SELASA, 22 DISEMBER - Program Bakti Siswa universiti bersama masyarakat setempat mampu mendorong pembentukan siswa-siswi yang holistik dalam pelbagai bidang.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Mary Yap Kain Ching, program-program yang melibatkan interaksi pelajar universiti bersama masyarakat khususnya penduduk luar bandar bukan sahaja menggalakkan semangat kesukarelaan dalam kalangan pelajar, malah turut membentuk pembangunan sahsiah melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan.
“Program sebegini menyediakan para pelajar untuk turun padang menyelami kehidupan bersama masyarakat setempat, sekali gus mampu mencungkil satu kesedaran kepada pelajar terhadap impak semangat kesukarelawan terhadap pembangunan masyarakat dan negara.
“Ini selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dalam melahirkan graduan holistik melalui penaksiran terhadap elemen bukan berbentuk akademik semata-mata, tetapi turut menerapkan nilai seperti kepimpinan, komunikasi dan daya penyelesaian masalah pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Bakti Siswa Perdana Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2015 di Kampung Bukit Quoin, Balung, Tawau baru-baru ini.
Beliau turut berharap agar siswa-siswi UMS yang menyertai program tersebut dapat menimba ilmu dan pengalaman berkaitan kebudayaan dan kehidupan bermasyarakat di kampung berkenaan bagi manfaat pada masa hadapan.
Program dua hari itu telah disertai oleh 100 orang pelajar dan kakitangan UMS dengan pelbagai aktiviti dijalankan antaranya membersihkan dan mengecat surau dan sekolah agama rakyat (SAR), membaiki pagar SAR, pemeriksaan kesihatan dan derma darah, senam robik dan pertandingan bola sepak serta Sepak Takraw antara penduduk kampung.
Hadir sama pada program itu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali, Pengarah Pusat Alumni UMS, Mohd Raffie Janau, Pengarah Pusat Sukan UMS, Mohd Asyraaf Fong, dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS Azmi Jumat. -MA-



ISNIN, 21 DISEMBER - Selepas kejayaan penganjuran sesi dialog siri pertama di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS), Pusat Pengajian Pascasiwazah (PPPS) terus menjelajah ke Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan bagi mengadakan program sama, baru-baru ini.
JUMAAT, 18 DISEMBER – Majlis Khatam Al-Quran Sempena Penutupan Program Kelas al-Quran dan Iqra 2015 Anjuran Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) mendapat sambutan menggalakkan daripada anak-anak kakitangan UMS dan masyarakat luar. Hampir 70 orang peserta yang dibimbing tenaga pengajar dari Sek. Rendah Islam Al-Hafiz, Tuaran, Ustaz Junaidi Jenny turut serta pada majlis tersebut.
ISNIN, 14 DISEMBER – Sebanyak 20 penyelidikan dan inovasi yang dipamerkan di Pertandingan Penyelidikan dan Reka Cipta (PEREKA) 2015 telah memenangi emas daripada sejumlah 242 penyertaan yang dihantar oleh ahli akademik Universiti Malaysia Sabah untuk dipamer dan dipertandingkan.
JUMAAT, 11 DISEMBER – Kejohanan UMS-KPT Taekwondo Fiesta 2015 yang berlangsung selama tiga hari membuka tirainya pada hari ini dan akan menjanjikan saingan sengit antara atlet yang bertanding.