ISNIN, 19 SEPTEMBER - Seramai 19 lagi pelajar antarabangsa mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui program mobiliti pelajar.

Kesemua pelajar tersebut berasal dari lima negara iaitu Korea Selatan, Indonesia, Jerman, Brunei dan Thailand.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, penglibatan para pelajar berkenaan dalam program itu di UMS bukan hanya dapat memberi ruang pembelajaran kepada mereka, malah dapat berkongsi kemahiran yang dimiliki kepada masyarakat.

“UMS berharap agar anda semua akan menjadikan universiti ini pilihan untuk meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah kelak,” katanya ketika berucap dalam satu majlis mengalu-alukan ketibaan kumpulan pelajar itu di Cafe D’Sireh, hari ini.

Datuk Harun turut menasihatkan para pelajar berkenaan untuk mempelajari budaya dan bahasa yang terdapat di negeri ini agar dapat menjadi nilai tambah kepada mereka selama enam bulan berada di UMS.

Empat fakulti yang terlibat dalam program mobiliti tersebut adalah Fakulti Komputeran dan Infomatik (FKI), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) serta Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA).

Untuk rekod, UMS setakat ini mempunyai 713 pelajar antarabangsa yang mengikuti program diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan latihan industri.

Foto: Suzeanywati Gasinin

KHAMIS, 15 SEPTEMBER - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah menggalakkan semua staf yang berada di Bangunan Canselori untuk mula bercucuk tanam di ruang yang telah disediakan sekitar bangunan tersebut.

Menurutnya, usaha tersebut bertujuan menyokong pelaksanaan EcoCampus bagi melestarikan alam semula jadi dalam kampus.

“UMS kini menjadi salah satu destinasi pelancongan di Sabah. Landskap yang tersedia indah dan menjadi semakin indah apabila bunga-bunga mula mekar di sepanjang jalan di dalam kampus menjadi ikon pengunjung untuk memotretkan kenangan,” ujarnya.

Tambah beliau, aktiviti bercucuk tanam harus dijadikan salah satu hobi yang bermanfaat oleh staf UMS kerana hasil tanaman tersebut dapat dinikmati oleh warga kampus.

Pada pelancaran tersebut, beberapa pokok buah-buahan dan sayur-sayuran turut ditanam seperti durian, bayam, kangkung, terung dan ulam raja.

Turut hadir, Pegawai-pegawai Utama dan Kanan Universiti, staf bangunan Canselori serta pelajar UMS. -ZMD-

Foto: Musaab Umair

KHAMIS, 15 SEPTEMBER - Kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan Special Olympic Sabah dapat mempergiatkan lagi penglibatan mahasiswa dengan aktiviti kemasyarakatan, kata Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Katanya, kerjasama antara UMS dan Special Olympic Sabah juga dapat meningkatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran terutama dalam membangunkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.

“UMS bukan sahaja ingin melahirkan graduan yang intelektual, berpengetahuan dan serba boleh, malah kami juga ingin melahirkan graduan yang mampu menyumbang jasa dan bakti kepada masyarakat luar apabila bergraduat kelak,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Pelancaran Fun Fitness 2016 dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan Special Olympics Sabah.

Datuk Harun berkata, jalinan kerjasama itu merupakan salah satu usaha yang baik dilakukan Program Sains Sukan, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, UMS untuk membawa masuk industri ke dalam persekitaran kampus.

“Ini sekali gus akan membantu mendekatkan jurang antara institusi pengajian tinggi dengan pihak luar yang terlibat secara langsung dengan masyarakat dan menyediakan peluang pekerjaan.

“Kerjasama ini juga merupakan titik permulaan perjuangan untuk menyediakan peluang sama rata dalam aktiviti sukan untuk golongan istimewa ini,” tambahnya. 

Menyentuh mengenai pelancaran program Fun Fitness, Datuk Harun berkata, ia merupakan program penilaian kecergasan fizikal dan pemprograman senaman bagi setiap golongan kurang upaya yang berbeza keperluan.

Beliau berkata, tujuannya untuk mendidik atlet golongan istimewa, keluarga dan jurulatih tentang kepentingan setiap komponen kecergasan fizikal.

“Saya difahamkan penubuhan unit khas FunFitness di Pusat Kecergasan dan Rehabilitasi, Fakulti Psikologi dan Pendidikan menjadikan UMS sebagai pelopor Program FunFitness di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Majlis pelancarannya disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Hj. Tawfiq Hj. Abu Bakar Titingan, dan juga dihadiri oleh Pengarah Operasi Special Olympics Asia Pacific, Simon Koh.

Datuk Tawfiq turut menyaksikan pemeteraian MoU antara Datuk Harun bagi pihak UMS dengan Presiden Special Olympic Sabah, Datuk Haji Safari Manan.

RABU, 14 SEPTEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) menghantar enam pelajar mengikuti Program Mobiliti Berkredit di Universitas Mercu Buana (UMB), Indonesia baru-baru ini.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Alumni FPP, Dr. Getrude Cosmas berkata, kesemua pelajar yang terlibat merupakan pelajar daripada Program Industri dan Organisasi, Program Pembangunan Belia dan Komuniti  serta Program Psikologi Kanak-kanak dan Keluarga.

“Mereka akan mengikuti program tersebut selama satu semester atau enam bulan sebelum kembali semula ke UMS,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang turut mengetuai rombongan pelajar tersebut ketika berangkat ke Jakarta turut mengongsikan pengalaman apabila disambut mesra oleh pelajar UMB yang pernah mengikuti program yang sama di UMS.

“Saya bersama semua pelajar UMS yang terlibat menerima layanan yang baik dan kami turut diberi taklimat dan penerangan terperinci berkaitan dengan kampus UMB semasa majlis penyerahan pelajar UMS kepada UMB di sana.

“Kami sangat berterima kasih kerana kami turut dialu-alukan dalam majlis tersebut oleh enam pegawai utama UMB yang diketuai Wakil Rektor Bidang Kelembagaan dan Sumber Daya,  Dr. Purwanto SK,” tambah Dr. Getrude.

Para pelajar UMS turut dibawa melawat ke sekitar UMB termasuk ke Fakultas Psikologi, Perpustakaan, Pusat Latihan Pelajar, Pusat Penyelidikan dan beberapa kawasan menarik di kampus berkenaan.

Turut berangkat sama ke UMB Jakarta ialah Penolong Pendaftar FPP, Jamal Atong.

Sementara itu, Dr. Getrude juga berkata, kerjasama yang dijalinkan antara UMS-UMB menerusi program berkredit banyak memberikan peluang kepada pelajar daripada program Psikologi untuk mendapatkan pengalaman baharu dan ilmu yang mungkin berbeza dengan persekitaran di UMS.

“Terdapat beberapa kursus psikologi yang tidak ditawarkan di FPP ditawarkan di UMB seperti Psikologi Forensik dan Analisis Kesulitan Belajar,” katanya.

Untuk rekod enam pelajar UMS yang terpilih mengikuti program mobiliti itu ialah Chiew Hing Chun, Noor Syazlin Noh, Nurul Nabila Burhanuddin, Dhasni Chander, Ruvina Indran dan Herdanarena Samsuddin.

Sumber: Fakulti Psikologi dan Pendidikan

SELASA, 13 SEPTEMBER – Sebanyak 10 ekor lembu dikorbankan oleh pihak Universiti Malaysia Sabah bersempena dengan sambutan Aidiladha peringkat UMS.

Lima ekor lembu disembelih di perkarangan Masjid UMS pagi tadi, manakala selebihnya disembelih di perkarangan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Masjid UMS, dan di Kampung Giling, Tuaran pada pagi Hari Raya Aidiladha, kelmarin.

Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan UMS, Ustaz Razali Saibin, acara penyembelihan pada pagi tadi melibatkan seramai lebih 50 warga kakitangan UMS, dan bermula dengan taklimat ringkas oleh Konsultan Penyembelihan Halal, Ustaz Sablee Abdul Rahman.

“Taklimat awal diberikan adalah bagi memperingatkan kembali kaedah penyembelihan mudah yang diajar dalam satu siri kursus yang dianjurkan sebelum ini.

“Penglibatan golongan muda dalam acara ibadah korban pada kali ini amat menggalakkan, dan perkembangan ini sesuatu yang positif memandangkan tenaga muda sememangnya diperlukan bagi aktiviti-aktiviti menumbangkan lembu-lembu korban tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Sablee turut berharap agar golongan muda terus melibatkan diri dalam aktiviti penyembelihan dan ibadah Qurban kerana ibadah ini berkait rapat dengan makanan seharian masyarakat.

“Golongan belia wajar mempelajari teknik penyembelihan haiwan secara mudah dan halal bagi memastikan sumber daging halal sentiasa berterusan.

“Anak muda seawal usia 12 tahun boleh mula mempelajari kaedah penyembelihan, dimulakan dengan penyembelihan ayam atau kambing, kerana ini adalah satu kemahiran yang mereka boleh amalkan di mana-mana sahaja,” ujarnya.