RABU, 17 OGOS - Sempena sambutan bulan Kemerdekaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan satu  ‘Larian Merdeka 10km ke Puncak UMS’ pada 27 Ogos 2016.

Program tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebajikan, Rekreasi dan Libatsama Masyarakat’ (KARIB) di bawah seliaan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KARIB ,  aktiviti larian itu bertujuan untuk memperkukuhkan semangat patriotik bukan sahaja dalam kalangan warga UMS tetapi juga orang ramai yang mengambil bahagian.

Program itu juga dilihat bertepatan dalam membudayakan  warga UMS dan orang ramai dengan amalan gaya hidup sihat melalui acara riadah dan rekreasi seumpama itu.

Kenyataan itu memaklumkan, larian itu terbahagi kepada dua kategori iaitu lelaki dan wanita dengan yuran penyertaan serendah RM30 untuk warga UMS dan pelajar sekolah menengah manakala  RM50 untuk dewasa (terbuka untuk semua).

Pendaftaran lewat juga boleh dilakukan semasa larian berlangsung dengan bayaran yuran  RM60. Yuran penyertaan termasuk t-shirt aktiviti dan kelengkapan larian.

Peserta yang berjaya menamatkan larian sejauh 10 kilometer itu akan menerima sijil penyertaan.

Tiga pelari terpantas untuk kategori lelaki dan perempuan akan memenangi trofi serta sijil dan 25 pelari pertama kedua-dua kategori akan mendapat medal berserta sijil.

Borang penyertaan boleh diperolehi melalui laman Facebook Larian Merdeka 10km ke Puncak UMS atau datang ke pejabat pentadbiran PPIB.

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi penyelaras program, Erwin Rusfian di talian 014-3335392.

RABU, 17 OGOS –  Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Fakulti Psikologi dan Pendidikan telah menganjurkan Program Motivasi Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Banggi, Kudat baru-baru ini.

Program tersebut dihadiri seramai 150 pelajar Tingkatan Lima sekolah tersebut sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia.

Menurut Ketua UPPsiKS, Dr. Ferlis Bullare, program motivasi itu merupakan salah satu khidmat masyarakat dari UMS kepada komuniti khususnya kepada golongan pelajar sekolah.

“Selain daripada menjalankan aktiviti penyelidikan, khidmat masyarakat juga adalah salah satu cara UPPsiKS untuk mendekati dan berinteraksi dengan masyarakat luar.

“Antara tujuan UPPsiKS menjalankan aktiviti ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat di luar lingkungan kampus mengenai kewujudan dan perkhidmatan psikologi yang boleh ditawarkan kepada komuniti dan masyarakat di negeri Sabah,” katanya.

Dr. Ferlis turut berharap agar usaha pihaknya menganjurkan program sebegini dapat membantu pelajar berkaitan aspek personaliti diri dan meningkatkan motivasi mereka bagi menghadapi peperiksaan nanti.

Program sehari itu antara lain memberi pendedahan kepada pelajar mengenali personaliti diri masing-masing, panduan gaya pembelajaran mengikut jenis personaliti, kemahiran mengurus emosi dan mengenal pasti kecerdasan emosi masing-masing.

Sumber: Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial UMS

RABU, 17 OGOS - Oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, dukacita dimaklumkan Seminar Pengurusan Kewangan Peribadi "Merancang Kembali Kewangan  Anda", yang dijadualkan pada 17 Ogos 2016 (Rabu) jam 2.00 petang DITUNDA kepada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Kami bagi pihak Kelab Surirumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) memohon jutaan kemaafan atas kesulitan yang dihadapi.

Sekian, mohon maaf dan harap maklum.

JUMAAT, 19 OGOS – Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa memberi kemahiran asas kepada pelajar UMS sejajar dengan Lonjakan Pertama  Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) iaitu melahirkan graduan ‘Keusahawanan, Holistik dan Seimbang.

Sehubungan itu, PPIB melalui ‘English for Occupational Purposes’ (EOP) mengendalikan Bengkel Penggunaan Bahasa dalam Profesion untuk pelajar tahun dua  yang mendaftar baru-baru ini.

Menurut kenyataan PPIB, bengkel itu antara lain bertujuan memberi pendedahan berkaitan penggunaan bahasa seperti profesional serta memberi kesedaran peri-penting imej dan penampilan diri termasuk tip pemakaian yang betul dalam menghadapi temuduga dan alam pekerjaan.

Bagi pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Muhammad Firdaus Syarifuddin, bengkel itu disifatkannya sangat bermanfaat selain mendapat pengetahuan tambahan seperti etika berpakaian dan sebagainya yang memberi nilai tambah kepada siswa-siswi.

"Sesi ini juga menerapkan perkara ‘do’s and dont’s’ ketika menghadiri sesi temuduga untuk kami lebih bersedia dan yakin," katanya yang sedang menuntut Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Perancangan dan Kemajuan Ekonomi).

Lebih 150 pelajar menyertai bengkel yang diadakan selama dua jam tersebut.

Untuk rekod, para pelajar dalam kursus EOP juga menjalani temuduga simulasi sebagai sebahagian daripada kurikulum, di samping menjalankan mesyuarat simulasi, perbincangan dan membuat persembahan akademik dalam bahasa Inggeris.

SELASA, 16 OGOS 2016- Persidangan Pendidikan Malaysia kali ke-10 (MSC10) berlangsung dengan jayanya di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS) semalam.

Dianjurkan  bersama oleh  Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS serta Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), majlis perasmiannya disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid.

Dalam ucapannya beliau berkata,  persidangan ini mampu meluaskan dan mengembangkan lebih besar skop pendidikan di Malaysia dan ASEAN untuk menuju taraf pendidikan yang setanding dengan negara-negara lain.

Beliau juga menyentuh tentang isu perbezaan jantina yang sering menjadi topik perbincangan utama di peringkat antarabangsa.

“Kita tidak harus menafikan bahawa telah ramai wanita mencapai kejayaan dan melibatkan diri dalam pelbagai aspek yang menyumbang kejayaan di dalam negara pada masa kini,” katanya.

Bertemakan Globalisasi dan Wilayah: Konteks Malaysia dalam Pembangunan Komuniti ASEAN, majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Shahril Yusof dan Presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM), Prof. Dr. Rashila Ramli.

Sumber: Abduh Warren, Pelatih UMS

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.