SELASA, 21 MAC - Pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa menyokong program berkaitan sukan dan rekreasi untuk warga universiti secara keseluruhan.
Menurut Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah, peruntukan bajet khas kepada Pusat Sukan diberikan agar program sukan dapat dirancang dan dijalankan sepanjang tahun, termasuk penyertaan kejohanan di peringkat kebangsaan dan pengelolaan program sukan di UMS.
“UMS mempunyai kemudahan sukan yang kondusif dan mesra pelanggan yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya sama ada bersukan untuk kesihatan atau sebagai atlet yang akan bertanding di peringkat universiti, kebangsaan atau antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sukan Mahasiswa UMS 2017 dan Kejohanan Bola Sepak ‘Road to World Cup 2018’ di Stadium UMS baru-baru ini.
“Sukan merupakan salah satu agenda negara, maka itu pihak universiti menekankan kepentingan sukan selari dengan aspirasi negara,” ujarnya.
UMS dilengkapi kemudahan hampir semua jenis sukan termasuk yang terbaru iaitu padang bola sepak rumput tiruan yang diiktiraf FIFA telah siap sepenuhnya pada bulan Oktober tahun lalu.
“Saya menggalakkan agar mahasiswa menyertai atau melibatkan diri dalam pelbagai sukan melalui pelbagai kejohanan atau pertandingan yang dianjurkan oleh Pusat Sukan.
“Melalui program sebegini, mahasiswa akan dapat berinteraksi dan membina jati diri melalui kepimpinan di samping mendapat manfaat secara langsung untuk kesihatan diri," ujar beliau.
Sukan Mahasiswa dan Kejohanan Bola Sepak ‘Road to World Cup’ itu melibatkan penyertaan kira-kira 1,000 mahasiswa.
Sukan Mahasiswa merangkumi liga sukan membabitkan sukan bola sepak, futsal, sepak takraw, bola tampar, bola keranjang, bola jaring, bola baling, badminton, ping pong, tenis dan catur.
Manakala Kejohanan Bola Sepak ‘Road to World Cup’ pula melibatkan pelajar antarabangsa yang mewakili negara masing-masing iaitu Brunei, China, India, Indonesia, Timor-Leste dan Malaysia.
Turut hadir pada majlis tersebut, Konsul Fungsi Penerangan Sosial dan Budaya Konsulat Indonesia di Kota Kinabalu, Cahyono Rustam; Konsulat Brunei di Kota Kinabalu, Pengiran Haji Yussof; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Ismail Ali serta pegawai-pegawai kanan UMS.



ISNIN, 20 MAC - Program Rakan Borneensis 2017 anjuran Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) dengan kerjasama Japanese International Cooperation Agency - Sustainable Development For Biodiversity and Ecosystem Conservation (JICA-SBDEC) dan South East Asia Rainforest Research Programme (SEARRP) mampu melahirkan generasi menghargai kepentingan alam sekitar.
KHAMIS, 16 MAC – Persidangan Antarabangsa Mengenai Sains Marin dan Akuakultur (ICOMSA) 2018 bakal memfokuskan terhadap usaha memperkembangkan sistem tadbir urus lautan dan sumber marin secara holistik.
RABU, 15 MAC - Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) yang giat menganjurkan program Jom Sihat Bah! 2017 telah mengadakan aktiviti FitFSSA (Power Walk), iaitu aktiviti berjalan kaki dari Kompleks Sains dan Teknologi ke Kompleks Perhutanan.
ISNIN, 13 MAC - Bakti Siswa Perdana dan Pesta Bubuk anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kampung Binsulok, Membakut mampu menjadi landasan untuk mempromosikan kepelbagaian produk pelancongan berasaskan pengeluaran makanan yang diusahakan penduduk kampung tersebut.