ISNIN, 17 APRIL - Sekretariat Gerakan Pengguna Siswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mengadakan Kembara Komuniti Pengguna di Kampung Logpond, Weston.
Dianjurkan dengan kerjasama Gerakan Pengguna Siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), program itu telah dijayakan bersama masyarakat di sekitar kampung berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh sekretariat, program selama tiga hari itu diisi dengan pelbagai aktiviti, antaranya ialah gotong-royong membersihkan kawasan masjid, sukaneka bersama penduduk kampung seperti perlawanan persahabatan futsal dan bola tampar, selain acara malam kebudayaan.
Sesi ceramah berkaitan hak dan tanggungjawab pengguna juga turut diadakan dan disampaikan oleh wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Cawangan Beaufort.
Terdahulu semasa ucapan alu-aluan, wakil Ketua Kampung Longpod, Abdul Aziz Haji Ladzim merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan sangat mengalu-alukan kehadiran para pelajar UMS dan UTM.
“Kami sebenarnya tidak menyangka bahawa kampung ini telah menjadi pilihan pelajar UMS untuk melaksanakan aktiviti komuniti memandangkan kampung ini terletak jauh dari bandar dan merupakan kampung terakhir di kawasan ini.
”Untuk pengetahuan semua pelajar, kampung ini juga sebenarnya merupakan kawasan pelancongan yang semakin popular. Hampir setiap hari kita melihat kehadiran pelancong. Saya mengharapkan anda juga gembira menikmati suasana dan pemandangan menarik di sini,” jelas beliau.
Program kemasyarakatan itu diadakan bagi memberi pengetahuan kepada penduduk kampung tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai seorang pengguna yang bijak.
Di samping itu, ia juga sebagai pendedahan kepada para pelajar mengenai teknik komunikasi berkesan melalui penglibatan aktiviti dan penyampaian sesuatu maklumat bermanfaat kepada masyarakat.
Sumber: Mardena Jiwan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar



KHAMIS, 13 APRIL - Seramai 50 warga Kolej Kediaman Sri Angkasa, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan pendakian tanpa sampah (Hiking, Zero Waste) di Bukit Botak, Sepanggar baru-baru ini.
KHAMIS, 13 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Institut Teknologi, Kolej Fukushima, Jepun menandatangani satu Surat Niat (LoI) baru-baru ini bagi mengukuhkan lagi kerjasama, koordinasi dan perkongsian maklumat di dalam bidang kelestarian.
KHAMIS, 13 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima 200 basikal elektrik daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) di bawah program Sikal Elektrik Rakyat 1 Malaysia (SER1M).
KHAMIS, 13 APRIL – Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah bekerjasama dengan Fakulti Tari, Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) berjaya menarik 527 peserta melalui penganjuran Bengkel ‘Building Bridges…National Dance Tour’ bertempat di Dewan Auditorium Pascasiswazah dan Studio Tari Normadiah di FKSW baru-baru ini.