Nilai adab dan minda progresif perlu menjadi kunci kepada setiap usaha yang dilaksanakan bagi memacu dan menjayakan agenda kecemerlangan universiti.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, dalam mendepani cabaran tahun baharu 2025 yang mendatang, warga UMS perlu mengangkat satu nilai yang mesti menjadi teras utama, yakni adab.

“Adab bukan sekadar kesopanan, tetapi ia adalah penghormatan kita terhadap ilmu, sesama manusia, dan tanggungjawab kepada masyarakat.

“Selain mengukuhkan nurani dengan adab, kita juga perlu bergerak ke arah growth mindset.

“Adab membentuk asas nilai diri, manakala growth mindset mendorong kita untuk sentiasa berkembang, belajar daripada pengalaman, dan melihat cabaran sebagai peluang untuk maju,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena Tahun Baharu 2025 yang disiarkan di laman rasmi media sosial UMS.

Menurut Kasim, dalam ekosistem universiti, growth mindset bermakna warga universiti tidak takut untuk mencuba perkara baharu, belajar dari kesilapan, dan berkembang melangkaui batasan diri.

“Para ahli akademik perlu mengasah minda mahasiswa dan bukan sahaja menyampaikan fakta tetapi memberi mereka keberanian untuk berfikir, untuk bertanya, dan untuk bercita-cita besar.

“Anda adalah suluh budiman, menyuluh pelajar meneroka laluan peta yang belum dilakar, menunjuk arah, tetapi tidak memaksakan pilihan, dan amanah ini menjadi amal jariah, sumbangan abadi melangkau generasi.

“Mahasiswa memandang anda sebagai teladan, justeru tunjukkan bahawa kekuatan intelektual itu bermula dengan adab, dan kebijaksanaan itu lahir daripada kesabaran,” katanya.

Tambah beliau, pentadbir universiti juga perlu memastikan segala urusan pentadbiran berjalan lancar sekali gus menjadikan semua warga kampus dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Anda adalah penjaga sistem yang memastikan dasar dan prosedur dilaksanakan dengan baik, dan setiap keputusan anda memberi kesan besar kepada perjalanan universiti.

“Sumbangan anda semua adalah nadi yang menghidupkan universiti dan menjadikannya tempat di mana kecemerlangan ilmu dan nilai manusiawi bertemu,” katanya.

Ujar beliau, dalam tahun 2025, UMS akan meneruskan usaha mengukir keunggulan dan memperkasa ekosistem berdasarkan lima lensa ke arah UMS cemerlang.

Kasim mengakhiri perutusan dengan menyeru seluruh warga UMS melangkah ke tahun 2025 dengan semangat kesatuan dan jiwa yang padu untuk mencapai impian bersama.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) terus komited terhadap usaha meningkatkan pendapatan komuniti setempat menerusi penganjuran Kursus Penternakan Akuakultur Pesisiran Pantai Bersama Komuniti Daerah Kudat baru-baru ini.

Menurut kenyataan dari IPMB, program tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) yang dianugerahkan kepada IPMB oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun 2024.

“Kursus sehari anjuran Rakan Akuakultur IPMB dengan kerjasama erat bersama Jabatan Perikanan Sabah telah berjaya menarik seramai 35 orang peserta yang berasal dari daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas.

“Kursus ini antara lain bertujuan untuk mendedahkan komuniti di sekitar daerah Kudat kepada kepentingan dan pelbagai jenis aktiviti akuakultur yang boleh dilaksanakan di kawasan pesisiran pantai.

“Aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang untuk meningkatkan pendapatan komuniti setempat tetapi juga berpotensi menjadi sumber pendapatan utama atau sampingan yang dapat meningkatkan ekonomi sara hidup keluarga,” demikian menurut kenyataan tersebut.

IPMB turut memaklumkan, menerusi kursus tersebut, peserta berpeluang untuk memahami lebih mendalam tentang cabaran yang dihadapi oleh penternak dan nelayan, serta mencari pendekatan yang lebih mampan dan berkesan dalam meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi mereka.

“Program ini turut berperanan dalam menyokong penyelidikan bertajuk “Sosio-Ekonomi: Menilai Impak Pemindahan Teknologi Akuakultur Kepada Komuniti” yang dijalankan oleh IPMB bagi menganalisis impak pemindahan teknologi akuakultur dalam meningkatkan kehidupan masyarakat di pesisiran pantai.

“Program ini diharap dapat memperkasakan kemahiran dan pengetahuan masyarakat setempat dalam bidang akuakultur, serta menyediakan peluang latihan yang relevan dengan keperluan semasa.

“IPMB khususnya, dan UMS secara amnya akan terus komited dalam memperkukuhkan pendidikan dan penyelidikan di negeri Sabah dengan memberikan sokongan yang padu kepada komuniti tempatan, terutamanya dalam usaha-usaha meningkatkan kualiti hidup mereka melalui pendekatan yang lebih inovatif dan mampan,” menurut kenyataan IPMB.

Dalam perkembangan lain, selain kursus tersebut, IPMB telah melaksanakan pelbagai program ke arah usaha memajukan kemahiran dan pengetahuan para peserta khususnya dalam industri akuakultur sepanjang tahun ini, antaranya Basic Aquaculture Management, Characterization and Immunology Profiling of Fish Blood dan Basic Fish Parasite Identification.

“Dengan penekanan terhadap teknologi akuakultur yang lebih efisien, mampan, dan berdaya saing, IPMB komited untuk membantu mengatasi cabaran yang dihadapi dalam industri perikanan dan meningkatkan daya saing produk akuakultur tempatan di pasaran global.

“Melalui pendidikan dan penyelidikan yang terus diperbaharui, IPMB berharap dapat melahirkan lebih banyak inovasi dan inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti dan industri akuakultur secara keseluruhan.

“Ini merupakan langkah penting dalam mencapai pembangunan yang lebih mampan dan berdaya tahan dalam sektor perikanan di Malaysia.

IPMB telah diiktiraf sebagai salah sebuah HiCoE pada tahun 2024 atas pencapaian besar dalam bidang penyelidikan dan pendidikan tinggi negara, yang memberi pengiktirafan kepada usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan dalam bidang akuakultur khususnya berkaitan ikan kerapu hibrid dan ikan mameng.

 

Dua pensyarah daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), iaitu Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohd Sani Sarjadi dan Prof. Madya ChM. Dr. Moh Pak Yan menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam bidang kimia negara apabila dilantik sebagai Felo Institut Kimia Malaysia (IKM).

Penganugerahan pelantikan tersebut disampaikan dalam satu majlis berprestij, Malam Kimia 2024 – 53rd IKM Gala Dinner & Presentation of Awards di salah sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Penganugerahan tersebut disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim yang mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Lantikan sebagai Felo IKM itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar kedua-dua pensyarah tersebut dalam bidang kimia, termasuk penglibatan aktif dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), penerbitan jurnal, pembentangan di persidangan antarabangsa, serta usaha pemindahan ilmu kimia kepada masyarakat.

Menurut salah seorang penerima, Dr. Mohd Sani, ilmu kimia adalah satu cabang penting dalam bidang STEM yang perlu lebih disemarakkan bagi melahirkan cendekiawan berkaliber, sehingga karya inovasi dan reka cipta mereka mampu mencapai pengiktirafan peringkat tertinggi seperti Hadiah Nobel.

“Kesukaran mempelajari ilmu kimia harus dilupuskan dan digantikan dengan konsep ‘Kimia Is Awesome’.

“Pihak industri dan badan berwajib juga perlu memainkan peranan penting dalam mempromosikan ilmu ini serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang berorientasikan kimia,” tambah Dr. Mohd Sani.

Pemilihan kedua-dua pensyarah itu dilakukan secara teliti oleh panel juri yang diketuai oleh Pendaftar Bersama Majlis Eksekutif IKM yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Pihak IKM dalam satu kenyataan turut menekankan bahawa pencapaian tersebut membuktikan perkembangan pesat ilmu kimia di Borneo, sekali gus memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan dan industri dalam memperkasa bidang kimia serta pembangunan modal insan berkualiti.

IKM turut berharap pencapaian tersebut akan memberi inspirasi kepada generasi muda dan komuniti saintifik untuk terus berinovasi serta menyumbang kepada kemajuan negara.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan masyarakat melalui program yang memberi impak langsung kepada komuniti setempat.

Salah satu inisiatif penting tersebut adalah menerusi program pemindahan ilmu kepada komuniti Rumah Amal Kasih Kingfisher di Kota Kinabalu yang memfokuskan kepada anak-anak yatim piatu dan asnaf.

Aktiviti program yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam bidang agrobioteknologi dan teknologi pertanian moden itu diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Wilson Yong Thau Lym, seorang pakar dalam kultur tisu tumbuhan dan bioteknologi tumbuhan.

Menurut Dr. Wilson, objektif utama projek ini adalah untuk membantu komuniti tersebut mengembangkan pengetahuan dan seterusnya meningkatkan sosioekonomi mereka melalui teknologi pertanian moden.

“Aktiviti pemindahan ilmu yang dijalankan melibatkan aspek-aspek seperti formulasi media penanaman, penggunaan baja serta kaedah penanaman fertigasi.

“Program pemindahan ilmu yang melibatkan projek inovasi penanaman tanaman sayur-sayuran telah bermula sejak Mei tahun ini dan dilaksanakan secara berperingkat dengan penyertaan seramai 20 orang kanak-kanak, remaja, dan kakitangan Rumah Amal Kasih Kingfisher.

“Aktiviti yang dijalankan termasuk latihan asas bioteknologi pertanian, pemasangan sistem fertigasi secara gotong-royong dan pemantauan berkala plot tanaman yang telah dibangunkan,” katanya.

Menurut beliau, dalam satu sesi lawatan khas yang diadakan di IPB bersempena program tersebut, para peserta diberi penerangan mendalam mengenai aplikasi agrobioteknologi yang mampan.

“Mereka juga diberi peluang untuk melawat makmal kultur tisu tumbuhan dan fasiliti transgenik di institut ini.

“Selain itu, peserta turut mengikuti latihan teknik penanaman benih tumbuhan yang melibatkan kaedah penjagaan tanaman yang tepat,” katanya.

Tambah beliau, program tersebut telah mendapat sokongan daripada tenaga pakar IPB, termasuk Prof. Madya Dr. Kenneth Francis Rodrigues yang merupakan pakar genetik tanaman dan Pegawai Penyelidik Kanan IPB, Haslan Roslie.

Wilson turut merakamkan penghargaan kepada Rumah Amal Kasih Kingfisher yang diketuai oleh penyelia organisasi, Jamrie Saparih yang telah memastikan program tersebut mencapai matlamatnya dalam membangunkan keupayaan komuniti menerusi kerjasama erat bersama IPB.

Sementara itu, Pengarah IPB, Profesor Dr. Lee Ping Chin menegaskan bahawa program pemindahan ilmu seperti itu adalah bukti komitmen berterusan UMS dalam mendukung agenda pendidikan inklusif dan inovatif, selaras dengan visi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Saya percaya bahawa program seperti ini memberikan manfaat jangka pendek kepada komuniti, tetapi lebih penting lagi ia membuka jalan kepada transformasi sosioekonomi yang mampan dalam jangka masa panjang.

"Dengan menyemai ilmu dan kemahiran, komuniti akan lebih berdaya tahan dan mampu berdikari dalam menghadapi cabaran masa depan," ujar beliau.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Program Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) telah mengadakan Karnival Usahawan Mahasiswa UMS sempena Hari Kanak-kanak Borneo 2024 di FPPS, UMS baru-baru ini.

Menurut pengarah program tersebut, Saturia Amiruddin, penganjuran program tersebut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pembangunan Industri dan Keusahawanan (MIDE) Sabah dan turut berkolaborasi dengan Pusat Pendidikan Fleksibel UMS (UMSFLEC), Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), dan Pusat Minda Lestari (PML).

“Program ini antara lain adalah untuk menyediakan platform kepada siswa-siswi untuk mengembangkan kemahiran keusahawanan, mempamerkan produk dan idea perniagaan, serta berinteraksi dengan usahawan-usahawan yang berjaya dalam industri.

“Program ini bukan sahaja dapat memberi keseronokan dan meraikan kanak-kanak, tetapi dapat memberi pendedahan dan pengalaman baharu berkaitan keusahawanan kepada kanak-kanak.

“Pendedahan seawal usia kanak-kanak ini akan memberikan faedah kepada mereka terutamanya apabila mereka telah meningkat dewasa, selain memberi kesedaran mengenai kepentingan keusahawanan dan amalan terbaik dalam PAKK yang perlu dipupuk dan disebar luaskan kepada siswa-siswi, ibu bapa, guru-guru dan kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Tetap II (Pentadbiran dan Keusahawanan) MIDE, Moira David yang mewakili Menteri MIDE, Datuk Phoong Jin Zhe menyempurnakan penutupan program tersebut berkata, penganjuran program tersebut adalah sangat bertepatan dengan keperluan pada masa kini yang menunjukkan trend peluang pekerjaan yang semakin mencabar.

“Siswa-siswi tidak seharusnya mengharap peluang pekerjaan itu datang sepenuhnya daripada agensi kerajaan, tetapi perlu lebih berani dan kreatif mencari atau membuka peluang pekerjaan melalui keusahawanan.

“Saya difahamkan program ini dapat memberi pendedahan kepada para pelajar dengan lebih mendalam tentang asas pendidikan awal kanak-kanak, cara merancang dan menguruskan aktiviti, serta memupuk minat dalam bidang keusahawanan.

“Ini dapat membantu mereka membina kemahiran kepimpinan dan pengurusan yang berguna untuk kerjaya mereka kelak,” katanya.

Tambah beliau, pihak MIDE sangat menyokong penganjuran program sedemikian kerana dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk belajar secara praktikal, meluaskan inspirasi kerjaya, meningkatkan pemerkasaan diri dalam aspek pengurusan program, keusahawanan mahupun PAKK.

Terdahulu, Dekan FPPS, Prof. Madya Dr. Soon Singh berkata, program tersebut yang menggabungkan elemen keusahawanan dan kanak-kanak dalam satu program merupakan satu perkara yang baharu dan unik.

“Kejayaan program ini menjadi inspirasi kepada siswa-siswi untuk menganjurkan program yang lebih besar dan lebih bermakna lagi pada masa hadapan.

“Ini sekali gus mengukuhkan peranan UMS sebagai institusi pendidikan bukan sahaja membangunkan potensi akademik dan sahsiah pelajar tetapi juga menyumbang kepada pembangunan komuniti secara menyeluruh.

“Semoga inisiatif seperti ini terus berkembang, dan dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat demi memartabatkan kualiti PAKK di rantau ini,” ujar beliau.

Beberapa aktiviti telah diadakan sepanjang karnival tersebut berlangsung, antaranya pameran, bengkel dan ceramah berkaitan amalan terbaik dalam PAKK; gerai jualan; aktiviti interaktif bersama kanak-kanak seperti pertunjukan boneka, role play, shadow play, storytelling, mask play, doll play dan read aloud; Sesi Perbincangan Meja Bulat Mahasiswa PAKK Sabah; bengkel kreativiti; pertandingan mewarna; dan persembahan drama dan teater.

Hadir sama Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FPPS, Dr. Md Safwan Samsir; Ketua Program PAKK FPPS, Dr. Juppri Bacotang; dan Presiden Kelab PAKK FPPS, Siti Nur Hayaati Jasman.