SSMP MENYERTAI PAMERAN PRODUK HALAL @ MUIS
Pada 15 – 18 Mei yang lalu, SSMP julung-julung kalinya dijemput oleh Urusetia Pameran sempena Majlis Tilawah Al-Quran 2012 Peringkat Negeri Sabah untuk menyertai Pameran Produk Halal bersama-sama 20 buah organisasi awam dan swasta yang lain termasuk usahawan dan industri kecil dan sederhana yang bertempat di Ruang Legar, Aras Bawah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Sabah.
Sebanyak 20 organisasi terlibat ialah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, JAKIM Cawangan Sabah, JHEAINS, SSMP, Kementerian Dalam Negeri, Bank al-Rajhi, Jabatan Arkib Negeri Sabah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah, SIRIM, Bank Muamalat, Lembaga Tabung Haji, Bank Islam, UMS Link, MARDI, MARA, Baitulmal Negeri Sabah, Hab Halal JAKIM Cyberjaya, Rabiatul Enterprise & KPWM Kg. Berundong serta Maahad Tahfiz Negeri Sabah.
Mengikut Urusetia Pameran, iaitu Ustaz Mohd. Fadhli bin Mohd. Yusof dan Ustaz Hamid bin Sabran dari JAKIM Cawangan Sabah, tujuan utama pameran produk halal ini diadakan adalah sebagai sebahagian daripada pengisian aktiviti tilawah Al-Quran di samping mempromosikan organisasi kerajaan dan swasta yang bergiat aktif dalam industri dan perkhidmatan halal serta berlandaskan Syariah. Pada masa yang sama, diharapkan pameran ini boleh digunakan sebagai platform dan media oleh orang awam untuk mendapatkan maklumat berkenaan Program Pembangunan Ekonomi, Program Perusahaan Industri Halal, dan Program Pembangunan Kewangan & Insurans Islam yang sesuai dan relevan sebagai penganut Islam di zaman moden.
Pameran produk halal ini telah berlangsung dari 15 – 18 Mei 2012 bertempat di Ruang Legar, Aras Bawah, Wisma MUIS dari pukul 10.00 pagi hingga 9.00 malam. Tapak pameran SSMP ditetapkan pada ukuran 8x8 m2 dengan 2 buah meja bersaiz 2x5 m2 dan 3 buah kerusi serta 1 soket. ‘Booth’ pameran dan peralatan serta bahan pameran SSMP seperti ‘SSMP Welcome poster’, ‘display cabinet’, ‘poster board’, ‘stand fan’, ‘brochure standrack’ dan lain-lain telah dibawa dan dipasang sehari sebelum pameran berlangsung. Bagi menepati jadual pameran, SSMP telah menetapkan sekurang-kurangnya tiga orang petugas bagi setiap syif yang melibatkan dua syif sehari, iaitu Syif 1 (10.00 pagi – 3.30 petang) dan Syif 2 (3.30 petang – 9.00 malam). Di antara petugas terlibat adalah: Pn. Siti Faridah Mohd. Amin, Cik Jayanti Jamaludin, Cik Arneh Dullah, Cik Juliah Masabi, Cik Irienah Dusin, Dr. Noorakmar Ab. Wahab, Pn. Lucy Kimsui, Cik Sarinah Mohd. Ali Chua, Pn. Salwa @ Shalawati Ibrahim, En. Willie Yen, En. Fritzgerald Andrew, Dr. Muhamad Iqbal Hashmi, En. Masran Muhammad Ali, En. Mohd. Nazri Abdul Rahman, Cik Dayang Khairunisa Ahmad Sapawi, En. Sahirun Salihin, En. Ahmad Riduan Bahaudin, Pn. Zainab Aman, Cik Erna Jefren, En. Wilter Kisin, En. Mohd. Wafi Abu Bakar dan En. Othman Ismail.
Tapak pameran produk halal ini telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Dato Seri Haji Nasir Tun Haji Sakaran, yang diiringi oleh Pengarah JHEAINS, Datuk Haji Amri A. Suratman, dan Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Haji Ahmad Zaki bin Haji Arsyad pada 16 Mei 2012 pada pukul 12.30 tengah hari di Ruang Legar, Aras Bawah, Wisma MUIS sejurus selepas selesai acara perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sabah 2012 di Dewan Saadah, Tingkat 1, Wisma MUIS, Kota Kinabalu.
Di antara produk SSMP yang dipamerkan adalah poster-poster saintifik dan ilmiah yang melibatkan makanan halal dan pembangunan produk makanan, produk-produk makanan hasilan SSMP di samping mempromosikan Kursus Pengendalian Makanan serta Bengkel dan Latihan Halal kepada para pengunjung yang melibatkan Latihan Pemantapan Audit Produk Halal dan Latihan Kesedaran Produk Halal. Tidak ketinggalan, para pegunjung tapak pameran disajikan dengan coklat dan kek cawan yang diformulasikan oleh staf akademik, makmal dan pentadbiran SSMP.
Para pengunjung ke tapak pameran juga disediakan dengan aktiviti kuiz spontan yang melibatkan organisasi yang mengambil bahagian dalam aktiviti pameran tersebut. Pengunjung yang berjaya menjawab dengan tepat dan terpantas diberikan hadiah tertentu mengikut ketetapan organisasi.