MoU Rundingan Pengeluaran, Pengendalian dan Pengurusan Makanan serta Bahan Gunaan Halal
SSMP telah mengambil pendekatan proaktif dalam menjayakan majlis menandatangani dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). Majlis ini telah berlangsung pada 11 November 2010, bertempat di Galeri UMS, bangunan Canselori.
Majlis tersebut telah disaksikan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Y.B. Datuk Seri Haji Nasir Tun Sakaran. UMS telah diwakili oleh Prof. Madya Dr. Hj. Kasim Hj. Md. Mansor, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), manakala JHEAINS telah diwakili oleh Y.Bhg. Datuk Hj. Amri A. Suratman, Pengarah JHEAINS.
MoU yang ditandatangani antara UMS dengan JHEAINS ini merupakan usaha kedua-dua belah pihak untuk menjalinkan usahasama dalam pembangunan industri halal, memberi pendidikan dan pendedahan kepada tenaga pendidik UMS, pihak JHEAINS serta pengusaha dan pengeluar makanan, industri logistik dan industri perkhidmatan dan perhotelan dalam menceburi pembangunan industri halal di Sabah.
Usaha ini juga merupakan satu pendekatan proaktif kedua-dua belah pihak untuk memajukan dan menghasilkan produk makanan dan bahan gunaan halal yang bermutu tinggi dan berdaya saing dalam menjadikan negeri Sabah sebagai pusat pengeluaran bahan makanan halal di rantau ini.
Kerjasama ini dilihat sebagai satu sumbangan sosial UMS dan JHEAINS kepada masyarakat untuk menyediakan bahan gunaan yang bersih, selamat dan berkualiti.