Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan telah melaksanakan Projek Pendayaan Komuniti@UniMADANI di Kg. Rampayan, Menggatal. Projek selama enam bulan ini memfokuskan kepada latihan teknikal pembuatan roti dan kuih-muih tradisional bagi membantu menjana pendapatan komuniti setempat. Inisiatif ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 1 (Menamatkan Kemiskinan) dan SDG 8 (Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi).
Bagi mencapai SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat), projek yang diketuai oleh Profesor Ts. Dr. Hasmadi Mamat ini mewujudkan kolaborasi strategik antara universiti, industri, dan komuniti. Peserta menerima latihan amali secara terus daripada pakar akademik UMS serta Chef Profesional daripada Sabah Flour & Feed Mills Sdn. Bhd. (SFFM) dan Kumpulan BTC Berhad. Pemindahan ilmu kemahiran teknikal ini turut menyokong matlamat SDG 4 (Pendidikan Berkualiti).
Menerusi latihan tersebut, peserta wanita di kampung berkenaan telah dilatih tentang teknik pembuatan pelbagai jenis produk bakeri, kuih-muih tradisional, dan pastri. Selain modul masakan, para peserta turut didedahkan dengan pengetahuan mengenai Amalan Pengilangan Baik (GMP), kawalan jangka hayat produk, pembungkusan komersial, serta teknik persembahan dan pelabelan harga. Para peserta juga memperoleh Sijil Latihan Pengendali Makanan (SLPM) dan menerima suntikan tifoid.
Selain itu, peserta turut dibimbing dengan modul asas keusahawanan seperti pengiraan kos pengeluaran dan penetapan harga, bagi memastikan kelestarian perniagaan mereka pada masa akan datang.
Hasil daripada program ini, tahap kemahiran teknikal dan semangat keusahawanan peserta dilaporkan meningkat dengan mendadak, di mana sebahagian besarnya sudah mula atau merancang untuk menjual produk makanan yang dihasilkan, dengan hasrat menjana pendapatan sampingan buat keluarga. Penganjuran projek yang dinilai cemerlang ini juga diperakukan layak untuk menerima Penarafan 3 Bintang Jaringan Masyarakat MyRA.