Izzat Aiman Mohd Yusof, 25, berjaya meraih Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-27 setelah mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.95. dalam Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam Dengan Kepujian.

Beliau mengakui cabaran utama sepanjang bergelar pelajar UMS termasuk kos makan minum dan penerbangan, tetapi dorongan dan sokongan keluarga banyak membantu.

“Kalau ada apa-apa masalah, saya akan rujuk atau luahkan dengan keluarga, termasuk soal kewangan,” ujarnya.

Izzat yang berasal dari Selangor turut menjelaskan bahawa prinsipnya mudah dan konsisten.

“Di mana pun saya berada, saya fokus untuk cuba yang terbaik saja.

“Selalu bertanya dan rujuk orang,” katanya lagi.

Kata Izzat, beliau tidak pernah terfikir untuk mencapai anugerah tersebut kerana tidak mempunyai latar belakang kepimpinan, dan apabila bercerita mengenai sumber inspirasi, Izzat menyebut abangnya sebagai panduan utama manakala ibunya juga memberikan banyak sokongan sejak awal pengajiannya.

“Saya bersyukur dengan doa dan pengorbanan ibu yang banyak membantu sepanjang pengajian saya,” tambahnya.

Izzat juga berkongsi nasihat yang disampaikan rakannya, berdasarkan tamsilan ulama.

“Kehidupan ini ibarat bayi dalam perut ibu, diberikan tangan, kaki, mata, mulut dan sebagainya tetapi belum tahu apa kegunaannya.

“Dan bila lahir barulah kita faham fungsi sebenar semua itu, sama seperti usaha kita hari ini yang mungkin belum nampak hasil tetapi akan menampakkan hikmahnya pada masa akan datang,” katanya.

 

(artikel disediakan oleh Nadhirah Humaira Binti Muhammad Nahji, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)

 

Keyakinan, disiplin serta dorongan seorang bapa menjadi kunci kejayaan graduan muda, Kristie Chiang Shen Shuet, apabila beliau diumumkan sebagai penerima Pingat Emas Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena Majlis Konvokesyen ke-27 UMS.

Kristie yang berusia 24 tahun dan merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, berkata bapa telah menjadi sumber kejayaan dan inspirasi sejak dari kecil lagi.

“Saya juga berterima kasih atas sokongan tanpa syarat daripada keluarga saya, dan tentu sahaja daripada semua pensyarah, fakulti serta universiti kerana memberikan saya peluang ini.

“Sejak kecil, sumber inspirasi saya ialah bapa saya kerana beliau sentiasa mengingatkan bahawa pendidikan itu sangat penting,” katanya.

“Ayah tidak pernah memaksa, tetapi sentiasa mendorong saya untuk berusaha, mengetahui apa yang saya perlukan dan apa yang saya mahukan untuk masa depan.

“Dorongan serta nasihat beliau inilah yang menjadi sumber kekuatan dan kejayaan saya hari ini,” katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik tersebut memilih kursus Sains Data ketika melanjutkan pengajian di UMS kerana bidang itu selari dengan perkembangan pesat teknologi semasa, khususnya dalam kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin.

Minatnya yang mendalam terhadap matematik dan statistik turut menguatkan tekad untuk mendalami bidang berteraskan data tersebut.

Kristie juga mengakui tidak terlepas daripada cabaran terutama dalam penguasaan pengekodan yang memerlukan kemahiran membina perisian dari back-end hingga front-end.

Tanpa asas coding dalam data science pada peringkat awal, beliau terpaksa belajar sendiri secara intensif untuk memahami proses pembangunan perisian dan aplikasi berkaitan pembelajaran mesin.

“Setiap cabaran yang dilalui menjadi bukti bahawa usaha konsisten dan disiplin adalah kunci untuk mengekalkan momentum dalam bidang teknikal seperti sains data,” ujarnya.

Kristie turut menzahirkan hasrat untuk kembali bekerja di Great Eastern, Kuala Lumpur, tempat beliau menjalani latihan industri, selain menyambung pengajian peringkat sarjana secara separuh masa dalam bidang Sains Komputer di UMS.

Kejayaan Kristie menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain bahawa usaha gigih, sokongan keluarga, dan keyakinan diri mampu membuka jalan kepada kejayaan luar biasa.

 

(artikel disediakan oleh Norafiqa Samil, Graduan Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)

 

Perjalanan akademik pasangan kembar, Siow Xiu Jing dan Siow Xiu Yun, sekali lagi mencuri perhatian apabila mereka bakal diraikan bersama pada Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-27. Kisah mereka sebelum ini turut menjadi sorotan ketika kedua-duanya bergraduasi serentak pada Konvokesyen ke-24 pada tahun 2022.

Ketika itu, Siow Xiu Jing menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa (Kewangan Antarabangsa) dengan Kepujian, manakala adiknya, Siow Xiu Yun, bergraduasi dalam Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Ekonomi Kewangan) dengan Kepujian.

Selepas menyelesaikan pengajian peringkat sarjana muda, kedua-duanya meneruskan perjalanan akademik pada tahun berikutnya dengan mengikuti pengajian Sarjana secara Penyelidikan.

Sepanjang tempoh tersebut, mereka kekal aktif melalui penglibatan dalam Persatuan Pelajar Pascasiswazah dan Komuniti Pascasiswazah FBEA yang memperkukuh pengalaman serta jaringan akademik mereka.

Pada Konvokesyen ke-27, pasangan adik-beradik ini kembali diraikan apabila Siow Xiu Jing menamatkan pengajian Sarjana Perniagaan (Pemasaran), manakala Siow Xiu Yun menyempurnakan Sarjana Ekonomi (Ekonomi Kewangan). Kejayaan ini menjadi satu lagi penanda pencapaian penting sebelum mereka memasuki fasa baharu dalam dunia akademik.

Mulai September 2025, kedua-duanya telah melangkah lebih jauh dengan mendaftar dalam program Doktor Falsafah (PhD) di UMS. Siow Xiu Jing kini menyambung pengajian di peringkat PhD dalam Pengurusan Perniagaan (Pemasaran), manakala Siow Xiu Yun meneruskan pengajian PhD dalam bidang kepakarannya iaitu Ekonomi Kewangan.

Siow Xiu Jing berkongsi cabaran yang ditempuhi ketika menukar bidang sewaktu melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.

“Memang ada cabaran sebab Ijazah Sarjana Muda saya dari International Finance, tapi Master saya dalam Marketing, jadi saya harus belajar dari peringkat awal.” ujarnya

“Terima kasih kepada ibu bapa yang menyokong saya dari kecil ke pengajian Master, dan kini PhD,” tambah beliau.

Bagi Xiu Yun pula, cabaran terbesar yang dilaluinya sepanjang pengajian sarjana ialah proses penerbitan artikel akademik.

“Saya punya cita-cita menjadi seorang pensyarah. Perancangan saya adalah untuk jadi seorang pensyarah setelah tamat PhD. Saya dan kakak sambung PhD kerana kami suka belajar,” ujarnya.

Kisah kedua-dua pelajar ini menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain, memperlihatkan bahawa ketekunan, sokongan keluarga dan cinta terhadap ilmu mampu membuka jalan ke puncak kejayaan akademik.

 

(artikel disediakan oleh Safaruddin, Pelajar Program Kewartawanan Fakulti Dakwa dan Komunikasi, UIN Alauddin Makassar, Indonesia yang sedang menjalani latihan industri di UMS)

 

Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu terus menjadi duta perpaduan dan jentera yang boleh mengeratkan hubungan antara komuniti dan sentiasa menghormati perbezaan demi kepentingan bersama.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman yang juga merupakan Canselor UMS berkata, hal tersebut sangat penting dalam konteks Negeri Sabah yang terdiri dari pelbagai kaum, budaya, agama dan kepercayaan.

“Sebagai alumni UMS, diharapkan para graduan dapat menyumbang bakti, kepakaran demi kelangsungan pembangunan negeri dan negara amnya.

“Langkah ini menjadi bukti kecintaan kepada Universiti, di samping balasan budi baik dan sokongan serta inisiatif Kerajaan Negeri, yang telah membuka ruang penempatan, perkongsian penyelidikan dan pembangunan modal insan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-27 Tahun 2025 di Dewan Canselor, UMS.

Musa menambah, sejumlah RM6.5 juta telah disumbangkan pada tahun 2024 kepada pihak UMS bagi menyokong projek-projek kajian serta penubuhan kerusi khas daripada Kerajaan Negeri.

“Jumlah sumbangan tersebut akan digunakan bagi memartabatkan kajian kebudayaan dan sains tempatan.

“Ini menunjukkan betapa kerajaan memberi keyakinan kepada keupayaan penyelidikan UMS, terhadap pembangunan mampan serta pengukuhan kualiti bidang pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Majlis konvokesyen juga katanya bukan sekadar majlis penyerahan pelbagai ijazah kepada para graduan semata-mata, tetapi turut membawa makna yang sangat mendalam kepada para graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing.

“Para Graduan seharusnya merasa bangga kerana telah memperoleh ilmu daripada sebuah Menara Gading yang kegemilangannya semakin meningkat.

“Hasil usaha ini mampu membuahkan hasil yang baik dalam memperkukuh penyelidikan yang dapat menyumbang kepada Pembangunan Borneo dan Negara secara keseluruhannya,” ujar beliau.

Seramai 488 graduan UMS telah berjaya memperoleh skrol Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Doktor Kesihatan Awam, Ijazah Sarjana Penyelidikan, Ijazah Sarjana Kerja Kursus, dan Ijazah Sarjana Speciality Programme for Alcohol and Drug Abuse (SPADA) pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UMS Ke-27.

Turut hadir pada majlis konvokesyen tersebut Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Haji Mansor.

 

(artikel disediakan oleh Suzainah Tan Thien Lu, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh komitmennya dalam pemuliharaan sumber marin melalui pelaksanaan program pelepasan sebanyak 4,093 benih ketam bakau di Tasik Sitompok Kuala Penyu, baru-baru ini.

Program tersebut adalah hasil kerjasama strategik antara Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) dan Jabatan Perikanan Negeri Sabah (JPNS).

Program itu juga menjadi antara usaha signifikan UMS dalam menyokong kelestarian biodiversiti pesisir pantai serta memastikan kesinambungan ekosistem marin di Sabah.

Program dirasmikan bersama oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly.

Menurut Rosalam, UMS komited dalam memberi keutamaan kepada usaha konservasi berasaskan data dan bukti saintifik yang kukuh, khususnya dalam memastikan kelestarian sumber perikanan.

“Inisiatif tersebut merupakan manifestasi semangat kolaborasi ‘Triple Helix’ yang melibatkan kerjasama strategik antara pihak akademik, kerajaan, dan komuniti setempat.

“Program ini bukan sekadar aktiviti bermusim, tetapi hasil penyelidikan menyeluruh yang merangkumi teknik pembenihan optimum, penilaian kesihatan ekosistem serta pendekatan pengurusan perikanan mampan.

“Usaha penyelidikan berterusan ini penting bagi menjamin kelangsungan pendapatan masyarakat Kuala Penyu yang bergantung kepada sumber pesisir pantai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah JPNS, Matlan @ Abd. Rahim Thaufeck menyifatkan ketam bakau sebagai ‘jurutera ekosistem’ yang memainkan peranan penting dalam kitaran nutrien dan keseimbangan ekologi kawasan bakau.

“Pelepasan benih ini adalah langkah stock enhancement bagi memulihkan populasi ketam bakau yang semakin berkurangan.

Pembenihan dijalankan secara intensif bermula Ogos 2025 di Hatceri Pusat Pembenihan Ikan Marin Sabah, Tuaran, bagi memastikan kualiti genetik dan kadar kelangsungan yang lebih baik,” tambahnya.

Pelepasan fasa pertama telah dilakukan pada 12 November tahun ini melibatkan 1,527 benih, manakala fasa kedua pada 19 November melibatkan 2,566 benih ketam bakau.

Turut diadakan sesi ceramah pemindahan ilmu kepada komuniti setempat yang disampaikan oleh Pensyarah IPMB UMS, Dr. Thien Fui Yin dan wakil JPNS Mohd Fadzlini Ghani.

Ceramah tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan konservasi serta menggalakkan mereka menjadi Duta Pemuliharaan Ketam Bakau.