KHAMIS, 3 November - Seramai 38 orang rombongan yang terdiri daripada  pelajar program Pembangunan Belia dan Komuniti Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Kelab Pacuan Empat Roda WRS telah mengadakan ekspedisi ke Kg. Rundum Tenom, baru-baru ini.

Ekspedisi selama tiga hari itu mensasarkan golongan belia dan pelajar sekolah rendah sebagai peserta program.

Meskipun terpaksa merentasi perjalanan penuh mencabar selama hampir tujuh jam, ia tidak mematahkan semangat para pelajar UMS untuk terus berkongsi motivasi bersama golongan sasar.

Menurut Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FPP, Dr. Getrude Cosmas, antara aktiviti yang dijalankan ialah perkongsian akademik, diskusi kelompok, sukaneka, hiking dan malam kebudayaan.

“Semasa dalam diskusi kelompok, pelajar program HA16 yang bertindak sebagai fasilitator sempat memberikan kata-kata motivasi dan perkongsian ilmu dengan para peserta program yang terdiri daripada pelajar SK Rundum,” ujarnya.

Tambah beliau,  program ekspedisi ke Kg Rundum ini merupakan kesinambungan daripada program Ekspedisi Belia ke Kg Buayan, Crocker Range yang telah diadakan pada tahun 2014.

Manakala pengarah program, Irich Joumi berkata program seumpama itu dapat membantu menerapkan semangat sukarelawan dalam kalangan pelajar program HA16 dan meningkatkan kemahiran seperti kerjasama dalam kumpulan, kepemimpinan, kawalan emosi dan interpersonal.

“Menerusi program ini juga, para pelajar juga dapat mengenali budaya seperti tarian, bahasa dan kehidupan komuniti Rungus,” jelasnya.

Rombongan turut berpeluang mengadakan aktiviti riadah ke air terjun di kg Rundum bersama dengan pelajar sekolah dan ahli WRS.

Sumber: FPP

RABU, 2 NOVEMBER - Sebanyak 105 kertas kerja dibentangkan pada Seminar Antarabangsa Warisan dan Foklor Nusantara yang dianjurkan Unit Penyelidikan Warisan Borneo Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah seminar itu merupakan wahana bagi penerokaan tentang bagaimana masyarakat mencipta, memanfaat dan membuat rekontruksi sejarah dan warisan tanpa meminggirkan peranan identiti.

“Ia juga adalah refleksi tentang bagaimana aspek warisan berupaya menyumbang kepada kualiti kehidupan dan pembangunan mapan,” katanya dalam teks ucapan perasmian yang disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali.

Datuk Harun berkata, meraikan kesatuan dalam keragaman adalah sesuatu yang penting kerana hakikatnya segala sesuatu yang diciptakan Tuhan itu adalah simbiosis sifatnya.

“Semuanya saling bergantungan dan saling melengkapi. Harapan saya, semoga perkongsian dan diskusi ilmu ini kelak berupaya menterjemah penemuan kajian kepada penyelesaian masalah yang praktikal dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan manusia,” katanya.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin; Dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Prof. Dr Ismail Ibrahim; dan Pengerusi Seminar Antarabangsa Warisan dan Foklor Nusantara, Prof. Madya Dr. Low Kok On.

Seminar selama dua hari itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Foklor Malaysia dan Sekretariat Kearifan Tempatan, Universiti Sains Malaysia.

 

RABU, 2 NOVEMBER -  Sambutan Bulan Kreativiti dan Inovasi (Kreanova) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melabuhkan tirai dengan jayanya di Dewan Resital baru-baru ini.

Majlis penutupan tersebut yang disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah mendapat sambutan hangat daripada kakitangan pelbagai peringkat yang terus bersemangat dalam menyemarakkan sambutan yang diadakan sepanjang Oktober.

Datuk Harun turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi setiap acara yang menjadi pengisian sepanjang bulan Kreanova.

Dalam masa yang sama, satu persembahan Konsep DIY daripada Bahagian Keselamatan turut memukau hampir 500 kakitangan yang hadir memenuhi dewan berkenaan.

Konsep tersebut menyaksikan bagaimana mereka menyelesaikan masalah berkaitan dengan skuter dan papan tanda arah dengan menggunakan kepakaran individu daripada anggota keselamatan selain kerjasama dengan Fakulti Kejuruteraan yang sekali gus menghasilkan penjimatan yang tinggi berbanding kos yang harus ditanggung sekiranya melalui pembaikan luar atau membuat pembelian baharu.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr. Ismail Ali; Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad dan Ketua Pustakawan UMS, Dg Rukiah Ag. Amit.  

 

RABU, 2 NOVEMBER - Bersempena dengan Program Budaya Ilmu Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2016, Penerbit UMS dengan kerjasama Perpustakaan UMS telah menganjurkan Bengkel Penulisan Ilmiah 2016: Tesis ke Buku baru-baru ini di Galeri Majlis, UMS.

Penerbit UMS dalam satu kenyataan menjelaskan, bengkel sehari ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan dan memantapkan kemahiran para pensyarah dan pelajar sarjana dalam menghasilkan buku dan artikel daripada tesis masing-masing.

Di samping itu, bengkel ini juga turut mampu meningkatkan bilangan penerbitan para peserta khasnya, dan universiti amnya.

Bengkel tersebut disampaikan oleh Profesor Dr Kamaruzaman Yusof dan Dr Mansoureh Ebrahimi, kedua-duanya merupakan pensyarah dari Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang telah banyak menghasilkan penerbitan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Pada bengkel ini para peserta amat bertuah kerana dapat berkongsi pengalaman dengan Dr Mansoureh yang berjaya menerbitkan bukunya bersama Springer berjudul ‘The British Role in Iranian Domestic Politics (1951-1953),’  yang diolah daripada tesis beliau.

Sumber: Penerbit UMS

SELASA, 1 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa menyokong usaha kakitangan dan pelajar dalam menganjurkan pelbagai aktiviti sihat khususnya yang menjurus kepada keharmonian seperti aktiviti kebudayaan dan perayaan di dalam dan luar kampus.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah, selain sebagai satu usaha untuk mengukuhkan budaya warisan turun-temurun, ia juga bagi meningkatkan jati diri dan mengangkat nilai moral warga kampus mengikut anutan dan kepercayaan agama masing-masing.

“Dalam masa yang sama, kita juga sentiasa menyediakan bantuan dana selain mendidik pelajar yang terlibat tentang tatacara pengurusan sesuatu majlis melalui penyelia yang terdiri daripada pegawai di Jabatan Hal Ehwal Pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun Datuk Harun berkata, usaha tersebut mungkin kurang jelas dalam pandangan segelintir pihak sehingga terdapat individu daripada sebuah parti politik baru-baru ini mengaitkan isu perayaan Krismas dengan UMS di dalam akhbar tempatan.

“Perkara yang sensitif ini tidak seharusnya ditimbulkan kerana ia bukan sahaja boleh mengganggu kerharmonian masyarakat majmuk di negara ini terlebih kepada negeri Sabah yang terkenal dengan keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya sambil menyatakan salah faham terdahulu telah pun diperjelaskan dalam akhbar-akhbar tempatan dua tahun lalu (12 November 2014).

Datuk Harun turut memetik kata-kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau ketika berucap merasmikan Pesta Krismas UMS pada tahun 2015.

“Saya sangat bersetuju dengan ucapan Datuk Madius yang mengatakan bahawa mempolitikkan isu agama tidak membawa kepada penyelesaian, tetapi jika sifat saling memahami diamalkan masalah itu akan diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Harun turut memaklumkan keprihatinan UMS adalah merangkumi pelbagai aspek termasuk inisiatif meletakkan cuti pertengahan semester pada perayaan Deepavali baru-baru ini bagi memastikan pelajar daripada kaum India yang beragama Hindu dapat meraikan perayaan berkenaan.

“Sehubungan itu, saya dalam kesempatan saya ingin mengalu-alukan mana-mana pihak ingin mengajukan sebarang cadangan atau pandangan agar berhubung terus dengan saya  atau menghantar emel kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

“Marilah kita sama-sama memajukan dan memartabatkan UMS selaku institusi pendidikan tinggi yang kita banggakan secara positif melalui saluran yang betul berbanding membuat kenyataan-kenyataan yang tidak sahih dan kurang berasas yang boleh menjatuhkan kredibiliti universiti ini yang merupakan mercu tanda kecemerlangan pendidikan negeri Sabah yang kita cintai,” katanya.