HG09 Perkhidmatan Makanan
Program ini membolehkan pelajar memperoleh pengetahuan yang diperlukan dalam bidang sains makanan dan perkhidmatan makanan. Pelajar berpeluang mempelajari pengetahuan asas sains makanan seperti pengawetan makanan, pemprosesan makanan, kawalan mutu dan keselamatan makanan, perundangan dan piawaian makanan serta fungsi zat makanan. Di samping itu, pelajar akan turut memperoleh pengetahuan teori dan kemahiran praktikal dalam bidang perkhidmatan makanan seperti sistem operasi perkhidmatan makanan, keusahawanan dan perakaunan perkhidmatan makanan, asas masakan, penyediaan makanan secara komersil, pembangunan menu, serta susunatur, rekabentuk dan peralatan perkhidmatan makanan. Pelajar dikehendaki mengikuti latihan industri dalam pelbagai industri makanan di organisasi awam dan swasta seperti dalam unit sajian di institusi kesihatan, unit keselamatan dan kualiti makanan di hotel, institusi penyelidikan atau agensi kerajaan lain. Lulusan dari program ini berpeluang untuk bekerja di industri makanan terutamanya di institusi kesihatan, perhotelan, dan industri katering serta institut pendidikan dan penyelidikan.
HY07 Teknologi Makanan dan Bioproses
Program ini telah ditawarkan sejak 1997 bagi melahirkan graduan yang dapat memenuhi keperluan tenaga mahir negara dalam bidang Sains Makanan dan Pemakanan samada dalam sektor awam, swasta maupun bekerja sendiri. Program ini memberikan pendedahan dari aspek aplikasi teknologi di dalam penghasilan, penyimpanan dan pembungkusan, bioteknologi, mikrobiologi serta aspek-aspek yang berkaitan dengan pemprosesan makanan. Program ini juga memerlukan pelajar menjalani latihan industri agar mereka lebih memahami dan mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari serta membiasakan diri dengan budaya kerja. Program ini dibentuk agar pelajar memperolehi pengetahuan di dalam bidang teknologi makanan serta biopemprosesan makanan. Lulusan dari program ini berpeluang untuk bekerja di industri berasaskan makanan, sama ada di sektor swasta, kerajaan atau separa kerajaan, pendidikan serta penyelidikan.
HS04 Sains Makanan dan Pemakanan
Program ini telah ditawarkan sejak 1997 dan ianya direkabentuk untuk melahirkan graduan yang dapat memenuhi keperluan tenaga mahir negara dalam bidang Sains Makanan dan Pemakanan samada dalam sektor awam, swasta maupun bekerja sendiri. Pelajar program ini akan mempelajari aspek fizikal, mikrobiologi dan kimia makanan dengan penekanan kepada sains makanan (toksikologi makanan, makanan berfungsi, inovasi makanan, enzim dalam pemprosesan makanan, ingredien makanan) dan kandungan nutrien makanan, fungsi nutrisi makanan dan kesannya kepada kesihatan. Pelajar-pelajar dikehendaki mengikuti latihan industri di luar universiti untuk mendapatkan pengalaman bekerja dan peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan teori dan kemahiran praktikal.