Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai usaha pemerkasaan pendidikan tahfiz negara menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sempena Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara baru-baru ini.

UMS diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam pemeteraian MoU tersebut yang melibatkan Program Pensijilan Tahfiz al-Quran JAKIM–UMS yang akan dilaksanakan oleh Fakulti Pengajian Islam UMS dengan kerjasama Pusat Islam UMS.

Kerjasama tersebut membuka laluan pendidikan dan pensijilan huffaz secara lebih sistematik serta selari dengan keperluan semasa pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan negara.

Secara keseluruhan, sebanyak 10 dokumen MoU dimeterai pada majlis tersebut yang melibatkan JAKIM bersama jabatan agama Islam negeri, institusi pengajian tinggi dan institut kemahiran menerusi tiga inisiatif utama iaitu Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat, Program Pensijilan Tahfiz al-Quran serta Sijil Perakuan Hafazan Bertahap.

Inisiatif berkenaan memberi peluang lebih luas kepada pelajar tahfiz untuk melanjutkan pengajian bukan sahaja dalam bidang pengajian Islam, malah merentasi bidang profesional dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pada majlis itu turut berlangsung perasmian Standard Pengiktirafan Huffaz yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Diraja Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata pelaksanaan Standard Pengiktirafan Huffaz yang bermula pada 2026 akan menjadi penanda aras penting bagi memastikan kualiti institusi tahfiz.

“Ini merangkumi aspek tadbir urus, kurikulum, prasarana, kebajikan pelajar serta pembangunan profesional guru.

“Negara memerlukan huffaz yang bukan sahaja unggul dalam hafazan al-Quran, malah mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengumumkan pemberian insentif RM50,000 kepada 10 institusi tahfiz terbaik berdasarkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM), melibatkan jumlah keseluruhan RM500,000 sebagai galakan kecemerlangan institusi tahfiz negara.

 

Majlis turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir serta Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.

 

Bertemakan “Warisan Qurani, Membina Generasi Rabbani”, Himpunan Huffaz 2025 menjadi platform penting memperkukuh Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) ke arah melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing selari aspirasi Malaysia MADANI.

 

Majlis berprestij itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pendidikan tahfiz sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan nasional yang tersusun, berstandard dan berkualiti.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat e-Pembelajaran (PEP) menganjurkan Majlis Anugerah e-Pembelajaran (MAeP) 2025 bagi mengiktiraf kecemerlangan 67 warga universiti dalam bidang Technology-Enabled Learning (TEL).

Majlis tersebut diadakan sebagai bentuk penghargaan terhadap sumbangan warga akademik UMS dalam memperkasa pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi, sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan digital universiti.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata pemilihan UMS sebagai wakil tunggal Malaysia bagi kajian kes global berkaitan pembelajaran berasaskan teknologi merupakan sebuah pencapaian besar dan bersejarah.

“Platform OASIS milik UMS mencatatkan impak akademik yang signifikan dengan merekodkan i10-index sebanyak 410 di Google Scholar,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Rossita Shapawi.

Tambah Kasim, inisiatif iOER yang dicetuskan UMS kini secara rasmi dimasukkan ke dalam Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035, manakala platform OpenBook UMS telah digunakan sebagai rujukan oleh 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.

Sebanyak 10 kategori anugerah dan sijil pengiktirafan disampaikan merangkumi Pengiktirafan Kandungan MOOC, Penerbitan Open E-textbook, Penerbitan Ilmiah Digital dan Antarabangsa, Penggunaan Teknologi Pendidikan Terbaik serta Inovasi e-Pembelajaran.

Sementara itu, menurut Rossita 67 penerima anugerah berkenaan merupakan ejen perubahan penting dalam memastikan graduan UMS kekal berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa industri.

“Pencapaian tersebut membuktikan transformasi akademik UMS berada pada landasan kukuh dan selari dengan perkembangan pendidikan global.

“UMS akan terus memperkukuh penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan analitik pembelajaran bagi memastikan universiti ini kekal menerajui inovasi pendidikan di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

 

Program Exploring Toxicology 3.0 menjadi satu inisiatif dalam memperkenalkan pendekatan ‘Satu Kesihatan’ kepada murid sekolah rendah di daerah Tuaran menerusi pendedahan awal mengenai konsep toksikologi dan hubung kaitnya dengan kesihatan manusia, haiwan serta alam sekitar.

Program anjuran One Health Student Club (OSHC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berlangsung di Shangri-La Rasa Ria Kota Kinabalu baru-baru ini dan melibatkan murid-murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pahu dan SK Rangalau.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, Mohd. Hanim Mohd. Goss dalam ucapannya ketika menyempurnakan penutupan program tersebut berkata, penganjuran program seumpama itu diharap dapat meningkatkan kesedaran murid sekolah tentang kepentingan memahami bahan toksik dan kesannya terhadap kesihatan manusia serta alam sekitar

“Program ini bukan sekadar program STEM biasa, malah berperanan sebagai platform penting dalam memperkenalkan dunia toksikologi, keselamatan bahan di sekeliling kita serta pendekatan Satu Kesihatan kepada generasi muda.” katanya

“Pendekatan Satu Kesihatan yang melihat hubungan rapat antara kesihatan manusia, kesihatan haiwan dan kelestarian alam sekitar amat relevan dengan cabaran dunia hari ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Malaysia Society of Toxicology (MySOT), Dr. Rozaini Abdullah berkata penganjuran Exploring Toxicology 3.0 merupakan satu langkah signifikan ke arah penyediaan pendidikan berkualiti kepada pelajar selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“Tahun ini merupakan kali ketiga program ini dianjurkan di Sabah, dan kami berbangga melihat minat pelajar dan guru yang semakin meningkat terhadap bidang ini.

“Bagi edisi kali ini, pertandingan inovasi berasaskan konsep toksikologi turut diperkenalkan bagi menggalakkan kreativiti serta meningkatkan pemahaman pelajar tentang kesan bahan kimia terhadap kesihatan dan alam sekitar,” tambah beliau.

Dalam pada itu, salah seorang pelajar SK Rangalau, Alexius Gunsalam menyatakan perasaan gembiranya kerana mendapat manfaat daripada program tersebut.

“Saya sangat gembira kerana dapat belajar bersama dengan rakan-rakan tentang toksikologi, cara melindungi diri daripada bahan kimia dan cara membezakan bahan toksik,” katanya.

Bertemakan ‘Exploring Toxicology 3.0: Navigating Health and Environment’, program tersebut merupakan hasil usaha sama antara MySOT, Shangri-La Rasa Ria Kota Kinabalu, Pusat U-Science UMS serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah.

Turut hadir pada program tersebut Timbalan Presiden MySOT, Profesor Madya Ts. Dr. Razinah Sharif; Pengurus Besar Shangri-La Rasa Ria Kota Kinabalu, Fiona Hagan; Pengarah U-Science UMS, Zawawi Tiyunin; Penasihat OSHC, Profesor Madya Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad, serta Guru Besar SK Rangalau dan SK Pahu, masing-masing Salmah Haji Jamman dan Bahrain Abd Talil.

 

Pesta Krismas Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang memasuki edisi ke-11 penganjurannya menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat saling menghormati dalam kalangan warga kampus yang berbilang latar belakang.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, menerusi penganjuran pesta tersebut setiap tahun memberi peluang kepada warga universiti khususnya untuk bertemu, berinteraksi, dan membina hubungan yang lebih erat.

“Melalui aktiviti yang dianjurkan, jelas bahawa setiap individu memainkan peranan penting untuk memastikan program ini berjalan lancar dan memberi kesan yang positif kepada semua yang hadir.

“Rasa saling menghormati dan bekerjasama inilah yang menjadi asas kepada suasana kampus yang harmoni dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Pesta Krismas UMS Edisi Ke-11 di Dewan Kuliah Pusat 1, UMS baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng.

Menurutnya lagi, Pesta Krismas tidak hanya diraikan sebagai sebuah perayaan, tetapi juga memupuk semangat saling menghormati, bertoleransi, dan bekerjasama diantara satu sama lain.

“Walaupun kita datang dari latar belakang yang berbeza, kita dapat berkumpul dengan penuh kegembiraan dan keharmonian.

“Pengalaman ini mengingatkan kita bahawa suatu komuniti yang bersatu dapat mencapai banyak perkara positif, dan nilai ini dapat diteruskan dalam setiap interaksi harian kita.

“Saya berharap agar semua yang hadir dapat menikmati sambutan ini dengan sepenuhnya, serta membawa semangat positif dari acara ini ke dalam kehidupan seharian,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau ketika berucap merasmikan pesta tersebut berkata, penganjuran pesta yang dijayakan dalam kalangan pelajar UMS yang berbilang kaum jelas mencerminkan semangat kekeluargaan dan saling menghormati yang merupakan kekuatan rakyat Sabah.

“Dunia hari ini memerlukan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari aspek intelek, tetapi juga kaya dengan nilai rohani dan kemanusiaan.

“Justeru, sambutan sebegini mengajak kita untuk merenung dengan mendalam tentang bagaimana kita harus sentiasa mengekalkan dan memperbaiki keharmonian kaum, khususnya dalam konteks tatakelola kerajaan.

“Masyarakat seharusnya sentiasa membawa kegembiraan, meningkatkan kesefahaman serta saling hormat menghormati antara satu sama lain,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Pusat, UNITAR Kota Kinabalu, Vanessa George; Pengerusi Pelaksana Pesta Krismas UMS, Prof. Madya Dr. Janice Nga Lay Hui; dan pengarah program, Chlorellina Anselm.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus giat dalam usahanya memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan pelajar sekolah menengah di kawasan pedalaman Sabah.

Terbaru, Program BIOSPARK 2.0 2025: Fueling Curiosity, Powering Discovery anjuran Kelab Bioteknologi Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UMS dengan kerjasama U-Science UMS yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Timbua, Ranau baru-baru ini mencerminkan komitmen berterusan UMS terhadap usaha tersebut.

Penyelaras Aktiviti Pelajar Program Bioteknologi, Prof. Madya Dr. Mohd Khalizan Sabullah, berkata program ini dirangka sebagai satu platform pembelajaran bersepadu yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada pelajar sekolah menengah.

“Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar sekolah untuk mengenali bidang bioteknologi dengan lebih dekat, malah memberi peluang kepada pelajar universiti untuk menyumbang kepada pendidikan komuniti.

“Ini sekali gus mampu memperkukuh kemahiran komunikasi, kepimpinan dan penyampaian ilmu secara berkesan dalam kalangan pelajar UMS,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Program BIOSPARK 2.0, Nur Allya Mohd Jack memaklumkan program kali ini melibatkan penyertaan pelajar Tingkatan 3 SMK Timbua dan disokong oleh seramai 34 orang fasilitator daripada Program Bioteknologi UMS.

“Para fasilitator memainkan peranan penting dalam menjayakan pelbagai aktiviti berkonsepkan pembelajaran interaktif.

“Antara aktiviti tersebut adalah senamrobik, Ceramah 3S: STEM Speaker Series, pertandingan BioTECH Olympiad, latihan berkumpulan serta pameran sains yang disampaikan secara santai dan mudah difahami,” katanya.

Pihak sekolah juga katanya menyambut baik kerjasama yang dijalinkan kerana program yang dijalankan memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan aktiviti dan demonstrasi sains yang menyeronokkan, sekali gus meningkatkan minat serta kefahaman mereka terhadap bidang STEM.

Program tersebut diakhiri dengan majlis penutupan yang disempurnakan oleh Ketua Bidang Sains dan Matematik SMK Timbua, Juraidi Ribin, sebelum diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan.

Kerjasama strategik antara UMS, U-Science UMS dan SMK Timbua diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh pembangunan pendidikan STEM di peringkat sekolah.