Kaamatan PPIBSELASA, 26 MEI - Sambutan Bulan Pesta Kaamatan di Sabah terus disemarakkan dengan penganjuran perayaan itu di pelbagai tempat dan daerah.

Di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sambutan itu dimeriahkan lagi melalui penganjuran Karnival Kaamatan oleh Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) yang bermula kelmarin.

Berlangsung selama empat hari, pelbagai acara menarik menjadi pengisian pada karnival yang bertempat di perkarangan bangunan PPIB.

Antara yang menarik perhatian termasuklah persembahan artis tempatan dan pertandingan Sugandoi iaitu pertandingan nyanyian yang menjadi salah satu acara pada setiap sambutan pesta Kaamatan.

Majlis Perasmiannya disempurnakan Dekan PPIB, Profesor Dr. Vincent Pang.

Dalam ucapannya beliau yang segak memakai pakaian tradisi suku Kadazandusun berkata, program seumpama itu amat penting dalam memelihara warisan  tradisi secara turun temurun.

Justeru, beliau mengalakkan penganjuran program seumpama itu agar diteruskan pada masa-masa akan datang. –SS


Foto: Ramdan Nain 
Bahagian Media dan Citra

karnival kokumISNIN, 25 MEI - Hasrat Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengukuhkan kemahiran insaniah siswa siswi menerusi program dan aktiviti yang menerapkan elemen kemasyarakatan selari dengan saranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terbukti memberikan faedah jangka panjang.

Penganjuran Mini Karnival Kokurikulum semester 2, sesi 2014/2015 yang dianjurkan Pusat Kemajuan dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS merupakan acara kemuncak bagi siswa siswi yang mengikuti kursus kokurikulum selain daripada menjadi platform penilaian akhir setiap kursus yang diambil.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, pengurusan tertinggi universiti sentiasa menyokong aktiviti yang melibatkan siswa siswi kerana yakin usaha ini dapat menyumbang kepada pembentukan mahasiswa yang holistik, bukan sahaja hebat dari segi akademik tetapi juga hebat dari segi kemahiran insaniahnya.

“Program seperti ini membolehkan pelajar mengaplikasikan nilai seperti kemahiran bekerja berpasukan, berkomunikasi secara berkesan, menyelesaikan masalah dan banyak lagi,” katanya di hadapan kira-kira 600 siswa siswi UMS. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin di Laman Graduan, Dewan Canselor UMS.

Beliau turut berbangga dengan komitmen dan usaha bersungguh-sungguh PKPP memenuhi hasrat universiti dalam melahirkan siswa siswi yang holistik dan cemerlang melalui pendidikan seimbang dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

“Modal insan yang kita harapkan seharusnya memiliki jati diri yang positif, mempunyai prinsip hidup yang jelas, mematuhi peraturan dan disiplin, rajin berusaha serta bertanggungjawab,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut menegaskan yang menerusi program dan aktiviti kokurikulum juga dapat melahirkan generasi kini dan generasi akan datang yang cemerlang dalam aspek kognitif, efektif iaitu bersifat kerohanian dan emosi serta psikomotor.

“Modal insan yang cemerlang inilah yang akan menerajui kepimpinan negara yang lebih progresif dan maju. Lantaran itu, diharapkan kehidupan masyarakat kita akan lebih selesa, harmoni dan aman makmur.

“Nasihat saya agar siswa siswi dapat menyeimbangkan ilmu dan kemahiran dunia serta akhirat baik dari segi intelek, kerohanian, akhlak, budi pekerti serta tatalaku sejajar dengan harapan negara melalui pembinaan modal insan yang berketerampilan, seimbang dan harmonis,” katanya.

Pada Mini Karnival tersebut, beberapa acara riadah, aktiviti dan persembahan dianjurkan seperti ekspedisi berbasikal, senamrobik, persembahan tarian tradisional dan moden, persembahan alat muzik, nyanyian, pertunjukan khas UMS Sejati Paramedik, pidato serta pameran.

Untuk rekod, PKPP, UMS menawarkan sebanyak 40 kursus kokurikulum pada semester ini yang melibatkan seramai kira-kira 900 pelajar. –CD


Sumber Foto: Pusat Kemajuan dan Pemajuan Pelajar
Bahagian Media dan Citra

riangria masjid

ISNIN, 25 MEI – Pertandingan Riang Ria Cinta Masjid yang berlangsung di Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini meriah dengan penyertaan 120 peserta dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.

 

Menurut Pengarah Pusat Islam, Dr. Muhammad Suhaimi Taat, pertandingan yang dianjurkan sempena Karnival Cinta Masjid itu mendapat sambutan baik dari masyarakat setempat serta warga UMS.

 

“Pertandingan ini bertujuan untuk memupuk silaturrahim dan rasa kasih sayang sesama insan tanpa mengira agama, selain menyemai rasa cinta dan sayang terhadap masjid sebagai salah satu destinasi ibadah,” jelas beliau ketika berucap menyempurnakan perasmian majlis.

Dr Suhaimi turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pelbagai acara menarik yang dipertandingkan.

 

Bagi pertandingan busana menyaksikan Dk. Nur Azza Husna Pg. Safran dan Anas Hussain muncul pemenang, manakala acara melukis poster pemenangnya ialah Muhammad Firdaus Ali, Dk. Isra Umairah, Ak. Mikail Isaac, dan Alia Syafika Noor Hazri.

 

Hadir sama pada majlis itu Pengarah Penerbit UMS, Prof. Madya Dr. Asmady Idris dan Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Dr. Mohd. Azri Ibrahim. -SM-

 

Bahagian Media dan Citra

Foto: Ramdan Saleh Nain, BPK

 

GotongRoyong1MONDAY, 25 MAY – The Housewives and Women Staff Club (KESUMBA) of Universiti Malaysia Sabah (UMS) organised a gotong-royong project over the weekend to plant various herbs and plants at their garden plot fronting Teratak KESUMBA.

Led by its President, Datin Baidah Ibrahim, the gotong-royong which was also participated by other members of the club planted herbs such as cekur, misai kucing, Pokok Tujuh Jarum, Kantan, Kaduk, Sambung Nyawa, Kunyit Hitam, Cymbopogon, Sabah Snake Grass and Aloe Vera.

“These herbs were chosen because of their great and unique medicinal value,” said Datin Baidah when met during the gotong-royong.

Earlier, Datin Baidah also presented telekung, sejadah and pillow-cases for use at the Child Development Centre UMS to its Assistant Registrar, Rohani Abdullah.

Also present was KESUMBA’s Assistant Honorary Secretary and Chief of Religious and Welfare Bureau, Norazah Hamzah. – FL


Media and Citra Division
 

Seminar FSSAJUMAAT, 22 MEI - Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi mengadakan Seminar Pelajar Pascasiswazah Peringkat Fakulti di Bilik Mesyuarat Utama FSSA baru-baru ini. 

Menurut Dekannya, Profesor Dr. Baba Musta, seminar yang merupakan program tahunan FSSA itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar pascasiswazah mengenai bidang penyelidikan masing-masing sekali gus memberi ruang perkongsian ilmu pengetahuan.

“Dengan adanya seminar tersebut, fakulti dapat membantu dalam meningkatkan kredibiliti dan kualiti universiti di samping menambah baik penyelidikan dalam pelbagai aspek dan bidang,” katanya ketika berucap merasmikan seminar.

Beliau menambah, warga FSSA juga perlu mempersiapkan diri dalam menangani pelbagai cabaran ilmu bagi melahirkan graduan pascasiswazah yang proaktif dan berinovatif.

Terdahulu, Pengerusi seminar, Dr. Fauziah Sulaiman berkata seminar tersebut turut dianjurkan untuk berkongsi pengalaman dan pendapat bagi mengatasi sebarang masalah agar tidak menjejaskan prestasi pengajian pelajar. 

Seminar selama dua hari itu melibatkan 75 pembentang terdiri daripada pelajar Sarjana dan  Doktor Falsafah yang membentangkan Usul Kajian, Pra-Viva, Laporan Kemajuan Wajib dan Laporan Kajian Semasa masing-masing.-ZMD

Bahagian Media dan Citra
Sumber: Kenny Uwai, FSSA