ISNIN, 29 OGOS – Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah sekali lagi mencatat sejarah dalam bidang penyelidikan hasil kejayaan saintis UMS dalam menghasilkan bibit ketam daripada spesies ketam bakau (Scylla Tranquebarica).

Pengarah IPMB, Prof. Dr. Rossita Shapawi berkata, kejayaan menghasilkan bibit ketam itu satu pencapaian yang sangat signifikan dalam industri akuakultur dan sumber perikanan kerana usaha ini memungkinkan penghasilan bibit ketam untuk penternakan secara komersil.

“Tidak seperti ikan yang sebahagian bekalan diperoleh daripada akuakultur, bekalan ketam bergantung sepenuhnya daripada habitat liar yang ditangkap dari kawasan semula jadi.

“Justeru,penemuan ini adalah signifikan dalam perkembangan industri akuakultur di negeri ini, kerana berbeza dengan Semenanjung Malaysia, spesis S.tranquebarica merupakan spesis dominan di Sabah dan selalu ditemui dijual di pasar-pasar dan restoran makanan laut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media pengumuman kejayaan tersebut di Hatcheri Udang, IPMB UMS baru-baru ini.

Beliau menambah, usaha pembiakan dalam sangkar bagi spesies ketam bakau telah bermula sejak 2012 dan di peringkat awal, beberapa masalah dihadapi termasuk jangkitan penyakit yang mengakibatkan kematian sejumlah besar ketam induk.

“Dengan adanya penyelidikan yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik IPMB, kita telah mengenal pasti punca jangkitan penyakit itu dan mewujudkan langkah pencegahan bagi memperbaiki atau meningkatkan pengurusan induk dan larva.

“Sejak itu, pihak kami berjaya mempertingkatkan mutu kematangan ketam induk dalam sangkar melalui pelbagai usaha seperti penambah baikan nutrisi induk, simulasi aktiviti pasang surut serta mewujudkan habitat yang meniru habitat asal di kawasan bakau,” katanya.

Ujarnya lagi, pihaknya akan meneruskan pelbagai kajian termasuk membuat kolaborasi bersama Tokyo University of Marine Science and Technology dalam bidang penghasilan larva ketam bakau bagi memperoleh dapatan yang lebih baik dan seterusnya menyumbang kepada industri akuakultur dan sumber perikanan.

KHAMIS, 25 OGOS - Seminar Kelestarian 2016 dianjurkan dengan jayanya baru-baru ini oleh gabungan kerjasama Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS); Universiti Tokushima, Jepun dan Jurnal Pembangunan Wilayah BIMP-EAGA.

Pengerusi seminar Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul berkata,  seminar yang diadakan buat kali kedua itu bertujuan untuk memberi platform kepada wacana akademik terhadap isu-isu kemampanan, yang merupakan satu isu kebimbangan global.

“Seminar tahun ini menampilkan kertas kerja ahli-ahli akademik dari kedua-dua universiti di Malaysia dan Jepun. Kertas kerja yang dipilih mendedahkan isu dalam bidang kemampanan yang dikaitkan dengan spektrum isu-isu seperti kemiskinan, reka bentuk sosial, pengkomersialan, penglibatan masyarakat dan mata pencarian,” katanya ketika dihubungi media.

Beliau berkata, seminar itu juga cuba menghubungkan idea dan hasil penyelidikan antara bidang sains dan kemanusiaan terutama dalam aplikasinya terhadap masyarakat.

“Kertas-kertas kerja daripada seminar ini akan diterbitkan dalam Jurnal Pembangunan Wilayah BIMP-EAGA,” tambah Dr. Hassanal.

Pada seminar itu, para peserta juga turut dibawa membuat lawatan teknikal ke Akuarium dan Muzium Marin dan Galeri Borneensis di UMS.

Majlis penutupan dan penyampaian sijil kepada para peserta disempurnakan oleh Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, UMS Prof. Madya Dr. Justin Sentian.

Untuk rekod, Seminar Kelestarian 2016 sebelum ini telah diadakan di Universiti Tokushima pada 1 Oktober 2015.

 

RABU, 24 OGOS - Kehangatan sambutan Bulan Kemerdekaan terus mewarnai  masyarakat pelbagai  lapisan di seluruh negara.

Di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sambutan disemarakkan dengan pemasangan dan pengibaran Jalur Gemilang dan bendera Sabah di sekitar kampus.

Hasil tinjauan  media  mendapati bendera kemegahan negara dan kebanggaan negeri Sabah itu telah dipasang pada pagar-pagar kampus sejak awal bulan Ogos lagi.

Kibaran bendera turut dilihat pada tiang-tiang lampu sekitar jalan-jalan utama dalam universiti merangkumi  Jalan Perdana Puncak Ilmu, Jalan Samudera  dan Jalan Canselori.

Pemberian bendera secara percuma yang diinisiatifkan Jabatan Canselori turut menyaksikan warga kampus turut sama-sama mengibarkan bendera kebanggaan di kenderaan masing-masing sebagai tanda semangat patriotisme terhadap keamanan dan kemakmuran negara.

 

SELASA, 23 OGOS- Orang ramai dipelawa untuk menyertai Program Piawaian Pelaporan Entiti Persendirian Malaysia (MPERS) anjuran Jabatan Bendahari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 22-23 September 2016.

Dengan tajuk “MPERS: Adakah Anda Sudah Bersedia untuk Diaudit”, program itu bertujuan untuk menyediakan pendekatan yang komprehensif dan praktikal kepada kakitangan untuk mengimplementasikan MPERS sebagai garis panduan untuk menyediakan penyataan laporan kewangan mengikut piawaian yang ditetapkan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bendahari, penceramah-penceramah jemputan adalah dari syarikat audit professional bertaraf dunia iaitu  Rakan Audit KPMG, Thong Foo Vung dan Pengurus Kanan KPMG, Oh Sye Yi.

Menurut kenyataan itu lagi, potongan sebanyak 10% akan diberikan kepada tempahan secara berkumpulan.

Tarikh tutup pendaftaran telah dilanjutkan sehingga 31 Ogos 2016.

Untuk keterangan lanjut, boleh menghubungi Suzie Mohamad di talian 013-8528812, Hayati Salleh Baihaki (014-6502837) atau Sukma Setiani Sujano (016-8220218). - FL

SELASA, 23 OGOS - Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda Universiti Malaysia Sabah (UMS 4WDVC) telah berjaya melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi Program Eksplorasi Komuniti ke Kg. Magandai, Kota Marudu baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama 3 hari itu bertujuan untuk membantu masyarakat di kawasan pedalaman dalam membangunkan amalan ekologi lestari, dikendalikan di bawah kepimpinan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof, merangkap Presiden UMS 4WDVC.

Menurut Prof. Shahril, UMS 4WDVC kerap kali terlibat dalam misi CSR yang melibatkan penggunaan kenderaan pacuan 4 roda dan untuk kali ini Kg. Magandai dipilih memandangkan laluan untuk sampai ke kampung tersebut sangat sukar dan mencabar.

“Sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan UMS seramai 27 orang melakukan aktiviti penanaman pokok durian di kawasan sekolah sebagai usaha CSR mereka.

“Pelajar sekolah turut diajar tentang betapa penting menanam pokok buah-buahan dan bertanggungjawab untuk menjaga pokok-pokok yang ditanam,” katanya.

Prof. Shahril juga berkata, selain daripada aktiviti menanam pokok, sukarelawan juga turut melakukan aktiviti jungle trekking ke Kg. Minisulang yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Kg. Magandai untuk menghayati dan mengalami sendiri pengalaman penduduk kampung yang terpaksa menggunakan trek hutan sebagai laluan rutin.

Pada sebelah malamnya pula, satu program bicara motivasi bersama pelajar SK Magandai telah disampaikan oleh Dr. Abd. Hakim Mohad, pensyarah kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS yang menekankan kepentingan untuk berjaya dan usaha berterusan demi mencapai tingkat pendidikan tinggi hingga ke universiti.

Kumpulan UMS 4WDC juga turut menyalurkan bantuan beras kepada golongan tua di Kg. Magandai sebelum kembali semula ke Kota Kinabalu.