KHAMIS, 8 OKTOBER - Kontinjen Polis Bantuan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menduduki tempat kedua dalam kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Kemahiran sempena Istiadat Perbarisan Hari Jadi Rasmi Ke-62 TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin tahun 2015 yang telah diadakan di Padang Merdeka, Sabtu lalu.

Ketua Kontinjen Polis Bantuan UMS  Insp.(PB) Rakam Singh A/L Karam Singh berkata, kekuatan seramai 30 orang anggota yang menyertai Kontijen Polis Bantuan daripada UMS telah berusaha sedaya upaya menggunakan kekuatan yang sediada, bersungguh-sungguh dengan semangat berpasukan telah menghasilkan satu komitmen yang terbaik walaupun sekadar mendapat tempata kedua.

Sememangnya terdapat banyak kontinjen yang segak dan berdaya saing dengan semua pasukan di dalam acara berkenaan namun Pasukan Polis Bantuan UMS mempunyai kelebihan yang terbaik walaupun hanya menggunakan masa yang singkat untuk membuat latihan.

“Saya amat berpuas hati dengan kegigihan semua anggota yang menyertai acara perbarisan kali ini dan saya ucapkan ribuan terima kasih di atas komitmen tinggi mereka dalam memartabatkan nama baik UMS,“ kata Insp.(PB) Rakam Singh.

Dengan kejayaan itu, pasukan UMS membawa pulang sebuah piala, sijil dan wang tunai berjumlah RM1,000.

Tambah Insp Karam lagi, dengan mengambil kira segala kelemahan yang yang sudah dikenal pasti sudah tentu pelbagai usaha akan dilakukan untuk memperbaiki segala kekurangan berkenaan agar boleh mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan UMS khususnya kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Ketua Bahagian Keselamatan, Lt Kol Abdul Talib Ariffin serta Pemangku Pendaftar UMS, No’man Datuk Ahmad kerana telah memberikan kepercayaan yang terbaik kepada pasukan Polis Bantuan UMS untuk mewakili UMS ke perbarisan tersebut.

Sumber: Azri Onn, UMSKAL

Oleh Salbinous Saribun

Foto: Musaab Umair

KHAMIS, 08 OKTOBER – Para pelajar harus mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris selain berilmu pengetahuan tinggi agar mampu bersaing di dunia yang kompetetif, kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan AMCORP, Tan Sri Azman Hashim.

Katanya, ramai yang malu untuk bercakap dalam bahasa Inggeris pada masa kini sedangkan 80 peratus negara di dunia menggunakan bahasa tersebut sebagai perhubungan antarabangsa.

“Sebagai contoh di negara China, bahasa yang digunakan pada setiap papan tanda arah ialah bahasa Cina dan Inggeris. Demikian juga di Madinah, Arab Saudi yang menggunakan bahasa Arab dan Inggeris pada papan tanda yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan hampir 5,000 pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam Syarahan Kinabalu di Dewan Canselor, UMS, kelmarin.

Tan Sri Azman yang juga Pengerusi Kumpulan AmBank berkata, sektor swasta juga kini amat menekankan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan kakitangannya.

“Sehubungan itu, asas kepada pengambilan kakitangan dalam sektor swasta juga ialah wajib mempunyai penguasaan dalam bahasa Inggeris,” jelasnya lagi.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, serta ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Pegawai-pegawai Utama universiti.

JUMAAT, 8 OKTOBER - Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Universiti Malaysia Sabah telah menjayakan Festival Keagungan dan Kesenian Islam (FKKI) 2015 baru-baru ini.

Sedikit kelainan pada tahun ini, program tahunan itu dianjurkan oleh gabungan JAKMAS kolej-kolej kediaman secara berpusat dan diketuai oleh JAKMAS Exco Pembangunan Sahsiah dan Kerohanian dari Kolej Kediaman Excellent, Muhammad Farhan Mohamad Amran.

Festival selama dua hari itu menyaksikan beberapa aktiviti diadakan bagi memeriahkan lagi program tersebut, antaranya pertandingan tilawah Al-Quran dan juga Nasyid, ekspo keusahawanan, pertandingan “Mari Bercerita” dan Qasidah.

Acara kemuncak program iaitu Forum Perdana bertajuk “Memperkasa Pemuda, Membangun Ummah” menyaksikan dua orang ahli panel jemputan dijemput bagi menjayakan forum tersebut.

Mereka ialah Naib Juara Imam Muda Musim ke-2, Imam Muda Nazrul dan bekas anggota kumpulan nasyid UNIC, Fitri Haris.

Forum tersebut mendapat sambutan hebat apabila lebih 1,500 orang hadir pada program itu, dengan sedikit bayaran masuk iaitu sebanyak RM3 untuk pelajar UMS dan juga RM5 dikenakan  untuk orang awam.

Sejumlah 50% dari hasil kutipan tersebut kemudiannya disumbangkan kepada tabung bantuan Maahad Darul Hadis, Kg. Sembulan, Kota Kinabalu, Sabah.

Sumber: Syahrul Hazizi, Jabatan Canselori

RABU, 7 OKTOBER – Galeri Azman Hashim UMS bakal menjadi satu lagi mercu tanda baharu dalam kampus Universiti Malaysia Sabah.

Dibina di salah satu lokasi paling indah di dalam kampus UMS yang menghadap ke Laut China Selatan, pembinaan galeri tersebut akan dibiayai oleh  Yayasan Azman Hashim dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM15 juta.

Satu upacara pecah tanah bagi pembinaan Galeri Azman Hashim UMS telah disempurnakan sendiri oleh Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim sambil disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah

Galeri Azman Hashim UMS dibina menghadap Teluk Likas yang mempunyai latar belakang panorama pembangunan pusat Bandaraya Kota Kinabalu, dan dikelilingi oleh tumbuh-tumbuhan hijau yang subur di atas bukit.

Cadangan pembinaan galeri itu antara lain mencirikan struktur bulat dengan bilik pameran terbuka dan tertutup serta berkoridor. Bilik seminar dan kawasan konservatori terletak di tingkat atas manakala kemudahan utiliti berada di bahagian bawah.

Dek di bahagian atas galeri sebagai lokasi melihat pemandangan juga akan menjadi salah satu tarikan galeri tersebut. Pembinaan bangunan itu dijadualkan bermula pada pertengahan tahun 2016 dan dijangka siap pada tahun 2018. -MA-

RABU, 7 OKTOBER - Penolong Pendaftar Kanan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Hayati Salleh Baihaki dipilih sebulat suara sebagai Pengerusi Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita UMS (KESUMBA) UMS Kampus Antarabangsa Labuan yang baharu bagi sesi 2015/2016.

Beliau yang pertama kali menyandang jawatan tersebut mengharapkan lebih ramai staf wanita terutama pensyarah FKAL dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) menganggotai KESUMBA untuk memastikan program dan aktiviti yang dirancang berjalan lancar.

“Dengan adanya ahli daripada kakitangan akademik akan membantu menaikkan semangat ahli yang lain bagi menjalankan program pada masa akan datang,” ujarnya.

Selain itu, Hayati juga mahu suri rumah yang suami mereka merupakan kakitangan UMSKAL menyertai Kesumba kerana banyak aktiviti membabitkan masyarakat setempat akan diadakan kelak.

“Kesumba juga akan mengadakan aktiviti yang membabitkan masyarakat setempat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) wanita di Wilayah Persekutuan Labuan,”tambahnya.

Pada Mesyuarat Agung KESUMBA UMSKAL yang berlangsung di Bilik Seminar, Bangunan Menara UMSKAL baru-baru ini, Penolong Pendaftar Kanan, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Norhanizah Adnan turut dilantik sebagai Setiausaha Kehormat kelab berkenaan.

Jawatan Timbalan Setiausaha pula disandang oleh Pembantu Tadbir, Rohani Yusup manakala Bendahari Kehormat dan Timbalan Bendahari masing-masing dipegang Penolong Akauntan, Eldayana Suhaili dan Badariah Abd Bool.

Penolong Akauntan Kanan, Ruby Zawati Timbang dan Nurul Huda Leman pula dilantik sebagai Juruaudit Kesumba.

Penolong Pegawai Tadbir, Ezawati Pungut dinamakan sebagai Exco Pendidikan dan Pelajaran manakala Exco Ekonomi dan Kepenggunaan dipegang oleh Penolong Pegawai Tadbir, Dg Norsiah Ag Saman.

Exco Hal Ehwal Agama dan Kebajikan pula diberikan kepada Pembantu Hal Ehwal Islam, Dg. Suhaila Ag. Suan, Noreffaiza Jali (Exco Keseniaan dan Kebudayaan), Nor Atiqah Mustafa (Exco Penerangan dan Perhubungan) serta Dg Marianah Ag Ibrahim (Exco Sukan dan Rekreasi). ZMD

Sumber: Azri Onn Othman