ISNIN, 19 JUN - Elakkan kontroversi, teguhkan integriti menjadi antara perkara yang ditekankan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. D. Kamarudin D. Mudin yang baru memulakan tugas sebagai Naib Canselor hari ini.

Pelantikan Prof. Dr. D. Kamarudin menggantikan tugas mantan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah yang menamatkan perkhidmatannya pada 17 Jun 2017.

Dilantik sebagai Naib Canselor UMS yang kelima, beliau yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, menganggap tugas baru itu sebagai satu tanggungjawab besar untuk dipikul.

Justeru, beliau berharap kerjasama dan sokongan daripada semua pihak dapat membantunya untuk melaksanakan tugas sebagai Naib Canselor.

“Jawatan sebagai Naib Canselor ini hanya bersifat sementara, namun apa yang menjadikan keutamaan kita adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Marilah kita bersatu hati, singkirkan perasaan yang boleh menggugat keharmonian sekali gus memberikan output yang terbaik kepada universiti, negeri dan kepada negara secara keseluruhannya,” katanya.

Prof. Dr. D. Kamarudin berkata demikian ketika berucap pada majlis Nota Serah Tugas Naib Canselor UMS yang turut disaksikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Exco Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun di Galeri, Bangunan Canselori, UMS.

Prof. Dr. D. Kamarudin turut melahirkan rasa terima kasih kepada Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun kerana telah memberi bimbingan dan pelbagai tunjuk ajar sepanjang menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa sebelum ini.

Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun berkata, tanggungjawab sebagai Naib Canselor bukanlah satu tugas yang boleh dipandang ringan.

Namun beliau menaruh keyakinan terhadap kemampuan Prof. Dr. D. Kamarudin menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik.

“Saya ingin berkongsi sedikit tentang ciri-ciri keperibadian Prof. Dr. D. Kamarudin yang kelihatan agak lembut dari luar, tetapi dia sebenarnya seorang yang jujur, tegas dan sangat komited.

“Pelantikan beliau adalah satu pilihan yang tepat, dan saya gembira kerana beliau adalah anak watan Sabah yang ketiga dipilih untuk menerajui UMS,” katanya

Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun turut memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan yang dilakukan sepanjang lima tahun menjawat jawatan Naib Canselor.

“Saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada membuat kesilapan. Saya memohon maaf sekiranya ada tingkah laku atau kekasaran bahasa yang menyinggung perasaan kakitangan, para pensyarah atau penyelidik,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mewakili Kerajaan Negeri Sabah menyampaikan surat watikah pelantikan Naib Canselor daripada Kementerian Pendidikan Tinggi kepada Prof. Dr. D. Kamarudin.

ISNIN, 19 JUN - Majlis Profesor Negara (MPN), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan mesyuarat pertamanya di bawah Kluster UMS, baru-baru ini.

Ia dipengerusikan oleh Pengerusi MPN UMS, Prof. Dato’ Mohd. Hamdan Adnan.

Pada majlis itu, Dato’ Hamdan berkata, MPN diperkenalkan bagi tujuan membangunkan pendidikan dan bertindak sebagai badan induk bagi para profesor yang berkhidmat di universiti tempatan.

"MPN adalah sebuah majlis untuk kita (profesor dan ahli akademik), seperti mana kita mengambil berat tentang pembangunan pengetahuan dan akademik," katanya.

Beliau juga berkata, dalam MPN terdapat 16 jumlah kluster iaitu Kluster Pendidikan dan Pembangunan Manusia; Kluster Ekonomi dan Pengurusan; Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa; Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya; Kluster Sains dan Matematik; Kluster Kejuruteraan, Teknologi dan Alam Sekitar; dan Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Kluster selebihnya ialah Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan; Kluster Industri dan Inovasi; Kluster Pertanian dan Makanan; Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi; Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan; Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam; Kluster Utiliti Negara; Kelompok Projek Khas Negara (Media, Demokrasi dan Sistem Pilihan Raya); dan Kelompok Projek Kebangsaan Khas (Institusi Pendidikan Tinggi Swasta - IPTS).

Mesyuarat itu dirasmikan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa.

ISNIN, 19 JUN - Kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut menjayakan kempen Malaysia QuranHour, bacaan Al-Quran selama sejam bermula jam 12.00 tengahari serentak di seluruh Malaysia hari ini.

Menurut Pengarah Pusat Islam UMS (PIUMS), Prof. Madya Dr. Muhammad Suhaimi Taat, program tersebut turut diadakan di Pusat Islam seluruh Universiti Awam, dan di UMS pihak PIUMS menganjurkan program itu bersama-sama dengan Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana.

“Majlis pada hari ini adalah kemuncak kepada program Tadarus Al-Quran yang telah dimulakan sejak 27 Mei (1 Ramadan) lalu, dan kita mengambil peluang untuk turut serta dalam kempen Malaysia QuranHour bagi meraikan dan meramaikan penyertaan program pembacaan Al-Quran khususnya pada bulan Ramadan,” katanya.

Majlis dimulakan dengan sesi ceramah bertajuk “Meraih Syafaat Al-Quran” yang disampaikan Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Cawangan Sabah, Ustaz Al-Amin Majok, dan diikuti dengan sesi Tadarus Al-Quran secara berkumpulan, sebelum acara khatam Al-Quran yang dipimpin Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan UMS, Ustaz Md Razali Saibin sebagai tanda bermulanya program Malaysia QuranHour.

Program yang bertempat di Masjid UMS itu berjaya menghimpunkan lebih 200 peserta terdiri daripada kakitangan dan pelajar UMS, serta masyarakat luar antaranya pelajar dari Sekolah Rendah Islam Al-Hafidz, Bandar Sierra dan wakil dari Hidayah Centre Kota Kinabalu, sebuah pusat sokongan bagi golongan saudara baru.

JUMAAT, 16 JUN - Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa berusaha meningkatkan kebolehpasaran graduannya di peringkat antarabangsa melalui pelbagai kerjasama mobiliti dan latihan industri bersama beberapa syarikat dan agensi di luar negara.

Terbaru, seramai 25 pelajar Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS terpilih untuk menjalani latihan industri selama 10 minggu di beberapa agensi kerajaan  dan syarikat industri di Jepun dan Korea Selatan.

Menurut penyelaras latihan industri FKJ, Dr. Melvin Gan Jet Hong, kesemua pelajar tersebut termasuk 6 pelajar dari Sabah akan menjalani latihan industri ini bagi memenuhi  5 jam kredit subjek Latihan Industri yang diwajibkan kepada setiap pelajar selepas mereka menamatkan pengajian selama 6 semester.

"Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman suasana pekerjaan sebenar dengan mengaplikasikan segala pengetahuan dan teori yang dipelajari dalam latihan industri mereka.

“Dengan ini para pelajar mampu mengembangkan kemahiran mereka dalam aspek etika kerja, komunikasi, pengurusan dan bekerja dalam satu kumpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan berkaitan latihan industri pada Majlis Persediaan Latihan Industri Pelajar FKJ Ke Luar Negara di Bilik Seminar FKJ, pagi tadi.

Menurutnya lagi, program tersebut telah dimulakan sejak tahun 2015 dengan empat pelajar Program Kejuruteraan Mekanikal terpilih untuk latihan industri di Korea Lab Co. Ltd, dan disusuli dengan 11 pelajar Program Kejuruteraan Mekanikal bagi latihan industri di beberapa syarikat industri di Korea Selatan.

“Selama 2 tahun program ini berlangsung, pelajar UMS sentiasa mendapat maklum balas positif daripada penyelia masing-masing, termasuk seorang pelajar dari Sabah yang mendapat tawaran bekerja di Korea Selatan sejurus menamatkan latihan industri,” ujar beliau.

Terdahulu, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKJ,  Prof. Madya Dr. Ismail Saad dalam ucapan aluan-aluan kepada 25 peserta latihan industri menasihatkan mereka agar menjaga tingkah laku dan tidak mencemarkan nama baik UMS sepanjang menjalani latihan industri.

“Para pelajar juga perlu memanfaatkan peluang yang tersedia untuk memperoleh segala ilmu pengetahuan dan menempatkan diri dalam industri, selain menimba pengalaman hidup di luar negara dengan mempelajari aspek budaya hidup masyarakat di Korea Selatan dan Jepun,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Dr. Ismail kemudiannya menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada wakil 25 pelajar yang terpilih sebagai simbolik persediaan latihan industri pelajar FKJ ke luar negara.

Hadir sama pada majlis Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) FKJ, Dr. Mohd Kamel Wan Ibrahim, Timbalan Pendaftar FKJ, Azmi Jumat dan Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa, Molly Donna Awang Sham.

 

KHAMIS, 15 JUN - Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Unit Warisan Penyelidikan Borneo (UWPB) menandatangani Surat Niat (LoI) bersama Department of Indigenous Affairs (DIA), Taoyuan City Government, Taiwan.

Berlangsung petang tadi di Bilik Mesyuarat Mozart fakulti itu, majlis menandatangani LoI tersebut menyaksikan UMS diwakili Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FKSW, Dr. Mohamad Puad Bebit manakala DIA pula diwakili Timbalan Pengurus Besar, Chen Cheng-Hsiung.

Hadir sama, Ketua Unit UWPB, Prof. Madya Dr. Low Kok On.

Terdahulu dalam ucapan aluannya, Dr. Low berkata, LoI itu bertujuan untuk memangkin ke arah kerjasama yang erat dalam bidang penyelidikan berkaitan penduduk peribumi di Taoyuan City dan Sabah merangkumi aspek bahasa, pendidikan, budaya dan warisan.    

“Melalui LoI ini kita berniat untuk mengadakan pertukaran penyelidik, guru dan staf pentadbiran; kerjasama  dalam projek penyelidikan dan penerbitan; serta menganjurkan seminar, persidangan dan bengkel.

“Kita juga mahu mengadakan pembangunan dan perkhidmatan komuniti serta menganjurkan pelbagai aktiviti berkaitan bahasa dan budaya penduduk peribumi,” katanya.

Beliau turut menyuarakan agar LoI yang ditandatangani itu akan membawa kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).