SELASA, 13 FEBRUARI – Program Malaysian Professional Prospect Convention (MyProspec) 2018 anjuran  Kelab Rakan Pustaka (KRP) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) baru-baru ini mampu membantu membangunkan potensi diri belia tempatan dalam memilih kerjaya yang akan diceburi kelak.

Menurut Pengarah Program MyProspec, Syahrul Fitri Abdul Sukor,  program itu bertujuan memberi idea dan inisiatif untuk membangunkan potensi diri dan minat para pelajar Asasi dan Matrikulasi dalam memilih kerjaya yang bakal mereka ceburi kelak.

“Penganjuran MyProspec 2018 ini juga dilihat mampu menjadi platform para peserta untuk terus meningkatkan kebolehan diri sekali gus menjadi contoh kepada golongan belia di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Resital UMS.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan UMS, Zawawi Tiyunin ketika berucap merasmikan penutupan majlis itu berharap agar semua peserta dapat memanfaatkan segala ilmu yang telah diperoleh selain sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti seumpama itu yang disifatkannya mampu membuka minda untuk berfikiran jauh, kreatif dan kritis.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang bertungkus lumus dalam merealisasikan penganjuran program pendedahan kerjaya ini yang mana dapat membangunkan potensi diri dan minat para pelajar asasi, matrikulasi, pra-universiti dan diploma  dalam memilih kerjaya mereka nanti,” tambah beliau.

Program MyProspec 2018 turut menampilkan usahawan yang sudah terbukti kejayaannya, antaranya ialah Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, Datuk Aminuddin Zakaria; Ketua Pegawai Eksekutif Yun Fook Resources, Datuk Yap Yun Fook; Mufti Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Bongsu Aziz Hj. Jaafar; dan Pengerusi Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM), Mohd. Syafiq Zainal.

Program yang berlangsung selama sehari itu disertai 120  peserta dari sekitar Kota Kinabalu termasuk pelajar Pusat Persediaan Sains dan Teknologi UMS, Kolej Tingkatan 6, Institut Tahfiz Al-Quran Sabah (ITQAS), Sekolah Menengah (SM) All Saints dan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sabah

Program tersebut juga turut mengadakan pameran pendidikan yang disertai oleh institut pengajian tinggi awam dan swasta.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah YDKKM, Sittilin Salleh; Penasihat Kelab Rakan Pustaka UMS, Md. Sazali Md. Salleh; dan Pengerusi Kelab KRP UMS, Zulhisham Faridzuan Abdul Majid.

 

ISNIN, 12 FEBRUARI – “Syukur alhamdulillah dan saya sangat gembira kerana Universiti Malaysia Sabah dapat bagi rumah kepada saya,” kata penerima rumah komuniti projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMS, Hamidah Isa dari Kg. Blok 31, Tawau kelmarin.

Hamidah, 60, seorang surirumah berkata, beliau telah membuat permohonan untuk mendapatkan rumah sejak 6 tahun lalu.

“Akhirnya, melalui usaha murni UMS dan Majlis Perbandaran Tawau, saya sudah dapat sebuah rumah yang selesa untuk didiami bersama suami dan anak,” katanya.

Beliau turut berterima kasih dan menyanjung tinggi inisiatif yang telah dimainkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching yang sering membantu golongan susah sepertinya.

Sementara itu, Datuk Dr. Mary Yap dalam ucapannya berkata, inisiatif untuk membina rumah komuniti dicetuskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh yang membinanya di Besut, Terengganu yang juga merupakan kawasan Parlimennya.

“Oleh itu, saya berpendapat daerah Tawau juga mesti ada rumah komuniti,” tegas yang mendapat tepukan gemuruh dari penduduk kampung.

Beliau yang juga Ahli Parlimen P190 Tawau menambah, pemberian rumah komuniti oleh UMS ini telah banyak membantu mengurangkan beban Hamidah dan keluarganya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS berkata, rumah yang berkeluasan 600 kaki persegi ini mempunyai 3 bilik tidur dan bilik air.

“UMS membina rumah ini dengan peruntukan sebanyak RM20 ribu dan disiapkan dalam tempoh sebulan,” katanya.

Jelas beliau lagi, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS membina sebanyak empat buah rumah di empat daerah iaitu Kota Belud, Tawau, Sandakan dan Sipitang.

“Rumah komuniti di Kota Belud telah diserahkan kepada penerima 3 minggu lalu dan dua lagi akan diserahkan kepada penerima dalam jangka masa terdekat,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin serta pegawai-pegawai utama dan kanan UMS.

ISNIN, 12 FEBRUARI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan misi membuka ruang dan peluang kepada siswa siswi menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat menerusi program Gotong Royong Bersama Komuniti Tawau.

Program yang diadakan bertempat di Taman Awam Pelita melibatkan kerjasama di antara 130 pelajar UMS turut mendapat sokongan daripada penduduk perumahan Taman Bintang dan Taman BDC serta penglibatan daripada agensi kerajaan di Tawau dan pelajar MRSM Tawau.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching, program gotong royong bukanlah sekadar membersihkan kawasan tetapi ia menerapkan nilai kesukarelawan dalam diri siswa siswi.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggalakkan pelajar melibatkan diri dengan aktiviti kesukarelawan dan membantu masyarakat menerusi program seperti ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada UMS, agensi kerajaan di Tawau dan penduduk Taman Bintang dan Taman BDC yang memberikan sepenuh sokongan bagi menjayakan program murni ini,” kata Datuk Mary yang turut merasmikan program gotong royong ini.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali berkata, program kesukarelawan dapat menyemai jiwa keprihatinan dalam diri siswa siswi UMS.

“Menerusi program sebegini, ia akan dapat membentuk sikap tolong menolong dan sensitif dengan setiap masalah yang wujud dalam masyarakat.

“Selain itu, siswa siswi UMS dapat mengenali budaya masyarakat di sekitar Tawau ini,” katanya.

Selain gotong royong membersihkan kawasan perumahan, aktiviti pemeriksaan kesihatan percuma turut dijalankan.

Turut terlibat menjayakan program ini ialah Majlis Perbandaran Tawau, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan, Hospital Tawau, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penjara dan Kementerian Belia dan Sukan.

Turut hadir memeriahkan aktiviti ialah Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan Pengurus Harta Benda MPT, Lily Medriana Serigar.

THURSDAY, 8 FEBRUARY – Universiti Malaysia Sabah (UMS) and Zunyi Medical University (ZMU), China, have now entered the second phase of the research collaboration since the signing of a Memorandum of Agreement (MoA) between the two institutions on the establishment of The International Joint Laboratory for Ethnomedicine in 2016.

The second phase will see a significant expansion of research funding provided by the Government of China under the One Belt, One Road Initiative.

A courtesy visit to UMS by a delegation from ZMU, led by the President, Professor Dr. Jingshan Shi, was held to discuss the progress of The International Joint Laboratory for Ethnomedicine yesterday.

During the visit, UMS Vice-Chancellor, Professor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, mentioned in his welcome address, that Sabah’s rich biodiversity and its array of ethnicities provide great opportunities for enhancing ethnomedical research.

Ethnomedicinal studies are fundamental for the discovery of new modern drugs through traditional knowledge.

Therefore, the coexistence of traditional medicine and biomedicine plays an important role in improving human health in today’s world.

The Vice-Chancellor believes that the ethnomedical research collaboration with ZMU, together with UMS’s Faculty of Medicine and Health Sciences, Faculty of Science and Natural Resources, Institute for Tropical Biology and Conservation and Biotechnology Research Centre will lead to high impact scientific and commercial outcomes.

 

KHAMIS, 01 FEBRUARI - Nama Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus dikenali di peringkat antarabangsa melalui pelbagai pencapaian yang dikecapi.

Terbaru, nama UMS diharumkan melalui pembentangan kertas kerja yang sangat menyakinkan oleh Profesor Madya Dr. Hjh. Norazah Mohd Suki dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan di 2nd Recent Research in Business and Technology Management International Conference  ​(BIZTEM 2018).

Beliau telah dinobatkan sebagai Pembentang Terbaik melalui pembentangan kertas kerja bertajuk “Halal Cosmetic Products: Do Knowledge and Religiosity Affect Consumers’ Attitude and Intention to Use?”.

Dalam pembentangannya, beliau telah membicarakan hasil penyelidikannya yang menyatakan bahawa sikap adalah peramal yang paling kuat dalam mempengaruhi niat pengguna menggunakan produk kosmetik halal, di samping aspek seperti pengetahuan dan religiositi.

“Dengan mempunyai sikap positif terhadap produk kosmetik halal, pengguna sentiasa melihat kepada label halal itu sebelum mengambil keputusan untuk membeli sesuatu produk.

“Pemakaian produk kosmetik halal ini juga adalah amat penting bagi pengguna, tambahan pula keputusan untuk menggunakannya adalah atas pilihan mereka sendiri,” kata Profesor Madya Dr. Hjh. Norazah.

Beliau turut menyuarakan rasa kesyukuran atas penerimaan anugerah itu yang disifatkannya sebagai di luar jangkaan.

“Terima kasih atas sokongan rakan-rakan dan UMS, kejayaan ini adalah untuk kita semua dalam usaha untuk terus mengharumkan nama universiti sehingga ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Program selama tiga hari itu berlangsung di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu.