
JUMAAT, 29 MEI – Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman E melalui Exco Keusahawanan sedang mengadakan program pasar malam yang memberi peluang kepada para pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menceburi bidang keusahawanan.
Ketika dihubungi media, Pengarah Program, Norain Amira Riduan berkata pasar malam tersebut diadakan di Padang Kawad UMS bermula 19 Mei lalu dengan penyertaan seramai 45 penggerai yang menjual pelbagai jenis juadah makanan dan minuman serta produk hasil kreativiti masing-masing.
“Ini satu peluang untuk pelajar UMS mendapat gambaran yang positif mengenai bidang keusahawan dan saya percaya ia mampu menarik minat pelajar,” katanya.
Tambah Norain, turut diadakan persembahan busking daripada kumpulan Kelab Akustik Kolej Kediaman E pada setiap malam untuk menghiburkan para pengunjung.
Pasar malam @ E boleh dikunjungi setiap hari bermula pada pukul 5.00 petang hingga 9.30 malam.
Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui talian 0198857526 dan 0145527726 atau melayariwww.pasarmalamkampunge.blogspot.com.–ZMD
Bahagian Media dan Citra
KHAMIS, 28 MEI - Persatuan Mahasiswa Psikologi, Pendidikan dan Sains Sukan (PERMAPPS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan program ‘Lambaian Menara Gading’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort 3, baru-baru ini.
Menurut Pengarah Program, Dayang Norlisa Datu Harun, program motivasi selama dua hari itu telah disertai 95 pelajar tingkatan satu hingga lima sekolah berkenaan.
“Kami berkongsi kepentingan pendidikan dan pengalaman belajar di UMS bersama adik-adik di sekolah ini dan berharap perkongsian tersebut dapat menjadi penyuntik semangat buat mereka untuk meneruskan pengajian nanti,” katanya ketika ditemui media.
Terdahulu, Pengetua SMK Beaufort 3, Roslinah Suhailin ketika merasmikan program tersebut berkata pihaknya berharap kolaborasi program motivasi antara sekolah berkenaan dan UMS akan berterusan.
“Program ini sangat bermanfaat dan menyuntik semangat para pelajar sekolah melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat pengajian tinggi,” ujarnya.
Turut hadir, Ketua Program Pendidikan dengan Sains Sosial UMS, Dr. Dayang Norizah Ag. Kiflee.-ZMD
Bahagian Media dan Citra
Sumber: HEP
Terma Pengguna | Penafian | Dasar Privasi | Polisi Keselamatan | Dasar Hak Cipta | Paparan Terbaik 1366x768