Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) adalah satu langkah strategik dalam memperkukuh jaringan akademik dan penyelidikan antara kedua-dua universiti.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, MoU tersebut bukan sekadar acara simbolik, tetapi menjadi landasan penting untuk membina hubungan dua hala yang lebih erat selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Menerusi MoU ini, kedua-dua universiti bakal terlibat secara langsung dalam pertukaran kepakaran akademik, kolaborasi penyelidikan dan penerbitan bersama, program mobiliti pelajar, serta penganjuran seminar, bengkel dan persidangan.
“Selain itu, projek berasaskan tanggungjawab sosial turut menjadi agenda utama dalam kolaborasi ini sebagai inisiatif untuk memperkasa komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena satu Majlis Menandatangani MoU antara UMS dan UniSZA, di sini baru-baru ini.
Kasim menambah, kekuatan unik yang dimiliki oleh kedua-dua institusi akan saling melengkapi dalam membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan berdaya tahan.
“UMS sebagai universiti di Borneo mempunyai kelebihan dalam bidang biodiversiti, kelautan, sains sosial dan pembangunan komuniti, manakala UniSZA pula menonjol dalam pengajian Islam, sains perubatan, kesihatan dan pembangunan insan.
“Gabungan ini diyakini akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Ujar beliau, kerjasama yang dimeterai itu mampu menjadi pemangkin kepada pencapaian akademik dan penyelidikan yang lebih berimpak tinggi, sekali gus mengangkat martabat universiti awam negara di persada antarabangsa.
Pada majlis tersebut, Kasim menandatangani dokumen MoU bagi pihak UMS, manakala pihak UniSZA diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik Dan Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Zuhairah Ariff Abd Ghadas yang mewakili Naib Canselor UniSZa, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam.
Hadir sama Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan Fakulti Psikologi Dan Kerja Sosial UMS, Prof Dr. Mohd. Dahlan A. Hj Malek; dan Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan UniSZA, Prof. Dr. Ahmad Puad Mat Som.



Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk budaya buli dalam kalangan warga kampus, sama ada secara fizikal, mental, emosi mahupun di alam maya.
Seramai 5,123 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan sesi 2025/2026 yang mula mendaftar pada 27 hingga 28 September 2025.
Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir merasmikan Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi Universiti yang bertemakan “UMS Next30: Dari Bumi Borneo Menyulam Ilmu, Menyuluh Dunia” di sini.
Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) menganjurkan International Empowering Leadership Conference 2.0 bertemakan Empowering the New Era of Leadership with Artificial Intelligence di Grand Ballroom, Shangri-La Tanjung Aru, baru-baru ini.