ISNIN, 22 JANUARI – Mizz Nina atau nama sebenar Shazrina Azman dilantik menjadi Ikon Kemanusiaan dan Keamanan oleh Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Menurut Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim, pelantikan Mizz Nina sebagai ikon kemanusiaan amat bertepatan berdasarkan perjuangan beliau yang berterusan bagi menegakkan hak kemanusiaan di seluruh dunia khsususnya mereka yang dilanda musibah.

“Pelantikan Mizz Nina ini diharap dapat memberi suntikan semangat kepada para pelajar untuk menyertai lebih banyak aktiviti kemanusiaan di luar sana,” katanya ketika ditemui media selepas penyampaian watikah pelantikan tersebut.

Penyampaian watikah telah disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Prof. Datuk Dr. D Kamarudin turut melahirkan rasa bangga dengan pelantikan itu sambil menyatakan ia mampu membangkitkan lagi semangat mahasiswa di UMS untuk lebih cenderung mengadakan aktiviti kemasyarakatan.

Turut hadir, Pendaftar UMS, No’man Hj. Ahmad; Bendahari UMS, Zallifah Shadan; dan Ketua Pustakawan UMS, Dg. Rukiah Ag. Amit.

 

 

 

ISNIN, 22 JANUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) tampil menjayakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui pembinaan Rumah Komuniti kepada seorang penduduk kurang berkemampuan di Kampung Pantai Mas, Kota Belud.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, rumah berkonsepkan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) itu merupakan yang pertama pada tahun ini sebelum tiga lagi buah rumah komuniti yang akan dirasmi sekali gus diserahkan pada bulan Februari.

“Selain Kota Belud, tiga lagi Rumah Komuniti ini bertempat di daerah Sipitang, Tawau dan Sandakan yang dibina melalui inisiatif Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS bersama sukarelawan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Penyerahan Projek Perumahan Rumah Komuniti kelmarin yang disempurnakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr. Mohd Salleh Said Keruak.

Datuk Dr. D Kamarudin berkata, Rumah Komuniti pertama itu diserahkan kepada Rodzlee Adkil, 36 yang berkerja sendiri dengan pendapatan kurang RM500 sebulan.

“Penerima ini berdasarkan pemilihan bersama dengan Pejabat Daerah Kota Belud di bawah e-Kasih. Semoga sumbangan ini dapat mengurangkan lagi beban yang ditanggung beliau sekeluarga,” jelasnya.

Dalam pada itu,  Datuk Seri Panglima Mohd Salleh dalam ucapan perasmiannya memuji usaha UMS untuk tampil membantu masyarakat yang tidak bernasib baik.

Katanya, Rumah Komuniti tersebut merupakan projek rumah percuma yang diagihkan kepada keluarga miskin.

“Usaha UMS menggunakan teknologi berkenaan wajar dipuji kerana bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan tetapi juga dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri selain dapat membantu kerajaan dalam merancakkan lagi usaha pemilikan rumah untuk rakyat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan.

Hadir sama pada majlis itu, ADUN Tempasuk yang juga Pembantu Menteri Kepada Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Musbah Haji Jamli; Timbalan Naib Chanselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Dr. Ismail Ali; serta Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gani Itam.

 

JUMAAT, 19 JANUARI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui agenda Transformasi Universiti 4.0 bakal mengoptimakan penggunaan sumber sedia ada melalui penaiktarafan kemudahan ICT dan pembangunan sistem yang mampu membantu meningkatkan kelestarian kewangan universiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, ini adalah bagi memastikan UMS terus kekal relevan seiring dengan cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Pasukan pengurusan tertinggi universiti telah merangka strategi melalui Pelan Strategik UMS 2018-2020, dengan salah satu bidang keberhasilan utama universiti iaitu Transformasi Universiti 4.0 antara lain akan melaksanakan penaiktarafan kemudahan ICT dan pembangunan sistem yang dapat menjadikan sesuatu kerja lebih mudah dan efisien untuk dikendalikan.

“Apabila kecekapan dapat dipertingkatkan, ini sekali gus dapat membantu universiti terutamanya dalam meningkatkan kelestarian kewangan yang juga salah satu bidang keberhasilan universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perkongsian Ilmu ”Inovasi Dalam Penjimatan Untuk Organisasi” bersama Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin di Galeri Majlis, pagi tadi.

Katanya, UMS juga telah melaksanakan beberapa inisiatif penjimatan sebelum ini, antaranya penggunaan kad kredit korporat yang telah dilaksanakan sejak 2013, dan pelaksanaan inisiatif Bring Your Own Device (BYOD) yang mampu mengurangkan liabiliti kepada universiti di dalam kos penyediaan, pengurusan, penyelenggaraan, dan pelupusan peralatan ICT UMS.

Pada majlis tersebut, Tan Sri Ahmad dalam sesi perkongsian beliau menerangkan mengenai pendekatan dan inovasi dalam menjana penjimatan dalam organisasi TLDM, serta kepentingan menjalin kolaborasi dengan pelbagai organisasi dan masyarakat yang mampu membantu operasi TLDM sekali gus mengurangkan kos operasi.

Hadir sama pada majlis itu Panglima Armada Timur TLDM, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Syed Zahiruddin Putra Syed Osman; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof; dan Bendahari UMS, Zallifah Shadan.

RABU, 17 JANUARI - Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli menghadiri program Sesi Ramah Mesra Ahli Parlimen Labuan Bersama Badan Kepimpinan Pelajar Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di Hotel Tiara, baru-baru ini.

Majlis anjuran Sektor Hal Ehwal Pelajar (SHEP) UMSKAL itu diketuai Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali.

Dalam ucapannya, Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan berharap pelajar UMSKAL akan merebut ruang dan peluang dalam bidang pekerjaan dan perniagaan selepas mereka menamatkan pengajian kelak.

Katanya, pada tahun ini, ekonomi Labuan yang dijangka berkembang positif bakal memberikan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan termasuk kepada graduan lepasan UMS Labuan.

Beliau juga yakin menerusi kemahiran dan kepakaran pelajar UMSKAL yang menuntut di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) akan dapat digunakan untuk membantu membangunkan Wilayah Persekutuan Labuan pada masa akan datang.

Sementara itu, Prof. Dr. Ismail mengingatkan pelajar UMSKAL agar sentiasa menjaga nama baik UMS, ibu bapa dan diri sendiri ketika menyertai apa jua program khususnya yang membabitkan masyarakat setempat.

Beliau yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menasihatkan pelajar supaya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan mengelak daripada terjebak dengan kegiatan yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

Turut hadir Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal; Pengarah Jabatan Pengurusan Sumber Manusia, Perbadanan Labuan, Norsiah Udin; Timbalan Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan, Hamizar Tahir; dan Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Mohd Fadzil Mohd Arfah.

Seramai 34 pelajar UMS Labuan termasuk pemimpin MPP dan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa menghadiri perjumpaan tersebut.

 

Sumber: Azri Onn

 

SELASA, 16 JANUARI – Sesi Town Hall Siri 1/2018 Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung di Galeri Majlis pagi tadi mampu menjadi platform dalam kakitangan mengetengahkan pendapat yang mampu menyumbang kepada aspek memajukan universiti.

Sesi tersebut antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada warga UMS untuk terlibat dalam dialog konstruktif bersama pengurusan universiti, memberi ruang kepada individu dan pemegang taruh untuk mengemukakan pandangan, cadangan, hasrat dan harapan tentang bagaimana UMS bergerak ke hadapan dan terus cemerlang, mengumpul maklumat  sebagai rujukan untuk menambah baik pencapaian UMS serta sebagai bahan dalam merangka Pelan Strategik UMS 2018-2020 dan rangka-rangka atau pelan-pelan tindakan lain.

Dalam sesi pertama, Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK), Prof. Dr. Marcus Jopony memberi penerangan tentang pencapaian keseluruhan UMS pada tahun 2017,hasrat dan harapan, hala tuju strategik, dan cabaran universiti dalam mendepani tahun 2018.

Sesi kedua bersama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin pula menerangkan tentang lima nilai teras UMS, iaitu Dynamic, Sustainable, Integrity, Justice dan Happiness Index, selain menyentuh tentang transformasi UMS ke arah universiti/industri 4.0, mempertingkat pengalaman holistik pelajar, dan Smart Eco UMS yang merangkumi Pengajaran dan Pembelajaran 4.0, Pentadbiran 4.0, dan Penyelidikan 4.0.

Sesi ketiga merupakan ruang soal jawab dan mengutarakan pendapat antara pegawai utama UMS dan para peserta yang hadir, yang menyaksikan beberapa isu dikupas sepanjang sesi tersebut antaranya tentang keperluan meneliti semula kurikulum akademik, pengajaran dan pembelajaran di universiti, serta mengukuhkan keterlibatan universiti dalam industri luar.

Sesi yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah PPSKK, Prof. Madya Dr. Abdul Hamid Ahmad sebagai moderator dihadiri oleh lebih 200 kakitangan terdiri daripada dekan-dekan fakulti, ketua-ketua jabatan, pusat, institut dan unit, ketua-ketua program, dan wakil Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional (Bukan Akademik) UMS, Kesatuan Kakitangan Am, Persatuan Staf Akademik UMS dan Majlis Perwakilan Pelajar.