Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyambut baik tujuh fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta 10 Agenda Transformasi Pendidikan yang menjadi hala tuju pendidikan tinggi negara pada tahun ini seperti yang diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam perutusan tahun baharu beliau baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, perutusan Tahun Baharu 2025 oleh Zambry memperlihatkan kepekaan beliau terhadap suara warga akademik yang mahukan satu dasar jelas dan setara dalam isu-isu seperti kenaikan pangkat pensyarah dan keperluan untuk mewujudkan mekanisme penilaian kepada pegawai sangkutan atau pinjaman.

“Kedua-dua isu ini amat kritikal untuk diperhalusi bagi membolehkan kelancaran perkembangan kerjaya warga akademik secara lebih inklusif dan adil.

“UMS menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi ini sejajar dengan usaha pemerkasaan warga Universiti sebagai nadi KPT ‘The Brain Of The Nation’.

“Kolaborasi Universiti-Industri-Komuniti seperti yang disarankan juga akan menjadi agenda utama UMS dalam pelan perancangan pendidikan tinggi ini,” katanya ketika mengulas perutusan tahun baharu tersebut.

Kenyataan Kasim turut disokong Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS, Prof. Madya Dr Lai Yew Meng yang menegaskan hala tuju KPT pada tahun ini adalah suatu perancangan strategik yang cukup komprehensif, holistik, terangkum, seimbang dan berwawasan.

“Fokus utama dan agenda transformasi yang digariskan mencerminkan agenda “3C” iaitu “Change” (Perubahan), “Continuity” (Kesinambungan) dan “Consolidation” (Konsolidasi) yang bertujuan memacu serta memperkasakan agenda pendidikan tinggi negara bagi menghadapi dunia yang kian bersifat VUCA (volatile, uncertain, complex, ambiguous).

“Sebagai Dekan PPIB, saya amat tertarik dengan Program 3 dalam Fokus 5: Governan dan Kepimpinan iaitu agenda untuk memantapkan Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU), iaitu kursus-kursus yang ditawarkan di PPIB.

“Pada hemat saya, agenda ini sejajar dengan hala tuju dan aspirasi pendidikan tinggi negara yang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Ia turut mencerminkan usaha KPT memastikan agar pendidikan tinggi negara sentiasa berpaksikan “True North” yang membawa maksud “matlamat hakiki” pendidikan demi melestarikan elemen kemanusiaan atau keinsanan di sebalik perubahan ideologi dan transformasi global yang begitu pesat lagi mendadak,” katanya.

Sementara itu, Dekan, Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMS, Prof. Madya Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi berpendapat, terdapat penekanan yang signifikan terhadap penguasaan teknologi digital, khususnya kecerdasan buatan (AI), yang disebut dalam dua daripada tujuh fokus yang digariskan.

“Penghasilan bakat yang mahir dan beretika dalam AI, sama ada sebagai pencipta mahupun pengguna adalah amat kritikal sejajar dengan perkembangan pesat dan persaingan global dalam penggunaan AI.

“Hala tuju turut menyasarkan Pembangunan aplikasi AI dalam Pendidikan tinggi, bukan sahaja dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga dalam pengoperasian.

“Pendekatan ini memberi peluang kepada KPT untuk menjadi peneraju dalam penggunaan AI dalam agensi Kerajaan lantaran memanfaatkan kepakaran meluas yang dimiliki Kementerian,” katanya.

Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar turut mengulas bahawa perutusan yang disampaikan memberikan hala tuju serta landasan terbaik untuk melonjakkan lagi kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi negara, sementara Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Prof. Dr. Asmady Idris bersetuju bahawa amanat Menteri KPT amat bertepatan dengan aspirasi pendidikan negara serta menjadi azimat terbaik bagi menghadapi cabaran di peringkat global.

Pensyarah Kanan Program Komunikasi FSSK, Dr. Haryati Abdul Karim turut positif dengan perutusan yang disampaikan.

“Gembira sebab isu-isu dan masalah yang melanda pensyarah seperti beban kerja dan kenaikan pangkat diangkat dalam amanat Menteri.

“Ini bermakna Menteri amat terbuka untuk mendengar dan prihatin terhadap nasib para ahli akademik negara,” kata Haryati.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Yusuf Naim Muhammad Idris Lutfi turut menyuarakan pandangan sama, dengan menyatakan keyakinan beliau terhadap hala tuju tersebut yang mampu membangunkan modal insan secara holistik, khususnya di UMS.

“Sebagai penuntut ilmu di era pasca-normal, keperluan untuk melahirkan modal insan yang holistik dan seimbang adalah amat penting.

“Justeru, MPP UMS menyeru seluruh mahasiswa UMS untuk bersama-sama menyokong hasrat kerajaan dalam membangunkan masyarakat yang mempunyai kredibiliti, berdaya saing dalam industri, dan memiliki nilai pembelajaran sepanjang hayat.

“Sokongan serta penglibatan aktif mahasiswa adalah kunci utama dalam merealisasikan aspirasi ini demi masa depan negara yang lebih gemilang,” ujar Yusuf.

 

Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghasilkan modul Pembelajaran dan Pemudacaraan (PdPC) Sains Awal yang berkonsepkan Agromakanan Edu-Pelancongan.

Menurut Pensyarah Program PAKK, Dr. Nur Suhaidah Sukor, modul tersebut direka untuk menggalakkan kanak-kanak prasekolah meneroka, belajar dan memahami konsep sains awal melalui aktiviti berinteraktif dan menyeronokkan.

Katanya dalam usaha untuk memperkaya pengalaman pembelajaran kanak-kanak, program tersebut juga mengintegrasikan unsur-unsur pembelajaran praktikal dengan suasana persekitaran yang sebenar sambil memupuk minat mereka terhadap bidang ini.

“Matlamat penghasilan modul ini adalah bagi menyokong SDG-2 iaitu mencapai keselamatan makanan dan menggalakkan pertanian mampan serta SDG-4 iaitu pembangunan awal kanak-kanak yang berkualiti.

“Inisiatif ini juga bertujuan memberikan pengalaman pembelajaran kepada para pelajar PAKK UMS untuk melaksanakan PdPC Sains Awal di lokasi tarikan pelancong, seperti di Muzium Akuarium UMS dan Kundasang Aquafarm.

"Kami percaya bahawa pembelajaran secara hands-on adalah cara terbaik untuk kanak-kanak memahami konsep sains awal dengan lebih baik. Melalui modul ini, kami berharap dapat menanamkan sifat ingin tahu dan semangat eksplorasi dalam diri mereka," katanya.

Pengarah Program, Sumiraa Amir berkata modul yang dihasilkan memberi peluang kepada para pelajar PAKK UMS untuk mengaplikasi pengetahuan teoretikal pengajaran dalam situasi sebenar.

“Dengan melaksanakan modul PdPC Sains Awal ini, kami dapat menfaatkan suasana pembelajaran sebenar untuk menarik minat murid-murid prasekolah terhadap tunjang Sains Awal. Ini adalah pengalaman pembelajaran yang tidak ternilai untuk kami.

“Antara aktiviti berkonsepkan agromakanan dan edu-pelancongan yang dijalankan adalah pengenalan dan ciri-ciri haiwan akuatik, penjagaan kebersihan laut, pemeliharaan habitat haiwan akuatik, penyemaian biji benih serta pengenalan teknik hidroponik dan akuaponik,” jelasnya.

Sementara itu, Dekan FPPS, Profesor Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh berkata pihaknya menyokong usaha yang dilakukan oleh Dr. Nur Suhaidah dan berharap agar program tersebut dapat memperkasa Program Pendidikan Awal Kanak-kanak di UMS.

"Dengan memanfaatkan sumber semula jadi dan persekitaran yang ada di Sabah, FPPS berupaya menyediakan pengalaman pembelajaran yang unik dan relevan kepada pelajar PAKK UMS. Ini juga sejajar dengan visi FPPS untuk mempromosikan pembelajaran berasaskan pengalaman.

“Program ini diharapkan dapat menjadi platform bagi PAKK UMS untuk membina hubungan industri agar dapat mewujudkan pengalaman pembelajaran sebenar dan seterusnya mengalakkan pewujudan sudut pendidikan awal di lokasi tarikan pelancong.

“Dengan kerjasama antara institusi pendidikan dan industri, PAKK UMS terus komited untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh dan bermakna bagi kanak-kanak,” katanya.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Arkib Negeri Sabah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pengurusan serta pemeliharaan sumber warisan negeri Sabah.

MoU tersebut dimeterai dalam satu majlis menandatangani MoU antara kedua-dua pihak di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UMS hari ini.

Dekan FSSK, Prof. Dr. Asmady Idris yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menandatangani dokumen MoU bagi pihak UMS, manakala Jabatan Arkib Negeri Sabah diwakili oleh pengarahnya, Shirley Sion.

Turut bersama menyaksikan pemeteraian MoU tersebut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman.

Terdahulu, Asmady ketika membacakan teks ucapan Naib Canselor UMS berkata, kerjasama tersebut penting kerana akan membolehkan para pelajar UMS untuk mengakses pelbagai sumber yang dapat memperkaya pengetahuan dan pemahaman mereka mengenai sejarah dan warisan negeri Sabah.

“Jabatan Arkib Negeri Sabah memainkan peranan yang sangat besar dalam memelihara dan menguruskan warisan dokumentasi negeri kita khususnya dalam bidang sejarah serta pengarkiban.

“Justeru itu, menerusi perjanjian ini, diharapkan kedua-dua pihak dapat melaksanakan beberapa inisiatif seperti program penyelidikan bersama iaitu memfasilitasikan penyelidikan berkaitan dengan sejarah dan budaya negeri Sabah dan menghasilkan penulisan akademik yang berkualiti.

“UMS dan Jabatan Arkib Negeri Sabah juga boleh memperkukuh program pendidikan menerusi kerjasama untuk pelaksanaan seminar, bengkel, dan pameran yang dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan rekod dan warisan,” katanya.

Tambah beliau, kolaborasi itu dijangka mampu menggalakkan pertukaran kepakaran dan pengetahuan antara staf akademik UMS dan pegawai Arkib Negeri Sabah, sekali gus memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, Zainudin ketika berucap pada majlis tersebut berkata, kerjasama sebegini amat penting bukan sahaja terhadap usaha pemeliharaan khazanah warisan sejarah negeri Sabah, tetapi turut berperanan dalam perkembangan ilmu berkaitan negeri Sabah.

“Kerjasama ini semestinya akan memudahkan para pelajar dan ahli akademik untuk mengakses segala dokumen, gambar dan sebagainya untuk tujuan kajian, dan ini bakal memanfaatkan pelbagai bidang ilmu.

“Ini akan mengembangkan lagi peranan Jabatan Arkib Negeri Sabah yang tidak hanya menyimpan bahan bersejarah, tetapi menjadikan bahan arkib sebagai intipati terhadap perkembangan ilmu,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FSSK, Prof. Madya Dr. Syahruddin Awg. Ahmad; Pegawai Undang-Undang Negeri Sabah, Habibah Abd. Rashid; Ketua Program Sejarah FSSK, Dr. Eko Prayitno Joko; dan Ketua Pentadbiran FSSK, Norhanieyati Norhaizat.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui One Health Student Club (OHSC) dengan kerjasama beberapa universiti luar negara telah menganjurkan program kesedaran perubahan iklim bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tenom, baru-baru ini.

Program anjuran bersama Universiti Jember Indonesia, University of The Philippines, dan Universiti Brunei Darussalam itu ditaja oleh Asia-Pacific Consortium for Public Health (APACPH) Multi-countries Research Grand itu merupakan inisiatif global untuk meningkatkan kesedaran komuniti mengenai isu perubahan iklim melalui pendidikan peringkat awal.

Menurut Penasihat OHSC, Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad yang juga merupakan pengasas kepada organisasi Teach4Tomorrow, pemilihan daerah Tenom sebagai lokasi pertama adalah kerana potensinya untuk menjadi model kepada pelaksanaan program serupa di negara jiran.

Katanya program tersebut akan diperluas ke Jember Indonesia, Manila dan Brunei dalam masa terdekat.

“Kami percaya pada konsep melentur buluh dari rebungnya, di mana mendidik kanak-kanak sejak usia muda dapat membentuk kesedaran yang mendalam tentang perubahan iklim.

“Dalam program ini juga, OHSC telah melancarkan komik modul interaktif yang bertujuan untuk memberikan pemahaman yang mudah dan menarik tentang perubahan iklim,” katanya.

Tambah Zulkhairul Naim, dengan penyertaan aktif lebih 200 murid, guru, dan sukarelawan, program tersebut telah menunjukkan potensi besar dalam menyemai kesedaran perubahan iklim di peringkat akar umbi.

“Komitmen UMS melalui OHSC dalam melibatkan pelajar universiti sebagai agen perubahan telah membuktikan bahawa pendidikan mampu menjadi alat yang berkesan untuk menangani isu global.

“Inisiatif ini selaras dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya dalam pendidikan berkualiti dan tindakan terhadap perubahan iklim,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Pekan Tenom, Shamsudin Akil menzahirkan penghargaan atas penganjuran tersebut di sekolah berkenaan.

“Sekolah kami sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pihak luar, terutama untuk program yang membawa manfaat besar kepada murid.

“Kami berharap anak-anak ini akan membawa pulang ilmu yang diperoleh hari ini untuk disampaikan kepada keluarga mereka,” katanya.

Hadir sama, Pensyarah The University of Philippines, Profesor Madya Dr. TJ Robinson T. Moncatar; Pensyarah Universiti Jember, Pembantu Profesor Dr. Kurnia Ardiansyah Akbar, dan Pensyarah Universiti Brunei Darussalam, Pembantu Profesor Dr. Roslinawati binti Mohd Roslan.

 

Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengakhiri tahun 2024 yang penuh gemilang melalui penyertaan dalam Program Global Convergence Capstone Design di Universiti Hannam, Korea Selatan.

Bertemakan “Carbon Neutrality,” program tersebut memfokuskan kecemerlangan akademik, penglibatan industri, dan pertukaran budaya.

Delegasi UMS yang diketuai Ketua Program Mobiliti Antarabangsa, Datu Razali Datu Eranza turut disertai oleh Timbalan Pendaftar Kanan FPEP, Awina Kamis; Ketua Program Perniagaan Antarabangsa, Dr. Nur Aleysa Chew Tze Cheng; dan staf FPEP, Arnah Sanuddin disambut oleh Pengarah Projek LINC 3.0, Prof. Gu-Hwan Won yang turut menekankan pentingnya kolaborasi global dalam pendidikan ketika bertemu delegasi UMS.

Lebih 25 peserta dari UMS dan Universiti Hannam menyertai program tersebut yang menyaksikan pengisian pelbagai siri ceramah berkaitan neutraliti karbon dan trend perniagaan global, antaranya ceramah “Future-Proofing Workplaces: Carbon Neutrality and Global HR Trends” yang disampaikan Datu Razali; ceramah “Eksport dan Import” oleh Prof. Chen Hong; dan ceramah “Neutraliti Karbon dalam Perniagaan Antarabangsa” oleh Dr. Nur Aleysa.

Turut diadakan lawatan industri ke Perusahaan Kecil dan Sederhana yang inovatif seperti PumpCare yang menjalankan operasi berkaitan tenaga mampan, Water Genesis, dan Organisasi Kereta Api Bawah Tanah Daejeon City, sekali gus memberikan para peserta delegasi satu wawasan tentang amalan mampan dan teknologi terkini.

Selain itu, peserta turut mengikuti bengkel seni budaya Korea, pembuatan makanan tradisional, dan acara “Malam Kebudayaan Sabah-Daejeon” yang mampu mengeratkan lagi hubungan kedua-dua institusi.

Program tersebut diakhiri dengan kuliah khas yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif JeuDérm, Tatyana Jeon dan Profesor dari Woosong University, Profesor Dr. Gilbert M. Tumibay.

Dalam pada itu, Dekan FPEP, Prof. Madya Dr Mohd Rahimie Abd Karim merakamkan penghargaan kepada Universiti Hannam atas penganjuran program tersebut, serta memuji usaha pihak yang terlibat, antaranya pensyarah FPEP, Profesor Madya Mat Salleh Ayub dan Datu Razali, serta pensyarah Universiti Hannam, Prof. Peter Lee dalam mengadakan kolaborasi dan menjayakan program tersebut. 

“Program ini bukan sahaja menangani isu global seperti neutraliti karbon tetapi juga membina jambatan akademik dan budaya yang kukuh.

“Usaha ini juga melambangkan dedikasi FPEP dalam memajukan kecemerlangan akademik global,” ujar Rahimie.

Dalam perkembangan lain, FPEP sekali lagi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Program Mobiliti Paling Aktif untuk tahun kelapan berturut-turut, manakala Profesor Peter Lee menerima penghargaan khas daripada Kementerian Pendidikan Korea Selatan atas sumbangan beliau terhadap kerjasama akademik antarabangsa.