ISNIN, 02 APRIL - Voice For You anjuran Kolej Kediaman Sri Angkasa (KKSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diadakan baru-baru ini bagi mempelajari asas bahasa isyarat.

Program yang dianjurkan buat julung-julung kalinya di peringkat kolej kediaman UMS itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Orang Pekak Islam Sabah (PRISMA) dan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) KKSA.

Majlis perasmiannya disempurnakan Pengetua Kolej Kediaman Sri Angkasa, Wijaya Kamal Ramlan.

Dalam ucapannya beliau berkata, penganjuran program seperti itu mampu memberi nilai tambah kepada mahasiswa dalam memahami asas bahasa isyarat sekali gus dalam masa yang sama mampu membantu rakan-rakan daripada kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) menjalani kehidupan di kampus.

Pengarah Program, Ayla Farihah Zainuddin pula memaklumkan idea penganjuran program tersebut adalah hasil pemantauan dan pengalaman sendiri yang mengalami sedikit kesukaran ketika berkomunikasi dengan golongan yang istimewa itu.

“Sukar untuk membantu mereka disebabkan oleh masalah komunikasi dan diharapkan melalui penganjuran program ini saya dan rakan-rakan semua dapat mempelajari asas bahasa isyarat untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Program itu dibimbing wakil-wakil PRISMA iaitu terdiri daripada Syamsudin Nurdin, Katijah Kapin dan Schoastica Jilos.

Majlis berkenaan turut dihadiri felo, barisan kepimpinan JAKMAS, sekretariat dan warga KKSA.

 

Sumber: Kolej Kediaman Sri Angkasa

 

ISNIN, 02 APRIL - Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Kursus Pengurusan Majlis, Etiket dan Protokol bertempat di Bilik Seminar, JHEP baru-baru ini.

Menurut kenyataan JHEP,  kursus anjuran Bahagian Pembangunan Pelajar JHEP itu bertujuan melatih para peserta kaedah pengurusan majlis yang lebih teratur serta memberi pendedahan awal berkaitan etiket dan protokol sesuatu majlis.

Dalam masa yang sama, ia bagi menerapkan nilai-nilai disiplin yang tinggi  ke arah melahirkan pelajar yang berpengetahuan luas dalam menguruskan sebarang majlis rasmi.

Program yang disertai 83 mahasiswa itu dikendalikan Penolong Pegawai Tadbir Kanan, JHEP, Awang Nasip Yonos.

 

 

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Pelajar

KHAMIS, 29 MAC - Exco Kebajikan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Excellent Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Interaksi Sosial bersama Kanak-Kanak di Kampung Numbak baru-baru ini.

Pengarah Program, Siti Irra Shahirah Mohd Yasin berkata, program kemasyarakatan tersebut melibatkan penyertaan seramai 150 pelajar sekolah Numbak Vision Centre yang turut dijayakan 23 ahli jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada barisan kepimpinan Kolej Kediaman Excellent.

“Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar kolej kediaman ini beramah mesra dengan kanak-kanak Kampung Numbak.

“Di samping itu, ia juga sebagai satu wadah memupuk sifat kasih sayang dan prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik khususnya kanak-kanak yang terpinggir dari arus kemajuan dek kerana status kerakyatan mereka di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Siti Irra, pelbagai pengisian menarik pada program tersebut seperti sesi ramah mesra bersama pelajar-pelajar Numbak Vision Centre serta pemberian sedikit sumbangan buku kepada pihak sekolah tersebut.

“Program Interaksi Sosial ini merupakan satu program bersiri yang mana siri ke-2 nanti dijadualkan berlangsung pada bulan Mei depan,” tambahnya yang juga Yang Dipertua JAKMAS Kolej Kediaman Excellent.

Turut hadir pada program itu, Pengetua Numbak Vision Centre, Firdaus Acha @ Graham. S dan Timbalan Pengetua Kolej Kediaman Excellent, Mohd. Hilmey Saili.

 

KHAMIS, 29 MAC – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Makmal Analisis Air UMS di bawah Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) bakal menyediakan perkhidmatan ujian analisis air yang mematuhi piawaian antarabangsa apabila makmal tersebut berjaya mendapat akreditasi Standard MS ISO/IEC 17025: 2005 dari Jabatan Standard Malaysia.

Melalui pengiktirafan akreditasi tersebut menjadikan Makmal Analisis Air UMS sebagai sebuah makmal bertauliah dan kini mampu memberikan perkhidmatan ujian analisis kualiti air dalam skop yang diakreditasikan kepada penyelidik, orang awam dan industri.

Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Datuk Fadilah Baharin berkata, pengiktirafan akreditasi di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) menjadikan UMS telah mempunyai dua buah makmal yang diakredit oleh Standard Malaysia.

“Selain Makmal Analisis Air UMS yang menjalankan pengujian kimia iaitu fokus kepada pemantauan alam sekitar, makmal pertama yang telah mendapat akreditasi adalah makmal UMS-Haemostasis Laboratory dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan untuk bidang perubatan.

“Diharap warga UMS dapat memanfaatkan peluang ini bagi mengembangkan lagi perkhidmatan pengujian dan kalibrasi dengan mengenal pasti skop-skop dan perkhidmatan yang memberi impak kepada peningkatan pendapatan dan ekonomi khususnya kepada universiti dan masyarakat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Sijil MS ISO / IEC 17025: 2005 Makmal Analisis Air di Galeri Majlis, UMS pagi tadi. 

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut, semua kakitangan yang terlibat harus membangunkan dokumen-dokumen kualiti dan rekod-rekod aktiviti yang memaparkan sistem pengurusan yang mantap dan juga menjalani latihan uji kaji dan ujian dari masa ke semasa agar lebih bersemangat dan kompeten dalam menjalani uji kaji atau analisis sampel.

“Saya berharap semangat bekerja, kegigihan dan juga teamwork yang ditunjukkan oleh kakitangan Makmal Analisis Air ini harus dicontohi dan dijadikan sebagai teladan bagi semua kakitangan di UMS,” katanya.

Beliau juga berharap agar lebih banyak makmal di UMS mencontohi usaha ini dan berjaya mencapai tahap akreditasi antarabangsa.

Hadir sama pada majlis itu Pendaftar UMS, No’man Ahmad; Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta; Ketua Unit Penyelidikan Air UMS, Dr. Moh Pak Yan; dan Pengarah Akreditasi Jabatan Standard Malaysia, Shaharul Sadri Alwi.

RABU, 28 MAC - Sejumlah RM20,000 Geran Keusahawanan diperuntukkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi membantu aktiviti keusahawanan di peringkat fakulti.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr Ismail Ali berkata, geran tersebut bertujuan untuk menyuntik budaya keusahawanan berdasarkan bidang dan kepakaran yang ada di fakulti masing-masing.

“Sebagai contoh kepakaran yang boleh memberi pulangan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) adalah dari segi perkhidmatan produksi media seperti percetakan, rekabentuk grafik, produksi filem, penghasilan video,  fotografi, busana, lukisan, seramik dan arca,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Penyampaian Geran Keusahawanan kepada 10 Fakulti di UMS di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif, Bangunan Canselori, hari ini.

Menurut Prof. Dr Ismail, daripada jumlah geran yang diperuntukkan itu, setiap fakulti menerima bahagian sama rata iaitu masing-masing mendapat RM2,000.

“Justeru, saya berharap para dekan dapat memantau dan mengambil penekanan serius bagi memastikan aktiviti keusahawanan di fakulti masing-masing berjalan lancar,” tegasnya.

Penyampaian geran kepada wakil setiap fakulti disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rasid Mail.

Untuk rekod, penyaluran Geran Keusahawanan itu merupakan inisiatif Jabatan Hal Ehwal Pelajar melalui Bahagian Latihan dan Pembangunan Keusahawanan (BLPK) UMS.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua BLPK, Dr. Bonaventure Boniface dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Ahmadi Nurdin.