ISNIN, 29 JANUARI - Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), dan Pusat Penyelidikan Pelancongan Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Seminar Pembangunan Produk Pelancongan 2018 di Kampung Kobuni, Inanam pada Sabtu.
Pengerusi seminar merangkap Pensyarah Kanan FPEP UMS, Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul berkata, seminar anjuran bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu bersempena program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi Pelancongan Berasaskan Komuniti di sekitar bandar raya Kota Kinabalu.
“Kampung Kobuni telah menjadi tumpuan sebagai salah satu tapak pelancongan komuniti yang baharu dan berpotensi di Kota Kinabalu.
“Justeru, seminar tersebut dianjurkan untuk membantu masyarakat setempat menyusun strategi perancangan dan pembangunan pelancongan mereka,” katanya ketika ditemui media selepas seminar itu.
Menurut Dr. Awangku Hassanal, walaupun pelancongan di Kampung Kobuni masih berada di peringkat awal, ia telah menerima kehadiran ramai pengunjung terutamanya pelajar sekolah dari seluruh negara di samping telah dinobatkan sebagai penerima 'Anugerah Desa Sejahtera' peringkat daerah pada 2014.
“Pada tahun lalu, Kampung Kobuni juga memenangi Anugerah Kampung Terbersih pada pertandingan Kampung Bebas Sampah anjuran DBKK,” tambahnya yang turut memberi ceramah pada seminar itu.
Sementara itu, Pengarah Ekonomi, Pelancongan dan Biro Hubungan Antarabangsa DBKK, Fauziahton Awang Samad turut berharap agar seminar itu mampu membantu penduduk setempat untuk memajukan lagi sektor pelancongan di kampung tersebut.
“Saya juga berterima kasih kepada UMS dan berharap agar universiti ini akan terus menyokong pelancongan berasaskan komuniti di Kota Kinabalu melalui program-program seumpama ini,” ujarnya.
Pada seminar berkenaan, Dr. Awangku Hassanal bersama dua lagi Pensyarah Kanan Program Pengurusan Pelancongan UMS; Dr. Tini Maizura Mohtar dan Kamarul Mizal Marzuki berkongsi idea serta membantu masyarakat setempat dalam merancang dan membentuk pelancongan di kampung tersebut.
Seminar sehari itu disertai seramai 30 penduduk Kampung Kobuni.
Majlis perasmiannya disempurnakan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Negeri Sabah, Ag. Ahmad Zaki Abu Bakar.
Sumber: Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan



ISNIN, 29 JANUARI – Seramai 25 pelajar Kursus Perlesenan Pemandu Pelancong, Borneo Tourism Institute (BTI) mengadakan Lawatan Sambil Belajar dan Interaksi Universiti-Industri di Pusat Informasi Pelawat EcoCampus UMS (EVIC), baru-baru ini.
ISNIN, 29 JANUARI – Roadshow dan Program Hari Bertemu Pelanggan Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) mendapat sambutan menggalakkan baru-baru ini.
JUMAAT, 26 JANUARI - Revolusi Industri (IR) 4.0 bukan hanya untuk diri sendiri dan organisasi tetapi ia perlu menyeluruh termasuk dalam aspek kemanusiaan dan kesatuan ummah.
KHAMIS, 25 JANUARI - Pembangunan haruslah membawa kebaikan kepada semua lapisan masyarakat dan bukannya sekadar bermanfaat kepada segelintir pihak, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.