KOTA KINABALU: Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Sri Azman Hashim, menekankan bahawa isu rasuah yang semakin meruncing dalam negara perlu ditangani secara tegas melalui pembentukan nilai murni dan integriti dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda yang bakal menerajui kepimpinan negara.

“Pencapaian akademik yang tinggi semata-mata tidak menjamin kemajuan sekiranya tidak disertai nilai kejujuran, akauntabiliti, disiplin dan rasa tanggungjawab.

“Ini kerana sesebuah negara hanya mampu berkembang apabila rakyatnya memiliki karakter yang seimbang dan beretika,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada hari kedua, sempena Majlis Konvokesyen UMS kali ke-27 pada Isnin.

Menurut Azman, budaya negatif kini semakin diterima sebagai kebiasaan yang melambangkan normalisasi perbuatan tidak bermoral dalam kehidupan seharian.

“Saya ingin menegur sikap segelintir pihak yang tanpa rasa malu menonjolkan kemewahan daripada kereta berjenama dan kediaman besar hinggalah percutian ke luar negara.

“Apabila rasuah menjadi amalan dalam sistem, kepercayaan rakyat akan hilang dan negara akan menghadapi kemerosotan berpanjangan,” tambahnya.

Azman turut menekankan bahawa amalan “Zero Tolerance” yang tegas dapat melahirkan masyarakat dan kerajaan yang bersih.

Justeru, beliau menyeru agar pendekatan serupa diterapkan di semua peringkat meliputi institusi pendidikan, syarikat korporat, jabatan kerajaan dan komuniti bagi memastikan negara dapat keluar daripada budaya rasuah yang sudah lama membelenggu masyarakat.

“Kita mesti berani berkata tidak kepada rasuah. Perbuatan salah tetap salah, walau sekecil mana pun,” tegasnya.

 

Suasana Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertukar sayu apabila pasangan ibu bapa naik ke pentas untuk menerima skrol ijazah Anumerta bagi pihak Allahyarhamah Farah Hasanah Abdul Jaid @ Abdul Kaid sebagai tanda penghormatan terakhir.

Allahyarham Farah, 23, anak kepada pasangan Abdul Jaid @ Abdul Kaid, 58, dan Kamalahan Musli, 52, meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang pada 24 Julai tahun lalu, sekali gus menutup tirai perjalanan akademik dan cita-cita besarnya dalam dunia teknologi negara.

Berasal dari Lahad Datu, Allahyarhamah dikenali sebagai seorang yang sangat peramah, mudah didekati dan mempunyai ramai rakan sepanjang tempoh pengajiannya.

Menurut Abdul Jaid, Allahyarhamah seorang yang ceria dan mesra seperti adik-beradiknya yang lain, namun mula berjauhan dari keluarga apabila melanjutkan pelajaran ke UMS.

Beliau berkata keadaan kesihatan Allahyarhamah mula merosot sekitar tahun 2023. 

Kamalahan, turut mengesahkan keadaan Allahyarhamah dan berkata “tahun satu dan dua dia masih kuat, tapi bila masuk tahun tiga, kesihatannya makin merosot.”

Ayahnya berkata lagi, “dia buat dialisis peritoneal sendiri di rumah, tapi tidak sampai sebulan pun, keadaan dia begitu cepat berubah.”

 “Ubatnya pun tidak sempat habis sebab keadaannya (kesihatan) yang terlalu cepat merosot.” tambah ibunya.

Dalam keluarga, Allahyarhamah sangat rapat dengan kakaknya, Farah Hazimah yang kini sedang mengikuti program Sarjana di UMS.

Allahyarhamah amat meminati bidang Sains Data dan bercita-cita membangunkan satelit untuk Malaysia, suatu impian yang sering diceritakan kepada keluarganya.

Pasangan Abdul Jaid dan Kamalahan turut kehilangan anak sulung pada tahun 2020 akibat kemalangan, namun Allayarhamah sering mengingatkan ibu bapanya agar terus tabah.

Mengimbau kembali kata-kata Allahyarhamah, ibunya berkata Farah selalu mendoakan kesihatan bagi kedua orang tuanya.

Allahyarhamah Farah dikenang sebagai seorang pelajar yang aktif berpersatuan tetapi tetap mengutamakan akademiknya.

Kehilangannya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan-rakan dan pensyarah yang mengenalinya sebagai seorang pelajar yang berdedikasi tinggi serta berjiwa besar.

 

(artikel disediakan oleh Rachel Annatasha Hilarius, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)

 

Kejayaan menamatkan pengajian dalam bidang perubatan menjadi detik bermakna buat anak kelahiran Tawau, Dr. Mohd Iqman Shazaril, 24, dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang bukan sahaja melakar pencapaian peribadi tetapi turut menjadi kebanggaan keluarga.

Beliau berasa bersyukur kerana dapat menghadiahkan kejayaan yang membanggakan itu kepada kedua-dua ibu bapanya.

“Saya sangat gembira sebab dapat menamatkan pengajian ini,” katanya.

Sepanjang pengajian, beliau berdepan dengan pelbagai cabaran, namun semuanya mampu diatasi dengan usaha dan kesabaran yang berterusan.

“Masalah penginapan yang saya hadapi dapat diatasi kerana UMS menyediakan tempat khas untuk golongan seperti kami,” jelasnya.

“Dari segi ekonomi pula, saya telah  memohon bantuan kewangan seperti Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) yang saya terima setiap semester.”

Walaupun diuji dalam pelbagai aspek, kejayaan dalam setiap peperiksaan menjadi detik paling membahagiakan baginya.

“Pengurus Pusat Pengurusan OKU, Dr Zaiton Mohamad dan salah satu kakitangannya, Farah Awang Alias banyak membantu saya dalam pengurusan kolej kediaman, kewangan dan penerimaan bantuan serta fasiliti lain,” ujarnya.

Menurutnya lagi, peranan Pusat Pengurusan OKU UMS sangat besar dalam memastikan pelajar berkeperluan khas sepertinya  sentiasa mendapat akses pendidikan yang adil dan selesa.

Sementara menunggu penempatan 'housemanship' yang dijadualkan bermula Januari depan, beliau bercadang untuk membuat kerja sambilan lain terlebih dahulu. 

“Bermula 19 Januari 2026, saya akan mula bertugas sebagai doktor junior di Hospital Tawau,” katanya penuh keterujaan.

Sebagai individu kelainan upaya (OKU), Dr. Iqman mengakui bahawa keyakinan diri sering menjadi cabaran utama, namun hal itu tidak pernah menjadikannya mudah mengalah.

“Mempunyai kekurangan fizikal sememangnya membuatkan keyakinan saya kurang dari orang lain, tapi itu tidak membuat saya berhenti mengejar kejayaan saya.”

Kejayaan Dr Iqman membuktikan kecemerlangan dapat dicapai melalui kecekalan dan fokus yang berterusan, menjadikannya simbol kekuatan bagi mahasiswa lain termasuk pelajar OKU.

 

(artikel disediakan oleh Rachel Annatasha Hilarius, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)

 

Anak kelahiran Johor, Chin Jia Wen, 24, berasa teruja apabila dikurniakan Pingat Emas Naib Canselor sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-27 pada tahun ini.

Chin yang merupakan graduan daripada Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS, berjaya mendapat purata nilai gred PNGK 3.92 dalam bidang pengajian Ijazah Sarjana Muda Pemakanan dengan Kepujian.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran antaranya masalah kewangan dan tekanan emosi sewaktu melanjutkan pengajian, namun baginya itu bukanlah sebuah penghalang untuk merangkul kejayaan.

“Saya menyewa di luar kawasan UMS dan perkara itu memaksa saya untuk belajar berjimat demi kelangsungan hidup.

“Dari segi mengawal tekanan emosi dan mental, biasanya saya akan berehat daripada melakukan sebarang kerja kerana bagi saya, kesihatan mental itu sangat penting.

Beliau sempat berkongsi nasihat kepada Mahasiswa yang sedang melanjutkan pengajian.

“Sebagai manusia yang bergelar Mahasiswa semestinya akan menghadapi pelbagai cabaran namun anda perlu jaga dan sayangi diri anda terlebih dahulu.

“Apa pun yang anda lakukan, sabar merupakan kunci kejayaan dalam kehidupan kita,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan hasratnya untuk meneruskan pengajian Sarjana jika ada masa yang sesuai.

 

(artikel disediakan oleh Suzainah Tan Thien Lu, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)

 

Berpengalaman selama 15 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan khas bahasa isyarat, Martina Suginsim menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana bagi Program Psikologi Kaunseling di Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) melalui Pusat Pendidikan Fleksibel UMS (UMSFLEC) pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-27.

Menurut Martina, yang berasal dari Kudat menyifatkan pencapaiannya itu sebagai detik yang bermakna selepas melalui tempoh pembelajaran sambil bekerja yang mencabar.

“Saya berasa amat sebak dan bersyukur setelah melalui perjalanan yang begitu panjang, saat ini bagaikan hadiah yang memujuk segala kepenatan dan air mata yang pernah tumpah,” katanya.

Sepanjang perkhidmatannya, Martina menyantuni murid-murid orang kurang upaya (OKU) pendengaran dengan penuh komitmen dan rasa bangga terhadap profesion tersebut.

Beliau berkata bahawa pengalaman itu membentuk kefahamannya terhadap Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dan budaya Deaf yang mempunyai identiti linguistik tersendiri.

“Setiap gerak tangan dan ekspresi wajah mereka mempunyai makna yang mendalam. Ia bukan sekadar komunikasi, tetapi bahasa yang indah dan penuh nilai kemanusiaan,” jelasnya.

Pengalaman bersama komuniti ini turut memperkaya perspektif beliau tentang cara individu mengekspresikan diri serta berinteraksi dengan dunia sekeliling.

Mengimbau kembali perjalanan 15 tahun itu, Martina berkata detik paling menyentuh hatinya ialah ketika beliau menyedari bahawa walaupun perjalanan akademiknya mengambil masa yang panjang tetapu beliau tetap bergerak ke hadapan.

“Setiap kali saya hampir berputus asa, ada seseorang yang hadir menghulurkan semangat. Itu sangat bermakna bagi saya,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi bahawa beberapa murid dan individu dalam komuniti OKU pendengaran memberi inspirasi besar kepadanya, terutamanya melihat mereka menjalani kehidupan dengan ketabahan walaupun dalam dunia tanpa suara.

Menurut Martina, cabaran terbesar sepanjang pengajian ialah pengorbanan masa untuk diri sendiri dan keluarga, selain tuntutan kerja yang memerlukan tenaga dan fokus yang tinggi.

“Ada hari-hari saya pulang dalam keadaan amat letih, tetapi tetap memaksa diri untuk belajar. Itu perjuangan yang hanya saya dan Tuhan sahaja yang tahu,” katanya.

Martina turut berharap agar komuniti OKU pendengaran diberikan ruang emosi yang lebih selamat dan akses sokongan psikologi yang lebih baik serta penerimaan masyarakat yang lebih inklusif terhadap cabaran mereka.

“Mereka berhak untuk dilihat, didengar dan dihargai. Sedikit empati daripada masyarakat boleh memberi perubahan besar kepada kehidupan mereka,” katanya.

Bagi Martina, kejayaan yang dikecapinya hari ini bukan sekadar memperoleh segulung ijazah sarjana, tetapi bukti ketabahan dalam mengharungi pelbagai cabaran.

“Ia menegaskan bahawa impian tidak pernah terlambat untuk dicapai, dan setiap kejatuhan memberi peluang untuk bangkit semula,” katanya.

 

(artikel disediakan oleh Nur Asdah Jeferedin, Pusat Pendidikan Fleksibel UMS)