Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) menandatangani Surat Niat (LoI) baru-baru ini bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan akademik, latihan profesional dan penyelidikan dalam bidang ukur, kejuruteraan serta alam bina.

LoI tersebut ditandatangani bersama oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dan Presiden RISM, Sr Wan Ainon Zuraiha Wan Abd Khalid semasa 9th Sabah International Surveyors Congress (9SISC) anjuran RISM Cawangan Sabah bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah UMS Datuk Aliasgar Basri, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Sr Lifred Wong, Pengerusi RISM Cawangan Sabah Sr Ts. Allen Leslie Chin, Timbalan Pengerusi RISM Cawangan Sabah merangkap Pengerusi Penganjur 9SISC Sr Melissa Felix Lee, Mantan Pengerusi RISM Cawangan Sabah Sr Robert Tseu, Dekan Fakulti Kejuruteraan UMS Prof Madya Ir. Dr. Abu Zahrim Yaser, serta Penyelaras Program Alam Bina UMS Prof. Ar. Nurakmal Goh.

Bercakap dalam ucapan, Kasim dan Allen masing-masing menzahirkan penghargaan atas inisiatif penting yang mengukuhkan hubungan antara UMS dan RISM, sebagai satu kerjasama yang mempereratkan hubungan antara akademia dan profesionalisme, selaras dengan visi melahirkan graduan UMS yang profesional dan kompeten bagi memenuhi keperluan pasaran semasa.

“Kerjasama ini mencerminkan aspirasi bersama untuk menyokong perkembangan Sabah dan negara melalui pendidikan, inovasi dan penglibatan industri,” kata Kasim.

Beliau berkata, kerjasama itu merangkumi penganjuran seminar bersama, bengkel, syarahan jemputan, pembangunan kurikulum yang relevan dengan industri, latihan industri, program penempatan staf dan pelajar, serta lawatan teknikal ke syarikat-syarikat ahli RISM, yang akan memberi pendedahan sebenar kepada pelajar UMS mengenai amalan profesional.

Menurutnya lagi, LoI itu turut menggalakkan penyelidikan dan penerbitan bersama dalam bidang seperti pengurusan pembinaan, reka bentuk lestari dan Building Information Modelling (BIM), termasuk program pembangunan kapasiti, inisiatif libat sama komuniti dan aktiviti berteraskan kelestarian, yang mencerminkan tanggungjawab bersama untuk memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

Kasim turut menekankan bahawa kerjasama ini merangkumi perancangan aktiviti Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) untuk ahli RISM dan ahli akademik UMS, serta program mikro-kredensial yang bertujuan memperkukuh pembelajaran sepanjang hayat dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Beliau juga mengumumkan bahawa UMS akan memperkenalkan dua program ijazah baharu di bawah kluster Alam Bina, iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina dengan Kepujian pada Mac 2026 dan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan dengan Kepujian pada September 2026.

Katanya, pemeteraian LoI itu melambangkan kepercayaan, kolaborasi dan matlamat bersama, sambil menegaskan komitmen UMS dan RISM untuk membentuk generasi profesional baharu yang akan memacu pembangunan Sabah.

“Dengan kepakaran profesional RISM dan kekuatan akademik UMS, saya yakin Sabah boleh memposisikan dirinya sebagai hab kecemerlangan profesional dan pembangunan lestari, ‘Brain of Borneo’ yang sebenar,” jelas Kasim lagi.

Sementara itu, Allen pula menegaskan bahawa RISM komited menyokong UMS dalam meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan kualiti pelajar dari aspek pembangunan profesional, dan berharap kerjasama ini akan berterusan untuk bertahun-tahun mendatang demi manfaat generasi pelajar masa depan.

“Ini merupakan permulaan yang baik dengan penglibatan pensyarah UMS sebagai ahli jawatankuasa penganjur kongres pada tahun ini,” katanya.

Kasim dan Allen turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran kongres dan berharap kerjasama antara akademia dan industri akan terus berjaya pada masa hadapan.

 

Pemimpin pendidikan di negara ini perlu memastikan agenda pendigitalan tidak mengabaikan nilai kemanusiaan, etika dan kesejahteraan sosial yang menjadi asas pendidikan sejati, kata Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Kasim Hj Mansor.

Berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam Malaysia (MEDC) 2025, beliau berkata transformasi pendidikan pada era digital bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, tetapi harus memberi penekanan kepada pemerkasaan insan dan pembentukan nilai.

"Transformasi digital bukan sahaja tentang pengenalan teknologi baharu, tetapi lebih penting lagi tentang pemerkasaan insan, pembentukan nilai dan peningkatan kualiti pengalaman pembelajaran bagi setiap pelajar,” katanya.

Menurut Kasim lagi, transformasi pendidikan digital hanya akan berjaya sekiranya inovasi teknologi diinstitusikan selaras dengan prinsip inklusiviti agar tiada pelajar yang tercicir sepanjang proses tersebut.

"Kita perlu memastikan inovasi teknologi selaras dengan prinsip inklusiviti agar tiada pelajar yang ketinggalan, dan kesejahteraan mereka sentiasa dijaga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu kerjasama antara UMS, MEDC dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam penganjuran seminar tersebut membuktikan adanya visi bersama yang merentasi sempadan institusi demi kemajuan pendidikan negara.

"Kerjasama yang ditunjukkan ini mencerminkan visi bersama yang jelas, iaitu satu gagasan yang merentasi sempadan institusi demi kemajuan pendidikan negara,” katanya.

Kasim turut menyatakan penghargaan kepada Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan UMS atas kejayaan menjadi tuan rumah kepada seminar berprestij tersebut.

"Kejayaan ini mencerminkan komitmen terhadap kecemerlangan penyelidikan, inovasi pendidikan, penglibatan komuniti dan pembangunan profesionalisme tenaga pengajar.

"Saya menyeru agar semua peserta dapat memanfaatkan ruang yang berharga ini untuk berkolaborasi, bertukar idea, berkongsi amalan terbaik dan mencetus inisiatif baharu yang mampu memperkasa sistem pendidikan negara,” katanya.

Seminar kebangsaan berkenaan berlangsung selama dua hari dan menghimpunkan Dekan- dekan Pendidikan Universiti Awam Malaysia,  para penceramah, dan ahli akademik bagi membincangkan tema "Transformasi Pendidikan Era Digital: Inovasi, Inklusiviti dan Kesejahteraan.”

Turut hadir sebagai pengucaptama Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak, mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang juga seorang tokoh pendidikan Malaysia.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melancarkan Dapur Siswa UMS baru-baru ini sebagai inisiatif kebajikan terbaharu yang menyediakan ruang selamat dan kondusif bagi pelajar memasak, mengurus perbelanjaan serta memastikan akses kepada makanan seimbang.

Perasmian Dapur Siswa yang turut bersempena dengan ulang tahun ke-31 UMS telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor di Dewan Serbaguna, Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM).

Dalam ucapan perasmiannya, Kasim menegaskan bahawa kesejahteraan pelajar merupakan asas kecemerlangan akademik di UMS.

“Dapur Siswa bukan sekadar kemudahan memasak, tetapi adalah satu intervensi kebajikan untuk memastikan tiada lagi pelajar UMS yang berlapar atau berdepan kesukaran mendapatkan makanan seimbang.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam menyediakan ekosistem pembelajaran yang inklusif, sejahtera dan berjiwa manusiawi,” katanya.

Menurut beliau, Dapur Siswa UMS ditubuhkan bagi menangani cabaran food insecurity yang dihadapi sebahagian mahasiswa, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan, sejajar dengan komitmen UMS untuk memperkukuh kesejahteraan pelajar serta menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), terutamanya SDG 2: Zero Hunger dan SDG 3: Good Health and Well-being.

Kasim turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang utama serta warga kampus yang menyokong kempen “1 Staf, 1 Kampit Beras”, yang berjaya menggerakkan solidariti kampus demi membantu mahasiswa yang memerlukan.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin memaklumkan penubuhan Dapur Siswa UMS yang pertama itu telah digerakkan oleh Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) dan merupakan usaha bersama pelbagai jabatan, kolej kediaman, mahasiswa serta rakan strategik industri.

“Dua Dapur Siswa telah diwujudkan sebagai permulaan di Kampus Induk, dan InsyaAllah kemudahan ini akan diperluas ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan dan Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan.

“Usaha ini amat signifikan dalam membantu pelajar mengurus kehidupan harian dengan lebih baik serta memberi tumpuan penuh kepada pembelajaran,” ujar beliau.

Penubuhan Dapur Siswa itu mendapat sokongan padu daripada rakan strategik UMS, termasuk Sabah Electricity, KTI Development Sdn Bhd, Yayasan Buruh, Jurukin Sdn Bhd, Courtyard Hotel 1Borneo, Yayasan Al Jauhar dan Dong Sin Food Sdn Bhd.

Kemudahan tersebut turut disokong melalui kerja ubah suai oleh Jabatan Pembangunan & Penyelenggaraan (JPP), serta penyediaan operasi dan pemantauan oleh PNRF, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, kolej kediaman dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Hadir sama pada majlis perasmian tersebut Pegawai Utama dan Kanan Universiti, Pengarah PNRF, Stella @ Nurul Martini Gontol; dan Presiden MPP Sesi 2025/2026, Allen Paul Justinus Situ.

 

Kecekalan seorang graduan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, Jonathan Evan Bobby, mencuri perhatian pada Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-27 apabila beliau berjaya menamatkan pengajian dengan Kelas Pertama dalam Ijazah Sarjana Muda Fizik Industri dengan Kepujian meskipun berdepan kekangan visual sejak kecil.

Jonathan, yang hanya bergantung pada satu mata untuk melihat, mengakui bahawa kehidupannya penuh cabaran, terutama dalam bidang Fizik Industri yang memerlukan ketelitian visual dalam eksperimen makmal dan analisis teknikal.

Namun, kekangan tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk berjaya.

“Walaupun saya hanya boleh melihat dengan satu mata dan dunia yang saya nampak hanya separuh daripada apa yang orang lain lihat, saya tetap boleh menyertai pelbagai program dan menyumbang sesuatu.

Kekurangan ini tidak menghalang saya,” katanya.

Beliau turut menerima pengurangan yuran dan bantuan kewangan yang disediakan setiap semester, membolehkannya menampung keperluan pengajian serta rawatan kesihatan.

Namun bagi Jonathan, kekuatan sebenar datang daripada sokongan insan-insan terdekat.

“Keluarga saya menyokong dari segi kewangan, dan pasangan saya melengkapi dari segi emosi. Mereka berdualah yang membuat saya terus kuat,” ujarnya.

Sebagai seorang yang bergelar OKU penglihatan, Jonathan turut mempunyai minat mendalam dalam dunia fotografi suatu bidang yang lazimnya menuntut ketajaman visual.

Fotografi menjadi ruang kreatif yang membolehkan beliau melihat dunia dari perspektif yang unik, sekaligus membuktikan bahawa kekurangan tidak membataskan kemampuan seseorang.

Selain kecemerlangan akademik, Jonathan juga aktif menyertai program outreach dalam dan luar kampus. Penglibatan ini bukan sahaja menambah keyakinan diri, tetapi memberi peluang kepadanya menyumbang kepada masyarakat dan meningkatkan kemahiran komunikasi serta kepimpinan.

Jonathan turut berkongsi pegangan hidup yang menjadi sumber kekuatannya selama ini.

“Selagi Tuhan memberi saya nafas setiap hari, saya akan terus berusaha dan menggunakan peluang yang diberikan,” ujarnya.

Kejayaan Jonathan menjadi inspirasi kepada warga UMS, khususnya pelajar OKU fizikal yang sering berdepan cabaran tambahan dalam dunia akademik, menjadikan kisahnya sebagai bukti bahawa dengan sokongan sistematik, ketabahan diri dan keyakinan yang teguh, tiada halangan yang mustahil untuk ditempuh.

Kisah graduan seperti Jonathan, menjadikan Konvokesyen UMS ke-27 menjadi lebih bermakna apabila menonjolkan semangat inklusiviti, keberanian dan tekad untuk bangkit walau berdepan kekangan, dan diharap dapat menjadi suntikan motivasi kepada pelajar lain agar terus berusaha walau apa pun halangan yang ditempuhi.

 

Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-27 tahun bukan sahaja meraikan kejayaan lebih 3,807 graduan, malah menyerlahkan kisah inspirasi seorang anak nelayan dari Kota Marudu yang membuktikan bahawa pendidikan mampu mengubah masa depan.

Marni Roszdi, 23, graduan Fakulti Perhutanan Tropika UMS, merupakan anak kelima daripada tujuh beradik dalam sebuah keluarga yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laaut.

Mengimbas detik menerima tawaran kemasukan ke UMS, Marni berkata suasana rumah pada hari itu berubah menjadi sunyi, bukan kerana keluarganya tidak gembira, tetapi kerana bimbang tentang kemampuan menanggung kos pengajiannya.

“Rumah kami tiba-tiba senyap. Ibu bapa bimbang bagaimana hendak menampung pengajian saya, maklumlah ayah hanya bergantung kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan keluarga.

“Namun ayah meyakinkan saya untuk terus sambung pengajian dan berjanji akan melawan ombak untuk mencari rezeki bagi membiaya yuran pengajian saya,” luahnya.

Marni berkata sejak hari itu, bapanya turun ke laut setiap subuh, menempuh ombak dan cuaca tidak menentu demi memastikan impian anaknya tidak terkubur.

“Cabaran bertambah ketika pandemik COVID-19, apabila pendapatan keluarga jatuh merudum. Saya hampir berputus asa apabila wang saku tidak mencukupi, namun saya memilih untuk bertahan dengan bekerja sebagai Sukarelawan Bilik Gerakan COVID-19 UMS, menerima elaun RM20 sehari.

“Walaupun jumlahnya kecil, tetapi amat besar ertinya bagi seorang pelajar luar bandar seperti saya,” jelasnya.

Di samping itu, sokongan moral daripada warga Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, menjadi pemangkin kekuatan ketika beliau hampir rebah oleh tekanan.

“Walaupun menggalas komitmen sebagai ahli unit beruniform SISPA serta aktif dalam pelbagai aktiviti universiti, saya tetap berjaya mengekalkan PNGK 3.0 ke atas selama lapan semester.

“Hari ini saya berdiri sebagai graduan hasil doa mama dan titik peluh bapa. Pengorbanan mereka adalah sebab saya sampai ke sini,” katanya sebak.

Mengulas perjalanan Marni, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, menyifatkan kisah itu sebagai cerminan sebenar harapan rakyat Sabah terhadap pendidikan.

“Kisah Marni menggambarkan UMS sebagai universiti harapan rakyat Sabah. Ia menunjukkan bahawa kejayaan bukan ditentukan oleh kemewahan, tetapi oleh usaha, keberanian dan doa ibu bapa.

“Pengorbanan keluarganya, semangat ayahnya menempuh ombak demi masa depan anak, dan keteguhan Marni menghadapi cabaran hidup adalah lambang nilai sebenar UMS. Kisah ini wajar menjadi inspirasi kepada semua pelajar,” tambah beliau.