KHAMIS, 25 JANUARI - Pembangunan haruslah membawa kebaikan kepada semua lapisan masyarakat dan bukannya sekadar bermanfaat kepada segelintir pihak, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Menurut beliau, setiap pembangunan yang dilaksanakan perlu menitikberatkan aspek utama dalam kehidupan yang tidak merosakkan rangkaian sosial, identiti budaya atau alam sekitar.

“Faedah daripada sesuatu pembangunan bukan hanya kepada aspek kewangan semata-mata tetapi merangkumi peningkatan sebenar yang berkepentingan kepada rakyat,” katanya.

Datuk Seri Panglima Masidi berucap demikian ketika merasmikan Persidangan ‘International Borneo Quality of Life’ (BQOL) anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri di kementeriannya, Datuk Hj. Kamarlin Hj Ombi.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, persidangan BQOL adalah pertama kali dianjurkan di bawah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK).

Menurutnya, ia menyasarkan kepada penambahbaikan kualiti hidup dengan melibatkan peserta dari pelbagai latar belakang.

“Setiap peserta persidangan jelasnya, akan bekerjasama menghasilkan resolusi bagi membantu meningkatkan kualiti kehidupan di rantau ini,” ujarnya dalam teks yang disampaikan Penolong Naib Canselor, Prof. Dr. Marcus Jopony.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian), Dr. Lawrance Mah Hon Kheong; Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jefree; dan Pengerusi Persidangan BQOL, Prof. Madya Dr. Helen Benedict Lasimbang.

 

RABU, 24 JANUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bakal berentap dalam lima jenis sukan pada satu kejohanan yang akan berlangsung pada tahun ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Pengarah DBKK, Datuk Joannes Solidau selepas perbincangan ringkas bersama pihak UMS yang melibatkan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin semalam.

Menurut Datuk Joannes, lima jenis sukan itu ialah bola sepak, futsal, badminton, golf dan boling.

Katanya, ia sebagai aktiviti pertama bagi menyemarakkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan DBKK sekali gus merapatkan lagi hubungan silaturahim yang sedia terjalin.

“Tarikh, masa dan tempat kita akan tentukan selepas perbincangan lanjut, namun yang pasti kita akan anjurkan dalam tempoh terdekat,” ujarnya.

RABU, 24 JANUARI- Pelbagai lagi bidang kerjasama bakal terjalin antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani semalam.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin berkata, bidang kerjasama itu merangkumi penyelidikan, kebudayaan, pendidikan, pelancongan, penjanaan, khidmat masyarakat, latihan serta program-program yang dipersetujui secara bersama.

“Kerjasama ini akan memberi peluang pelaksanaan pelbagai aktiviti dan penganjuran program berimpak tinggi antara UMS dan DBKK,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tersebut yang diadakan di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Katanya, hubungan yang terjalin itu sekali gus memantapkan lagi kerjasama sedia ada dan yang bakal dianjurkan bersama pada masa yang akan datang.

“Untuk pengetahuan semua, kerjasama pintar di antara UMS dan DBKK sudah lama terjalin.

“Sebelum ini pelbagai aktiviti telah dianjurkan bersama seperti Perarakan Berjubah sempena Majlis Konvokesyen UMS, aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan para pelajar UMS seperti pembersihan Sungai Likas dan Sungai Inanam serta Program Gap Year,” tambah Prof. Datuk Dr. D Kamarudin.

Sementara itu, Mayor DBKK, Datuk Yeo Boon Hai berharap jalinan persefahaman itu dapat memberi impak positif bukan hanya kepada kedua belah pihak tetapi juga menjurus kepada masyarakat di sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

“Antaranya kita hendak berkongsi kepakaran, teknologi pengetahuan dan kemahiran dalam meningkatkan perkhidmatan yang terbaik kepada warga bandar raya Kota Kinabalu,” ujarya.

Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Menteri yang bertanggungjawab kepada DBKK, Datuk Ir. Edward Yong Oui Fah.

Hadir sama, Penolong Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Marcus Jopony; Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad dan Ketua Pengarah DBKK, Joannes Solidau.

 

SELASA, 23 JANUARI - Seramai 75 kakitangan akademik dan pentadbiran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari 15 skim perjawatan menerima kenaikan atas sumbangan dan komitmen sepanjang perkhidmatan bersama universiti.

Daripada jumlah tersebut, 29 kakitangan akademik dinaikkan ke jawatan pensyarah kanan dan guru bahasa dengan gred DS52 dan DG44, manakala seramai 46 orang kakitangan bagi kumpulan pengurusan dan professional  gred 44 hingga 54.

Mereka diraikan dalam satu majlis meraikan dan penyerahan surat tawaran kenaikan pangkat kakitangan di Galeri Majlis, kelmarin, yang disampaikan oleh Naib Canselor Profesor Datuk D Kamarudin D Mudin.

Berucap pada majlis tersebut beliau berkata, tawaran kenaikan pangkat yang diberikan kepada penerima merupakan satu kesempatan agar mereka dapat menonjolkan lagi bakat serta komitmen untuk menyumbang kepada UMS.

“Teruskan mengamalkan elemen dinamik, kelestarian, integriti, keadilan kepada diri, rakan sekerja dan keluarga dalam menjalankan tanggung jawab yang diberikan.

“Kita perlu berupaya untuk mencabar diri, memperbaiki diri kita dan berusaha untuk menyampaikan yang terbaik kepada warga universiti,” ujarnya.

Tambah beliau, institusi akademik merupakan satu institusi yang dapat membawa warganya kepada satu perubahan evolusi dan tidak seharusnya terhad dan statik.

Terdahulu, Pendaftar UMS No’man Hj. Ahmad memberitahu proses pemilihan dan kenaikan pangkat yang dijalankan kali ini melalui proses yang ketat.

“Selari dengan aspirasi Naib Canselor kearah transfomasi universiti 4.0, maka pendekatan pemilihan kali ini telah meletakkan asas kemampuan pengetahuan dan kecekapan (calon) serta mampu untuk bersama dalam mentransformasikan sistem pentadbiran universiti kearah 4.0 sebagai landasan asas pemilihan,” jelasnya.

Turut hadir, Pegwai-pegawai Utama dan Kanan Universiti.

ISNIN, 22 JANUARI – Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini melancarkan Model Alumni Inspirasiku (AI 1.0) yang bakal menjadi medium perantara bagi alumni UMS untuk saling berhubung dan mengenali serta membantu dalam menjayakan program yang dirancang sepanjang tahun.

Pengarah Pusat Alumni UMS, Darwis Awang ketika menyampaikan taklimat berkenaan model tersebut menjelaskan, Model AI 1.0 dilihat mampu mencetus satu tindakan dalam memartabatkan Alumni UMS yang kini berjumlah 61,536 melalui keterlihatan dan penglibatan para alumni.

“Melalui model ini juga, para alumni UMS boleh memasarkan kepakaran mereka melalui Web Alumni, serta meluaskan jaringan dan membangunkan jenama sendiri melalui UMS,” katanya.

Tambah beliau, Model AI 1.0 itu dijangka memberi hasil dalam meningkatkan Alumni UMS dari segi keterlihatan, keterlibatan, imej ikon, dan imej sosial serta membantu UMS dalam meningkatkan status tersendiri di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin memuji inisiatif Model AI 1.0 yang dilihat sebagai satu sistem yang membantu perhubungan dengan alumni-alumni UMS.

“Ini satu perkembangan positif dengan alumni UMS dapat dilibatkan untuk memberi idea dan inspirasi untuk memacu kecemerlangan universiti.

“UMS juga akan melaksanakan rombakan terhadap kurikulum universiti agar pengajaran dan pembelajaran lebih relevan dan mempunyai elemen kontemporari, sekali gus memberi pengalaman baik buat para mahasiswa serta mendorong mereka untuk kembali ke universiti apabila bergelar alumni kelak,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Model AI 1.0 dan Temu Mesra Alumni (Kakitangan) UMS.

Beliau turut berharap agar dekan-dekan dan ketua jabatan dapat memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan Model AI 1.0 yang mampu membantu mempergiatkan usaha untuk mengeratkan silaturahim bukan sahaja dalam kalangan 498 staf UMS tetapi juga mengumpul rakan-rakan alumni yang berada di luar perkarangan universiti.

Turut hadir pada majlis tersebut, Presiden Pertubuhan Alumni UMS, Dato’ Dr. Hj. Janathan Kandok dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali.