RABU, 9 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengukuhkan lagi jalinan kerjasama bersama agensi kerajaan melalui kerjasama bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia.

Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kedua-dua pihak bersempena dengan perasmian Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) di Dewan Canselor, UMS baru-baru ini, UMS melalui Pusat Kajian Strategik dan Keselamatan Sabah (SASSREC), dan KDN melalui Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) akan menjalinkan kerjasama dan perkongsian pengetahuan serta kepakaran penyelidikan dalam aspek jenayah, keselamatan dan kesejahteraan awam di Sabah.

MoU kedua-dua pihak ditandatangani oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah mewakili UMS, manakala KDN diwakili oleh Ketua Setiausaha KDN, Dato’ Seri Alwi Ibrahim.

Turut bersama menyaksikan pemeteraian kerjasama UMS-KDN ini ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Timbalan Ketua Ketua Polis Dato' Sri Noor Rashid Ibrahim, Timbalan Menteri Dalam Negeri II Tuan Masir Anak Kujat, serta pegawai-pegawai tertinggi dari KDN dan pasukan keselamatan.

Menerusi MoU tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk membangunkan mekanisme penyelidikan bagi mengkaji dan menganalisis data berkaitan keselamatan dan kesejahteraan awam, melaksanakan pengumpulan dan penganalisisan data secara saintifik, bekerjasama membangunkan pusat penyelidikan di bidang keselamatan dan kesejahteraan awam, dan menyalurkan hasil penyelidikan kepada penggubal dasar dan agensi penguat kuasa sistem pengadilan jenayah.

Pada majlis tersebut, Datuk Ahmad Zahid turut menerima pelantikan sebagai Profesor Adjung di SASSREC, UMS. -MA-

Foto: Ernest Berinus

SELASA, 8 MAC - Geran penyelidikan CIMB Foundation yang diberikan kepada tiga pensyarah program Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dimanfaatkan sebaik mungkin dengan penganjuran 3rd CIMB Run For Life.

Penyelidikan yang diketuai oleh Pathmanathan K. Suppiah itu dijalankan dengan memberikan modul latihan larian jarak sederhana kepada para jurulatih sekolah menengah di sekitar daerah Ranau bagi melihat keberkesanan latihan serta mengenal pasti bakat atlet.

Seramai 90 pelajar terlibat yang terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, SMK Bundu Tuhan, SMK Ulu Sugut, SMK Lohan, SMK Kemburongoh, SMK Kundasang, SMK Ranau, SMK Timbua dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) M. Ali.

Pada program tersebut, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu kategori bawah 13 tahun lelaki dan perempuan serta kategori bawah 14 tahun lelaki dan perempuan.

Bagi salah seorang peserta, Jean Eva Saming, penglibatannya dalam program tersebut telah memberbaiki catatan masa peribadi beliau apabila berjaya merangkul Johan bagi kategori bawah 14 tahun perempuan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penganjur dan saya percaya penganjuran ini dapat menjadi medan untuk mencungkil bakat atlet,” ujarnya.

Johan kategori kumpulan acara tersebut memenangi hadiah wang tunai bernilai RM500, piala dan sijil, manakala naib johan menerima wang tunai RM300, piala dan sijil; tempat ketiga menerima wang tunai RM200, piala dan sijil.

Pemenang kategori individu membawa pulang hadiah berupa piala dan sijil.

Sumber: FPP

SELASA, 8 MAC - Exco Pembangunan Sahsiah, Jawatan Kuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Wacana Intelektual Menanggapi Ancaman Ekstremisme yang bertempat di Dewan Serbaguna KKTM baru-baru ini.

Wacana tersebut disampaikan oleh ASP. Samsul  Datu Abdul Wahab daripada Cawangan Khas IPK Kepayan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria, Syahrir Azfar Bin Salleh dan dihadiri oleh 120 pelajar UMS.

Melalui Wacana ini para mahasiswa didedahkan mengenai konsep Ekstremisme dan pengertian Jihad serta cara bagi mengelak generasi muda dari terlibat dalam kegiatan ekstremisme.

Salah seorang pelajar yang menghadiri wacana tersebut, Syed Mohd Yusuf Syed Muhaddum berkata melalui penganjuran wacana seperti ini akan dapat meningkatkan lagi kefahaman para mahasisiwa terutamanya terhadap konsep dan perlakuan ekstremisme serta salah faham terhadap konsep jihad itu sendiri.

“Di samping itu, penganjuran program seperti ini akan membuat pelajar lebih bergiat aktif untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan dan mengisi masa terluang para mahasiswa dengan perkara dan aktiviti yang berfaedah,” katanya.

Sementara itu, Felo KKTM, Syahrul Hazizi Asmat berkata mahasiswa perlu menghadiri program-program seumpamanya bagi mengisi masa terluang para mahasiswa untuk mendapatkan input dan ilmu yang berguna.

“Diharapkan Wacana ini akan dapat memupuk penghayatan budaya ilmu di kalangan pelajar dan Memberikan kesedaran tentang bahaya fahaman ekstremisme kepada golongan belia bagi Membina generasi muda yang celik maklumat dan berfikiran panjang agar mereka tidak terjebak dalam kegiatan Ekstremisme ini,” tambahnya.

Sumber: KKTM

ISNIN, 7 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) telah mengadakan kutipan amal bagi membantu dan meringankan sedikit beban mangsa-mangsa banjir di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Kutipan amal ini melibatkan seluruh warga KKTM yang terdiri daripada pelajar awam, pelajar Asasi dan pelajar-pelajar yang menganggotai unit beruniform seperti SUKSIS, PALAPES DARAT, PALAPES UDARA, PALAPES LAUT dan SISPA.

Selain itu, kutipan ini diketuai oleh JAKMAS Exco Kemasyarakatan KKTM dengan kerjasama Majlis Ketua-Ketua Blok Kolej Kediaman Tun Mustapha.

Dalam pada itu, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Kuching, Sarawak yang telah kehilangan harta benda dan kerugian akibat bencana yang berpunca daripada hujan lebat. Antara sumbangan yang telah diberikan oleh pelajar-pelajar KKTM ialah bantuan berbentuk kewangan dan barang-barang seperti pakaian.

JAKMAS Exco Kemasyarakatan KKTM, Mohamad Rahim Abdullah menyatakan bahawa kutipan amal yang dilaksanakan ini merupakan peranan sosial sebagai manusia dalam membantu saudara-saudara kita yang ditimpa musibah seperti bencana banjir yang telah berlaku di Kuching, Sarawak.

Selain itu, sumbangan yang telah diperoleh melalui kutipan ini diharap dapat meringankan sedikit beban masyarakat di tempat kejadian.

“Saya amat menghargai dan berterima kasih atas bantuan sosial yang telah dihulurkan oleh pelajar-pelajar kolej kediaman ini dan keprihatan yang telah diberikan melalui usaha murni ini”, katanya.

Menurut Pengetua KKTM, Lt. Kol. (PA) Dr Mohamad Nizam Nazarudin, semangat sukarelawan dan bantu-membantu harus wujud pada mahasiswa dan yakin dengan kelebihan membantu orang.

“Tiga manfaat utama dari sifat sukarelawan ini ialah mengukuhkan lagi sifat keikhlasan dalam hati, membangkitkan kemesraan dan sifat rahmah serta ihsan dalam hidup kemasyarakatan dan  menghasilkan ketenangan hati dan kepuasan dalam jiwa” ujar beliau lagi.

Sumber: JAKMAS KKTM

JUMAAT, 4 MAC - Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Bengkel Penulisan Berita di Dewan Serbaguna KKTM baru-baru ini.

Bengkel ini dihadiri oleh 21 pelajar yang terdiri daripada barisan tertinggi , pembantu JAKMAS dan wakil daripada setiap unit uniform di KKTM .

Melalui bengkel ini juga, para mahasiswa diberi peluang untuk menyuarakan sebarang persoalan mengenai kaedah penulisan berita yang betul dan efisien di samping memastikan mereka  benar-benar memahami konsep dan format yang sebenar dalam menyediakan suatu berita, yang secara tidak langsung membawa kepada isu kualiti dalam penulisan berita.

Wakil unit beruniform, Mohamad Firdaus Bin Kamarulzaman berkata perkongsian ilmu tentang kaedah penulisan ini banyak membantu kerana pembelajaran sebegini tidak ditekankan di dalam pembelajaran kuliah, justeru dengan adanya bengkel ini kami dapat mengetahui proses penulisan berita dengan lebih terperinci .

“Di samping itu , ianya dapat  memperbaiki serta memantapkan penulisan kami  serta mempertingkatkan kesedaran berkaitan kepentingan profesionalisme dan integriti dalam penulisan” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua JAKMAS , Mohamad Asraf Abu Bakar  berkata, bengkel ini dapat membantu mahasiswa untuk kegunaan pada masa hadapan terutamanya dalam bidang kerjaya .

“Selain itu , ini dapat membantu dalam memastikan imej dan reputasi KKTM ditingkatkan melalui penguasaan kemahiran penulisan yang berkesan” tambahnya lagi.

Penceramah  yang juga Pengetua KKTM, Lt. Kol. (PA) Dr Mohamad Nizam Nazarudin berkata,  bengkel penulisan berita ini adalah untuk mengasah bakat dalam kalangan barisan JAKMAS dari aspek penulisan berita dan kewartawanan .

 “Selain membuka peluang menerokai bidang penulisan berita dengan lebih baik, bengkel tersebut mampu menjadikan mahasiswa mempunyai tanggungjawab untuk mempromosikan aktiviti di kampus dengan cara yang betul” katanya pada majlis penutup bengkel tersebut di sini baru-baru ini.

Sumber: JAKMAS KOLEJ TUN MUSTAPHA