeriksaan kesihatan, khidmat kaunseling, aktiviti pendidikan kanak-kanak serta aktiviti gotong-royong di kawasan penempatan sementara penduduk.

“Antara aktiviti untuk jangka masa lebih panjang yang dicadangkan adalah seperti pemeriksaan kesihatan oleh Sekolah Perubatan, khidmat kaunseling oleh Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial, aktiviti pendidikan bersama kanak-kanak oleh Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial dan ceramah pemakanan sihat oleh Sekolah Sains Makanan dan Pemakanan,” tambah beliau.

Seramai 42 orang mengikuti Konvoi Misi Bantuan Kemanusiaan UMS ke Lahad Datu termasuklah kakitangan dari agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, pesara Polis dan juga orang perseorangan.

 

Oleh: Faezah Mohamad Dun

Foto: Musaab Umair

               

Seksyen Penerangan dan Media, Bahagian Perhubungan Korporat

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.