SELASA, 8 MAC - Exco Pembangunan Sahsiah, Jawatan Kuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Wacana Intelektual Menanggapi Ancaman Ekstremisme yang bertempat di Dewan Serbaguna KKTM baru-baru ini.

Wacana tersebut disampaikan oleh ASP. Samsul  Datu Abdul Wahab daripada Cawangan Khas IPK Kepayan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria, Syahrir Azfar Bin Salleh dan dihadiri oleh 120 pelajar UMS.

Melalui Wacana ini para mahasiswa didedahkan mengenai konsep Ekstremisme dan pengertian Jihad serta cara bagi mengelak generasi muda dari terlibat dalam kegiatan ekstremisme.

Salah seorang pelajar yang menghadiri wacana tersebut, Syed Mohd Yusuf Syed Muhaddum berkata melalui penganjuran wacana seperti ini akan dapat meningkatkan lagi kefahaman para mahasisiwa terutamanya terhadap konsep dan perlakuan ekstremisme serta salah faham terhadap konsep jihad itu sendiri.

“Di samping itu, penganjuran program seperti ini akan membuat pelajar lebih bergiat aktif untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan dan mengisi masa terluang para mahasiswa dengan perkara dan aktiviti yang berfaedah,” katanya.

Sementara itu, Felo KKTM, Syahrul Hazizi Asmat berkata mahasiswa perlu menghadiri program-program seumpamanya bagi mengisi masa terluang para mahasiswa untuk mendapatkan input dan ilmu yang berguna.

“Diharapkan Wacana ini akan dapat memupuk penghayatan budaya ilmu di kalangan pelajar dan Memberikan kesedaran tentang bahaya fahaman ekstremisme kepada golongan belia bagi Membina generasi muda yang celik maklumat dan berfikiran panjang agar mereka tidak terjebak dalam kegiatan Ekstremisme ini,” tambahnya.

Sumber: KKTM

ISNIN, 7 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) telah mengadakan kutipan amal bagi membantu dan meringankan sedikit beban mangsa-mangsa banjir di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Kutipan amal ini melibatkan seluruh warga KKTM yang terdiri daripada pelajar awam, pelajar Asasi dan pelajar-pelajar yang menganggotai unit beruniform seperti SUKSIS, PALAPES DARAT, PALAPES UDARA, PALAPES LAUT dan SISPA.

Selain itu, kutipan ini diketuai oleh JAKMAS Exco Kemasyarakatan KKTM dengan kerjasama Majlis Ketua-Ketua Blok Kolej Kediaman Tun Mustapha.

Dalam pada itu, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Kuching, Sarawak yang telah kehilangan harta benda dan kerugian akibat bencana yang berpunca daripada hujan lebat. Antara sumbangan yang telah diberikan oleh pelajar-pelajar KKTM ialah bantuan berbentuk kewangan dan barang-barang seperti pakaian.

JAKMAS Exco Kemasyarakatan KKTM, Mohamad Rahim Abdullah menyatakan bahawa kutipan amal yang dilaksanakan ini merupakan peranan sosial sebagai manusia dalam membantu saudara-saudara kita yang ditimpa musibah seperti bencana banjir yang telah berlaku di Kuching, Sarawak.

Selain itu, sumbangan yang telah diperoleh melalui kutipan ini diharap dapat meringankan sedikit beban masyarakat di tempat kejadian.

“Saya amat menghargai dan berterima kasih atas bantuan sosial yang telah dihulurkan oleh pelajar-pelajar kolej kediaman ini dan keprihatan yang telah diberikan melalui usaha murni ini”, katanya.

Menurut Pengetua KKTM, Lt. Kol. (PA) Dr Mohamad Nizam Nazarudin, semangat sukarelawan dan bantu-membantu harus wujud pada mahasiswa dan yakin dengan kelebihan membantu orang.

“Tiga manfaat utama dari sifat sukarelawan ini ialah mengukuhkan lagi sifat keikhlasan dalam hati, membangkitkan kemesraan dan sifat rahmah serta ihsan dalam hidup kemasyarakatan dan  menghasilkan ketenangan hati dan kepuasan dalam jiwa” ujar beliau lagi.

Sumber: JAKMAS KKTM

JUMAAT, 4 MAC - Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Bengkel Penulisan Berita di Dewan Serbaguna KKTM baru-baru ini.

Bengkel ini dihadiri oleh 21 pelajar yang terdiri daripada barisan tertinggi , pembantu JAKMAS dan wakil daripada setiap unit uniform di KKTM .

Melalui bengkel ini juga, para mahasiswa diberi peluang untuk menyuarakan sebarang persoalan mengenai kaedah penulisan berita yang betul dan efisien di samping memastikan mereka  benar-benar memahami konsep dan format yang sebenar dalam menyediakan suatu berita, yang secara tidak langsung membawa kepada isu kualiti dalam penulisan berita.

Wakil unit beruniform, Mohamad Firdaus Bin Kamarulzaman berkata perkongsian ilmu tentang kaedah penulisan ini banyak membantu kerana pembelajaran sebegini tidak ditekankan di dalam pembelajaran kuliah, justeru dengan adanya bengkel ini kami dapat mengetahui proses penulisan berita dengan lebih terperinci .

“Di samping itu , ianya dapat  memperbaiki serta memantapkan penulisan kami  serta mempertingkatkan kesedaran berkaitan kepentingan profesionalisme dan integriti dalam penulisan” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua JAKMAS , Mohamad Asraf Abu Bakar  berkata, bengkel ini dapat membantu mahasiswa untuk kegunaan pada masa hadapan terutamanya dalam bidang kerjaya .

“Selain itu , ini dapat membantu dalam memastikan imej dan reputasi KKTM ditingkatkan melalui penguasaan kemahiran penulisan yang berkesan” tambahnya lagi.

Penceramah  yang juga Pengetua KKTM, Lt. Kol. (PA) Dr Mohamad Nizam Nazarudin berkata,  bengkel penulisan berita ini adalah untuk mengasah bakat dalam kalangan barisan JAKMAS dari aspek penulisan berita dan kewartawanan .

 “Selain membuka peluang menerokai bidang penulisan berita dengan lebih baik, bengkel tersebut mampu menjadikan mahasiswa mempunyai tanggungjawab untuk mempromosikan aktiviti di kampus dengan cara yang betul” katanya pada majlis penutup bengkel tersebut di sini baru-baru ini.

Sumber: JAKMAS KOLEJ TUN MUSTAPHA

KHAMIS, 3 MAC - Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) ‘Jom Masuk IPT’ Peringkat Zon Sabah, acara tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia sejak tahun 2005 itu kembali lagi untuk bersama dengan pengunjung daripada warga negeri ini pada 5 hingga 6 Mac ini.

Karnival yang bertempat di kompleks membeli belah 1 Borneo Hypermall, Kota Kinabalu itu akan bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang.

Antara objektif utama program ini ialah sebagai Pusat Sehenti (One Stop Centre) bermaklumat kepada orang ramai yang ingin mendapatkan informasi mengenai peluang pendidikan tinggi, Akreditasi dan tajaan atau pembiayaan pengajian.

Selain itu, ia juga bagi mendidik dan memupuk kesedaran di kalangan pemohon dan masyarakat awam mengenai pelaksanaan permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi melalui aplikasi dalam talian.

Karnival itu juga bertujuan untuk menerangkan masyarakat awam khususnya para pelajar mengenai kaedah pemarkahan kokurikulum berasaskan sekolah yang diselaraskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam permohonan kemasukan ke IPTA.

Ia juga sebagai medan untuk mempromosikan maklumat mengenai program pengajian baru yang ditawarkan oleh IPTA dan institusi lain pada sesi akademik 2016/2017 akan datang.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Mary Yap Kain Ching akan turut hadir dan berkongsi tentang hala tuju pendidikan tinggi negara, Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (Pendidikan Tinggi) PPPM (PT), dan sebagainya dalam siri jelajah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia ‘Soaring Upwards’ yang turut diadakan bersempena karnival tersebut.

Sehubungan itu orang ramai khususnya para pelajar dan ibu bapa dijemput hadir bagi menjayakan lagi program dua hari ini.

KHAMIS, 3 MAC - Bengkel Kemahiran Alat Muzik Tradisional Sabah akan diadakan di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 16 hingga 18 Mac ini sebagai usaha memartabatkan seni muzik tradisi Sabah.

Bengkel anjuran bersama  Rumpun Bambu dan pihak Program Muzik, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) UMS dengan kerjasama daripada Pejabat Pelajaran Tuaran ini sehingga kini telah mendapat penyertaan lebih 100 orang peserta yang telah mendaftar.

Peserta-peserta tersebut antaranya adalah guru-guru sekolah, pelajar-pelajar daripada Maktab Kent Tuaran, peserta bebas persendirian dan juga pelajar-pelajar daripada Program Muzik, FKSW, UMS.

Menurut Kuhim @ Ebin Ugat selaku Ketua Pelaksana Bengkel ini dan merangkap Pengasas kepada Rumpun Bambu, Bengkel Kemahiran Alat Muzik Tradisional Sabah yang julung-julung kali diadakan ini merupakan salah satu usaha untuk memartabatkan lagi alat-alat muzik tradisional Sabah dan memperkenalkannya kepada orang ramai terutama sekali kepada generasi muda masa kini

Kuhim yang merupakan penggiat aktif Alat Muzik Tradisional Sabah dan telah berkecimpung dalam bidang ini melebihi 15 tahun, juga adalah peneraju bagi pengajian alat muzik tradisi berasakan Buluh di UMS bersama-sama Lawrence Fauzi Kating.

Sementara itu, Ketua Program Muzik, FKSW, Roslee Haji Wahid berharap agar program ini bakal memberi manfaat kepada para siswa-siswazah Pengajian Seni Muzik di UMS.

“Melalui penganjuran Bengkel seperti ini diharapkan agar lebih ramai masyarakat tempatan terutamanya generasi muda akan lebih tertarik untuk mempelajari mengenai teknik  pembuatan dan teknik bermain Alat Muzik Tradisional Sabah agar warisan budaya negeri Sabah yang menjadi kebanggaan kita akan terus kekal terpelihara di masa-masa akan datang.

“Kami juga ingin mengajak orang ramai untuk turun bersama memeriahkan sesi persembahan ensemble alat muzik bambu Sabah pada 18 Mac ini, jam 2 petang di Dewan Resital,” katanya.

Yuran penyertaan bagi bengkel selama tiga hari ini ialah sebanyak RM280.