KHAMIS, 10 MAC – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menandatangani memorandum Perjanjian (MoA) dengan Persatuan Warisan Sarawak/Sabah Kuala Lumpur dan Selangor (PWSSKLS) yang berlangsung di Pejabat Naib Canselor UMS hari ini.

UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dan PWSSKLS diwakili Penasihat, Dr. John Laurence William.

Datuk Harun berkata, beliau berterima kasih dengan pihak PWSSKLS kerana bersetuju mengukuhkan hubungan menerusi memorandum perjanjian yang melibatkan pendidikan bersepadu pada peringkat sarjana selepas beberapa pertemuan sebelum ini.

“Sebanyak tujuh program Sarjana Pendidikan akan ditawarkan iaitu TESL, Pengurusan Pendidikan, Komputer dalam Pendidikan, Kurikulum dan Reka Bentuk Pengajaran, Pendidikan Sains, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dan Psikologi Kaunseling,” katanya yang turut menambah, semua pelajar ini akan mengikuti pengajian semasa cuti sekolah.

Sementara itu, Dr. John Laurence menegaskan bahawa dari pihaknya, pelajar yang terdiri daripada guru-guru sekolah sentiasa bersedia untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana.

“Kami akan pastikan pelajar (guru) yang mengikuti program ini akan memberikan sepenuh komitmen untuk menyelesaikan pengajian mereka mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Ramai lagi yang akan menyertai program yang ditawarkan ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, kohort pertama pengambilan adalah seramai 100 pelajar dan akan memulakan pengajian pada hujung bulan April.

Pada majlis tersebut juga Dr. John Laurence menyerahkan gimik bayaran pengajian kepada Datuk Harun sebanyak RM100,000 dan turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) bagi menaja kumpulan tarian menyertai pertandingan di Borneo Hornbill Festival yang diuruskan PWSSKLS.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengerusi PWSSKLS, Munica Liwan, Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj. Ahmad dan Dekan FPP, Prof. Dr Ismail Ibrahim. -CD-

Foto : Suzeanywaty Gasinin

KHAMIS, 10 MAC - Siri kejadian gempa bermagnitud kecil di perairan Teluk Darvel berdekatan bandar Lahad Datu, Sabah pada 16 Februari, 1 Mac dan 4 Mac 2016 disifatkan sebagai kejadian semula jadi aktiviti pelepasan tenaga dalaman bumi di perairan tersebut.

Kejadian yang berlaku ini tiba-tiba telah menjadi viral di media-media sosial dengan ramalan bahawa akan berlaku gempa yang lebih besar di daerah berkenaan, malah mungkin setanding atau lebih kuat daripada gempa bumi yang berlaku di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015.

Rentetan dari maklumat yang diviralkan ini telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat setempat yang menetap di daerah Lahad Datu dan daerah berhampiran.

Menurut Ketua Pusat Kajian Bencana Alam (PKBA), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Kawi Bidin, dari sudut kajian saintifik, rekod-rekod dan fakta-fakta gempa bumi, teknologi dan pakar-pakar yang sedia ada tidak boleh meramal secara tepat kejadian sesuatu gempa bumi dari segi magnitud, lokasi dan waktunya.

“Perkara ini berlaku disebabkan pergerakan dalam bumi yang boleh mengakibatkan berlakunya gempa bumi. Ia merupakan suatu proses yang agak kompleks dan sukar difahami,” kata beliau ketika ditemui pemberita.

“Setakat ini, petunjuk awal kejadian sesuatu gempa bumi juga belum ditemui. Saintis hanya boleh membuat andaian kejadian sesuatu gempa bumi berdasarkan sejarah gempa bumi di kawasan itu,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan agar orang ramai tidak panik dan membuat pelbagai spekulasi tambahan yang kurang tepat dan benar tentang gempa bumi besar yang bakal melanda daerah Lahad Datu dan daerah sekitarnya.

“Apa yang perlu dilakukan adalah semua pihak khususnya penduduk di daerah berkenaan agar sentiasa berjaga-jaga dan mendapatkan maklumat yang tepat dan benar daripada agensi-agensi kerajaan terlibat yang memantau kejadian gempa bumi yang berlaku di seluruh negeri Sabah.”

“Justeru, PKBA bersama-sama agensi-agensi kerajaan yang lain bersedia membantu menyediakan khidmat bantuan kepakaran melalui pendidikan dan seminar kesedaran berkenaan bahaya bencana gempa bumi di Sabah sebagai langkah awal,” katanya. -CD-

RABU, 9 MAC - Kelab Basikal Kolej Tun Mustapha (TMCCC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan program ‘Tanjung Lipat Fun Ride’ baru-baru ini.

Ianya merupakan program yang julung-julung kali diadakan bagi memberi galakan kepada penghuni kolej kediaman UMS untuk berbasikal secara berkumpulan ke luar kampus.

Perjalanan yang bermula seawal jam 6.30 pagi dari Masjid Universiti Malaysia Sabah ke Tanjung Lipat disertai seramai 16 orang peserta dan diketuai oleh Pengetua Kolej Kediaman Tun Mustapha, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin serta beberapa orang marshal yang menaiki motosikal dan kereta bagi mengawal keselamatan peserta.

Para peserta yang terdiri dari wakil Kolej Tun Mustapha, Kolej Tun Fuad dan Kolej E, seterusnya terlibat dengan berbasikal beramai-ramai dengan masyarakat luar sempena program Sunday Family Ride anjuran Kerajaan Negeri Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu di Taman Awam Tanjung Lipat.

Selain aktiviti berbasikal, program tersebut bertujuan untuk menggalakkan mahasiswa UMS mempertingkatkan kemahiran komunikasi dua hala bersama masyarakat luar.

Menurut salah seorang peserta, Muhammad Fadhli Ahadin, beliau sangat berpuas hati kerana dapat menyertai program tersebut yang dilihat santai dan menyeronokkan.

Manakala, bagi Darshene Subraniam pula, beliau menyatakan bahawa program tersebut adalah suatu program yang memberikan pengalaman yang baru buat beliau di samping dapat merasakan keterikatan hubungan silaturahim antara para peserta.

Dr. Mohamad Nizam yang juga pensyarah Sains Sukan di Fakulti Psikologi dan Pendidikan turut berharap agar lebih ramai lagi yang akan turut menyertai aktiviti berbasikal ini di masa akan datang.

Bagi beliau, sebagai mahasiswa, adalah perlu untuk meluangkan masa untuk beriadah dan aktiviti berbasikal adalah salah satu daripadanya.

“Selain daripada menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan oleh pensyarah, mahasiswa perlu juga menjadikan aktiviti berbasikal sebagai rutin harian seperti ke kuliah sebagaimana saranan membudayakan berbasikal di kampus oleh Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor HEP UMS,” ujarnya.

Sumber: Siti Khodijah Mohd Rashid, KKTM

RABU, 9 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengukuhkan lagi jalinan kerjasama bersama agensi kerajaan melalui kerjasama bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia.

Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kedua-dua pihak bersempena dengan perasmian Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) di Dewan Canselor, UMS baru-baru ini, UMS melalui Pusat Kajian Strategik dan Keselamatan Sabah (SASSREC), dan KDN melalui Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) akan menjalinkan kerjasama dan perkongsian pengetahuan serta kepakaran penyelidikan dalam aspek jenayah, keselamatan dan kesejahteraan awam di Sabah.

MoU kedua-dua pihak ditandatangani oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah mewakili UMS, manakala KDN diwakili oleh Ketua Setiausaha KDN, Dato’ Seri Alwi Ibrahim.

Turut bersama menyaksikan pemeteraian kerjasama UMS-KDN ini ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Timbalan Ketua Ketua Polis Dato' Sri Noor Rashid Ibrahim, Timbalan Menteri Dalam Negeri II Tuan Masir Anak Kujat, serta pegawai-pegawai tertinggi dari KDN dan pasukan keselamatan.

Menerusi MoU tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk membangunkan mekanisme penyelidikan bagi mengkaji dan menganalisis data berkaitan keselamatan dan kesejahteraan awam, melaksanakan pengumpulan dan penganalisisan data secara saintifik, bekerjasama membangunkan pusat penyelidikan di bidang keselamatan dan kesejahteraan awam, dan menyalurkan hasil penyelidikan kepada penggubal dasar dan agensi penguat kuasa sistem pengadilan jenayah.

Pada majlis tersebut, Datuk Ahmad Zahid turut menerima pelantikan sebagai Profesor Adjung di SASSREC, UMS. -MA-

Foto: Ernest Berinus

SELASA, 8 MAC - Geran penyelidikan CIMB Foundation yang diberikan kepada tiga pensyarah program Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dimanfaatkan sebaik mungkin dengan penganjuran 3rd CIMB Run For Life.

Penyelidikan yang diketuai oleh Pathmanathan K. Suppiah itu dijalankan dengan memberikan modul latihan larian jarak sederhana kepada para jurulatih sekolah menengah di sekitar daerah Ranau bagi melihat keberkesanan latihan serta mengenal pasti bakat atlet.

Seramai 90 pelajar terlibat yang terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, SMK Bundu Tuhan, SMK Ulu Sugut, SMK Lohan, SMK Kemburongoh, SMK Kundasang, SMK Ranau, SMK Timbua dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) M. Ali.

Pada program tersebut, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu kategori bawah 13 tahun lelaki dan perempuan serta kategori bawah 14 tahun lelaki dan perempuan.

Bagi salah seorang peserta, Jean Eva Saming, penglibatannya dalam program tersebut telah memberbaiki catatan masa peribadi beliau apabila berjaya merangkul Johan bagi kategori bawah 14 tahun perempuan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penganjur dan saya percaya penganjuran ini dapat menjadi medan untuk mencungkil bakat atlet,” ujarnya.

Johan kategori kumpulan acara tersebut memenangi hadiah wang tunai bernilai RM500, piala dan sijil, manakala naib johan menerima wang tunai RM300, piala dan sijil; tempat ketiga menerima wang tunai RM200, piala dan sijil.

Pemenang kategori individu membawa pulang hadiah berupa piala dan sijil.

Sumber: FPP