UMS Perkasakan Komuniti Kg. Darau Menerusi Program Latihan Pembuatan Roti dan Kuih Tradisional, Selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan telah berjaya menyempurnakan Projek Pendayaan Komuniti@UniMADANI yang memfokuskan kepada kemahiran pembuatan roti dan kuih-muih tradisional tempatan. Program yang menyasarkan penduduk di Kg. Darau, Menggatal ini dijalankan bagi membantu menjana ekonomi komuniti setempat, yang secara langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 1: Menamatkan Kemiskinan dan SDG 8: Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi.

Selaras dengan inisiatif SDG 17: Kerjasama demi Matlamat, projek ini telah mewujudkan jaringan kolaborasi strategik antara universiti, industri, dan komuniti. Penduduk kampung telah diberikan latihan amali secara terus (hands-on) oleh Chef Profesional dari Sabah Flour & Feed Mills Sdn. Bhd. (SFFM) bagi penghasilan roti dan produk bakeri. Selain itu, pakar dari Kumpulan BTC Sdn. Bhd. turut membimbing peserta dalam pembuatan pastri serta memodenkan persembahan kuih-muih warisan tradisional. Pemindahan ilmu kemahiran ini juga merupakan terjemahan kepada aspirasi SDG 4: Pendidikan Berkualiti yang menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

Bagi mempersiapkan peserta sebagai usahawan yang berdaya saing, UMS turut menyelitkan modul asas keusahawanan. Para peserta telah didedahkan dengan strategi pemasaran, teknik penjenamaan, penceritaan produk (storytelling), reka bentuk pembungkusan, serta kesedaran terhadap pematuhan piawaian Kotej Halal.

Dalam pada itu, keselamatan dan kebersihan makanan turut menjadi keutamaan penganjur. Satu inisiatif khas telah diambil dengan membawa agensi bertauliah terus ke Pusat Komuniti Desa Kg. Darau Laut. Langkah ini membolehkan para peserta mengambil Kursus Latihan Pengendali Makanan (SLPM) serta menerima suntikan Tifoid, yang merupakan syarat wajib perundangan untuk berniaga makanan secara sah.

Projek yang diketuai oleh Dr. Yanty Noorzianna Binti Abdul Manaf ini secara keseluruhannya telah berjaya mentransformasikan sikap keusahawanan penduduk Kg. Darau. Berbekalkan kemahiran teknikal yang tinggi, pemahaman perniagaan yang jelas, dan pematuhan aspek keselamatan makanan, majoriti peserta kini dilaporkan telah bersedia dan yakin untuk memulakan jualan produk mereka ke pasaran yang lebih luas.