JUMAAT, 23 SEPTEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) pagi ini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Seksyen Perhubungan Awam, Kedutaan Amerika Syarikat, yang berlangsung di Bangunan Canselori, UMS.

MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah disaksikan oleh Pendaftar UMS, No’man Hj. Ahmad.

Manakala Seksyen Hal Ehwal Awam, Kedutaan Amerika Syarikat diwakili Kaunselor, Frank J. Whitaker dengan disaksikan Penolong Pegawai Hal Ehwal Kebudayaan, Kedutaan Amerika Syarikat, Micheal Cavey.

Objektif utama perjanjian itu adalah untuk mewujudkan satu sudut yang akan menempatkan bahan-bahan berkaitan Amerika Syarikat termasuk mengadakan aktiviti yang boleh dimanfaatkan oleh warga kampus khasnya dan masyarakat setempat amnya.

Sementara itu, Frank ketika ditemui media berkata, konsep sudut yang dinamakan ‘American Corner’ itu akan mempunyai rekabentuk Smithsonian, dan dijangka akan dilancarkan pada awal bulan Disember.

“Sudut ini akan menempatkan bahan-bahan tentang Amerika Syarikat dalam semua aspek seperti polisi-polisi Amerika Syarikat, pendidikan, geografi, sejarah, masyarakat, budaya dan lain-lain,” katanya.

UMS merupakan Perpustakaan Akademik yang pertama di Malaysia yang menandatangani MoU dengan Kedutaan Amerika Syarikat untuk mewujudkan ‘American Corner’ di universiti. - FL

JUMAAT, 23 SEPTEMBER - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan bengkel “4th Ultrasound in Obstetric and Gynecology” selama tiga hari di Auditorium Utama fakulti berkenaan.

Diadakan bermula hari ini, bengkel tersebut dianjurkan dengan kerjasama Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah serta IDS Medical Systems Group (IDSMED).

Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Dekan (Penyelidikan Klinikal) FPSK, Prof. Madya Dr. Helen Benedict Lasimbang mewakili Dekan FPSK, Prof. Dr. Zainal Arifin Mustapha.

Dalam ucapannya Dr. Helen berkata, penggunaan dan pemahaman terhadap ultrasound adalah penting dalam penjagaan dan pengurusan pesakit obstetrik pada masa kini.

Ultrasound digunakan secara rutin untuk melindungi kehamilan sebagai sebahagian daripada penjagaan antenatal bagi  memastikan janin yang normal di samping mampu mengesan sebarang masalah yang berlaku dalam kandungan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, sebagai doktor dan pengamal perubatan, adalah menjadi satu kemestian untuk memahami prinsip-prinsip ultrasound, iaitu bagaimana untuk mengendalikan dan cara mengaplikasinya.

Bengkel yang berlangsung sehingga Ahad itu disertai 50 peserta daripada pelajar dan pengamal perubatan sekitar Sabah.

KHAMIS, 22 SEPTEMBER - Seramai 100 peserta dari seluruh negara menyertai Kursus Malaysia Private Entities Reporting Standard (MPERS) yang dianjurkan Jabatan Bendahari, Universiti Malaysia Sabah (UMS) bermula hari ini.

Dengan tema “Are You Ready to be Audited?”, kursus diadakan di sebuah hotel di Kota Kinabalu dan dikendalikan dua penceramah berpengalaman luas dalam bidang audit.

Mereka ialah  Thong Foo Vung iaitu rakan juruaudit KPMG yang juga Ahli Lembaga Pengarah dalam Auditing and Assurance Standards Board (AASB), dan Pengurus KPMG, Sye Yie yang juga pernah berkhidmat di firma audit KPMG di Taiwan.

Terdahulu Pemangku Bendahari, Zallifah Shadan dalam ucapannya berkata, pelaksanaan kursus MPERS adalah sejajar dengan piawaian perakaunan baharu yang dikeluarkan Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB) pada 14 Februari 2014 yang mana MPERS menggantikan piawaian yang sedia ada.

“Piawaian ini terpakai bagi penyata kewangan yang disediakan bermula pada atau selepas 1 Januari 2016,” katanya.

Beliau turut menyuarakan harapan agar pendekatan perkongsian ilmu yang diterapkan tidak akan terhenti dalam kursus itu sahaja tetapi para peserta disarankan untuk terus menjalinkan kerjasama yang erat sesama mereka.

“Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan selamat datang ke negeri di Bawah Bayu bagi semua peserta dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Terima kasih kerana telah memilih untuk menyertai kursus MPERS anjuran UMS,” katanya lagi.

Kursus MPERS akan berlangsung selama dua hari sehingga esok.

KHAMIS, 22 SEPTEMBER - Unversiti Malaysia Sabah (UMS) menduduki tempat ketiga kategori Tarian Kreatif Terbuka pada Festival Seni Borneo 2016 yang dianjurkan di Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.

UMS yang diwakili oleh Kumpulan Cul’Art Dance di bawah naungan Bahagian Kebudayaan dan Kesenian Jabatan Hal Ehwal Pelajar menerima wang tunai berjumlah RM3,000 berserta piala.

Cul’Art yang terdiri daripada 12 pelajar UMS membawa tarian bertajuk ‘Godu’ yang menceritakan tentang misteri seekor belalang yang menjadi kepercayaan etnik Kadazan dan Dusun di negeri ini.

Kumpulan tari di bawah jurulatih Suhairin Abd Kadir itu berentap bersama 17 kumpulan tari yang turut disertai oleh peserta daripada negara Brunei dan Indonesia.

Johan Pertandingan Tarian Kreatif itu dimenangi oleh Kumpulan Putera Puteri, Kota Kinabalu manakala Naib Johan pula disandang oleh kumpulan Sanggar Budaya Sri Pengkalan, Kuala Lumpur.

Sumber: Norhana Nordin

Foto: Bahagian Kebudayaan dan Kesenian JHEP

RABU, 21 SEPTEMBER - Dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi di negeri ini, satu Surat Niat (LOI) di antara Universiti Malaysia Sabah (UMS), Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) serta Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dimeterai hari ini.

Majlis menandatangani LOI berkenaan berlangsung di Galeri Majlis Bangunan Canselori sempena Seminar Ekonomi Kontemporari yang julung kali dianjurkan oleh Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS.

UMS diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, manakala SEDIA dan IDS masing-masing diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr. Mohd Yaakob Hj Johari dan Datuk Mohd Hasnol Ayob.

Perjanjian tersebut bertujuan menggalakkan kerjasama dan hubungan yang kukuh di antara UMS-SEDIA-IDS dalam bidang akademik dan penyelidikan, perlaksanaan dasar, penerbitan serta latihan dan pembangunan.

Ketika merasmikan seminar tersebut, Profesor Datuk Dr. Harun berkata cabaran ekonomi, sosial, politik dan persekitaran yang dihadapi sekarang perlu ditangani dengan segera agar kebajikan masyarakat hari ini dan generasi akan datang terus terpelihara.

“Program Transformasi Ekonomi dijangka dapat memberi manfaat kepada sumber ekonomi negara, satu daripadanya adalah pencapaian status negara maju menjelang tahun 2020. Dalam kita menuju ke arah matlamat itu, kita perlu meningkatkan produktiviti dan aktiviti ekonomi di samping menggunakan sumber ekonomi sedia ada pada tahap yang optimum,” ujarnya.

Seminar selama dua hari itu memuatkan pelbagai perbincangan serta pembentangan kertas kerja berkenaan cabaran serta pembangunan ekonomi di negeri ini yang turut dibentangkan oleh Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Dato’ Sri Hj Nasir Tun Hj Sakaran.

Foto: Martubat Jamlan