JUMAAT, 18 MAC - Kesedaran terhadap kepentingan profesion kerja sosial amat penting agar masyarakat dapat memahami tanggungjawab dan fungsi pekerjaan itu, kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof.Madya Dr.Ismail Ali.

Beliau berkata, kerja sosial merupakan satu profesion meliputi perkhidmatan yang berfokus untuk menangani masalah, meningkatkan fungsi sosial, dan menggalakkan pencapaian taraf kehidupan berkualiti untuk individu, keluarga, kumpulan, serta komuniti.

“Kerja Sosial amat penting dalam membekalkan perkhidmatan profesional yang berteraskan pengetahuan kerja sosial, nilai dan prinsip kerja sosial, etika profesion dan intervensi.

“Oleh itu, sambutan ataupun hari penghargaan seperti ini adalah perlu bagi menghargai kerja-kerja dan amalan-amalan yang dilakukan oleh para pekerja sosial di seluruh dunia amnya dan khususnya kepada para pekerja sosial serta mahasiswa kerja sosial di UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia 2016 Peringkat Negeri Sabah bilik seminar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) baru-baru ini.

Teks ucapannya disampaikan Timbalan Dekan, Akademik dan Hal Ehwal Pelajar FPP Prof. Madya Dr. Mohd Dahlan Ab. Malek.

Ismail Ali berkata, sepanjang dua hari program itu berlangsung, pelbagai aktiviti dirancang termasuk perkongsian ilmu, program derma darah, car boot sale, pameran daripada agensi dan pertubuhan bukan kerajaan serta program bersama anak yatim.

“Program ini merupakan satu mekanisme yang baik untuk mengeratkan silaturrahim di antara pekerja sosial, pensyarah, dan mahasiswa kerja sosial di UMS,” katanya.

Program tersebut turut mendapat sokongan daripada bberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Jabatan Kebajikan Am Negeri Sabah, Hospital Queen Elizabeth, Persatuan Talasemia Sabah, Sabah Society for The Deaf, Sabah Cheshire Home, Good Shephard Services, Sabah Society for the Blind, dan Sabah Mental Health Association.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Dekan, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPP, Prof. Madya Dr. Suyansah Swanto;  Ketua Program Kerja Sosial,  Habibie Hj. Ibrahim; Penyelaras Majlis Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia 2016 peringkat Universiti Malaysia Sabah, Durin Edward dan Pengarah Majlis Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia 2016, Ismah Hanani Zambri. -MA

KHAMIS, 17 MAC - Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menawarkan ceramah percuma berkaitan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di sekolah-sekolah sekitar Kota Kinabalu.

Menurut kenyataan PKKP, ceramah tersebut penting bagi memastikan para guru dan pelajar yang menghabiskan sekurang-kurangnya enam jam di sekolah mengetahui perkara-perkara berkaitan OSH dalam persekitaran mereka.

PKKP menambah, program itu bukanlah perkara baharu memandangkan kerajaan telah memperkenalkan beberapa program keselamatan dan kesihatan dalam Program Kesihatan Sekolah (RKS) sejak tahun 1967 dan Projek Sekolah Selamat pada 2002.

Sehubungan itu, sekolah-sekolah yang berminat menganjurkan ceramah tersebut boleh berhubung dengan Pengarah PKKP, Profesor Madya Dr. Shamsul Bahari Shamsudin di 088-320000 sambungan 1661 atau 013-8888004 atau e-mel di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.. – FL (SS)

KHAMIS, 17 MAC - Bahagian Pembangunan Pelajar Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Kursus Pengurusan Organisasi Pelajar (KPOP) 2016 di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) baru-baru ini.

Melalui kursus itu siswa-siswi didedahkan lima modul utama iaitu pengurusan mesyuarat, pengurusan laporan, tatacara penubuhan kelab, proses kertas kerja dan laporan kewangan selain satu slot berkaitan sistem ‘My Student Development Point’ (MySDP).

Para peserta turut didedahkan dengan hal ehwal penubuhan organisasi masing-masing selain diberi penerangan berkaitan prosedur yang betul dan bahagian yang sepatutnya dirujuk sekiranya ingin mendapatkan sebarang nasihat.

Di samping UMSKAL, kursus itu juga dilaksanakan di Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan dan UMS Kota Kinabalu.

Kursus tahunan itu merupakan kursus wajib kepada semua bakal pemimpin dan kelab yang baharu ditubuhkan. 

Sumber: Bahagian Pembangunan Pelajar, JHEP

RABU, 16 MAC - Galeri Borneensis yang dilancarkan baru-baru ini menjadi satu tarikan baharu buat masyarakat untuk berkunjung sambil belajar ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bertempat di aras dua bangunan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), galeri itu menempatkan pelbagai koleksi spesimen flora dan fauna hasil penyelidikan penyelidik UMS.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi dengan disaksikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dan Pengarah IBTP, Prof. Dr. Charles Vairappan.

Galeri tersebut dibuka kepada umum dengan bayaran masuk yang minima iaitu antara RM5 – RM10. - SS

RABU, 16 MAC - Seramai 47 orang pelajar  tahun dua program Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengikuti bengkel Adobe Photoshop yang telah dianjurkan oleh pelajar sains sukan UMS.

Menurut pensyarah program Sains Sukan, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin, bengkel tersebut dijalankan bertujuan memberi ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada para peserta dalam penggunaan aplikasi Photoshop terutamanya bahagian penyuntingan.

“Saya berharap para peserta dapat mengembangkan lagi kreativiti mereka bentuk dan seterusnya mengimplementasikan dalam penerbitan buletin oleh para peserta,” katanya ketika ditemui ketika bengkel.

Jelas beliau, ilmu Adobe Photoshop itu juga mampu memperbaiki sistem pembelajaran dan penyampaian maklumat agar menjadi lebih menarik terutamanya dalam bidang pengiklanan, poster dan banner.

“Photoshop juga memiliki pelbagai fungsi yang boleh membantu pelajar sains sukan memantapkan laporan kajian mereka dengan gambar dan graf dengan lebih jelas dan mudah di faham,” tambah beliau.

Bengkel selama sehari itu dikendalikan oleh Pereka di Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan (FKSW), Ak Ab Hashim Pg Ab Ghani menggunakan kaedah demonstrasi, perbincangan, dan latihan amali.

Sumber: Rasidi Sirukam