SELASA, 12 SEPTEMBER  – Seramai 250 pelajar Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia melalui program Kibarkan Jalur Gemilang, kelmarin.

Bertemakan “PPST Sehati Sejiwa”, program yang diadakan di dataran PPST itu turut dijayakan seluruh warga kakitangannya.

Pengarah PPST, Prof. Madya Dr. Sazmal Effendi Arshad berkata, sebanyak 100 Jalur Gemilang yang disumbangkan Biro Tatanegara Cawangan Sabah diedarkan kepada pelajar Asasi Sains sempena program itu sebagai usaha menyemarakkan semangat sehati sejiwa sekali gus menghayati erti bangsa merdeka.

Salah seorang pelajar PPST, Syazreen Farlina Sharuddin ketika ditemui media turut menyatakan rasa bangga dapat bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang pada program berkenaan.

“Sebagai anak Malaysia, kita patut berterima kasih kepada para pemimpin negara yang berjuang untuk kemerdekaan sehingga kita pada masa kini dapat menikmati keharmonian dan kemakmuran di negara ini.

“Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada PPST UMS kerana menganjurkan program yang amat bermanfaat khususnya dalam meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda seperti saya,” ujarnya.

Turut hadir pada program itu, Timbalan Pengarah PPST, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din.

             

 

 

 

SELASA, 12 SEPTEMBER - Bersempena program 11th Global Congress and Conferment Ceremony “Global Leadership: Strategic Communication Management” anjuran RI Singapore baru-baru ini, seramai 39 peserta program itu telah melawat Muzium Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Program yang dianjurkan dengan kerjasama UMS Borneo Tourism Research Centre itu menyaksikan para peserta dibawa melihat sendiri muzium yang mempamerkan  bahan pameran anatomi manusia.

Antara peserta yang terlibat termasuklah kakitangan beberapa buah universiti di Filipina seperti Queen University Philippines dan juga ahli unit penyelamat Rescue Recon Philippines yang rata-rata baru pertama kali menjejakkan kaki ke UMS.

Melalui lawatan itu secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan baik antara universiti luar negara dengan UMS serta menjadi medan promosi untuk mereka tentang universiti ini sebagai sebuah universiti yang menarik bagi destinasi melanjutkan pengajian tinggi.

Salah seorang peserta, Glenn B. Gagante dari Quezon City turut merasa tertarik dengan fasiliti pembelajaran dan pengalaman menyaksikan spesimen anatomi sebenar adalah pengalaman pertama kali beliau.

 

 

Sumber: Faranizah Taufick, FPSK

 

 

ISNIN, 11 SEPTEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Haji Aman atas penganugerahan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri daripada Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi pada Sabtu.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr.  D Kamarudin D Mudin berkata, pengaruniaan itu merupakan satu pengiktirafan besar terhadap jasa dan kepimpinan serta sumbangan pemimpin nombor satu negeri ini yang ternyata telah memberi impak besar terhadap kamajuan dan pembangunan pesat negeri Sabah termasuk perkembangan dalam pendidikan.

"Kita juga merasa berbangga kerana selain sebagai Pro Canselor UMS,  Tan Sri Musa Haji Aman juga  sentiasa memberi pandangan dan nasihat serta sokongan padu terhadap usaha dan inisiatif yang dijalankan UMS dalam memperkasakan pendidikan tinggi bumi di bawah bayu ini.

"Bagi pihak seluruh warga UMS, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas penganugerahan darjah kebesaran ini, dan saya mendoakan agar Yang Amat Berhormat Ketua Menteri akan terus diberikan kesihatan yang baik untuk kekal menerajui negeri Sabah dengan cemerlang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Untuk rekod, Tan Sri Musa Haji Aman dilantik Pro Canselor UMS sejak tahun 2005 sehingga kini.

 

 

ISNIN, 11 SEPTEMBER – Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur mengadakan lawatan sulung ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) pagi tadi sebagai salah satu sesi rangka lawatan kerja KPT ke negeri Sabah.

Dalam kunjungan tersebut, Tan Sri Noorul mengadakan sesi pertemuan bersama Pegawai-pegawai Utama universiti diketuai Naib Canselor, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif.

Dalam pertemuan tersebut, beliau berkongsi tentang keperluan pengurusan universiti untuk meningkatkan motivasi kepada pensyarah muda khususnya agar mereka mempunyai semangat tinggi dalam menggalas tugas mendidik dan melakukan pelbagai penyelidikan dan inovasi kepada universiti.

“Turun padang dan dengar isi hati dan pandangan para pensyarah muda, dan beri penjelasan kepada mereka bahawa skim perjawatan sebagai tenaga pengajar yang disandang mereka adalah skim perjawatan yang terbaik kerana peluang kenaikan pangkat yang luas berbanding skim perjawatan lain,” katanya.

Beliau juga menyeru agar universiti menggiatkan usaha meningkatkan daya keusahawanan para pelajar agar mereka mampu menjadi pencipta kerja selepas tamat pengajian.

“Salah satu usaha adalah dengan menjemput agensi-agensi kerajaan yang memberi bantuan dana dalam perniagaan dan keusahawanan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan sebagainya untuk memberi penerangan kepada para pelajar sebagai platform untuk memulakan perniagaan kelak,” ujar beliau.

 Terdahulu, Tan Sri Noorul berkesempatan meluangkan masa bersama 14 pensyarah muda UMS dalam sesi santai “Jamming With KSU” di Hotel Pacific Sutera Harbour, semalam.

Dalam sesi tersebut, beliau menjelaskan peranan pensyarah dalam agenda pembangunan negara serta keperluan pensyarah untuk menjadi role model kepada pelajar, serta menyarankan agar ahli-ahli akademik memaksimakan penggunaan media sosial untuk tujuan perkongsian ilmu, idea dan pelbagai isu semasa terutamanya dalam era revolusi industri 4.0.

JUMAAT, 8 SEPTEMBER – Pencapaian sukan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa melalui penglibatan atlet-atlet dalam kalangan pelajar UMS yang mewakili negara ke beberapa kejohanan peringkat antarabangsa.

Terbaru, tiga atlet wanita UMS berjaya mengharumkan nama negara apabila masing-masing menyumbang pingat gangsa buat kontinjen negara dalam temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mereka adalah Fathin Faqihah Yusuf, pelajar tahun dua Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS dalam acara olahraga 4 x 400 meter, selain Christina Edris, pelajar tahun tiga FPP dan Dayang Anak Maggie, pelajar pascasiswazah FPP yang turut menyumbang gangsa dalam acara ragbi wanita.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr D Kamarudin D Mudin berkata, dengan kemudahan sukan di UMS serta usaha membudayakan sukan dalam kalangan pelajar terus digiatkan, UMS mampu melahirkan lebih ramai lagi atlet cemerlang seperti mereka.

“UMS mempunyai padang bola sepak “Artificial Turf”, gelanggang berbumbung UMS Arena, gelanggang bola tampar, gelanggang tenis dan lain-lain lagi.

“Kemudahan ini juga merupakan ruang latihan bagi pelajar ‘senior’ di UMS yang telah berjaya mengharumkan nama UMS di peringkat kebangsaan dan dunia seperti, kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Sukan SEA, Sukan Universiti Asean dan Sukan Universiti Dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Riadah sempena Minggu Suai Mesra Siswa-Siwi Baharu UMS 2017/2018 di Stadium UMS.

Beliau menambah, program riadah sebegini juga mampu mencetuskan minat dan kesungguhan kepada pelajar untuk beriadah dan bersukan.

“Saya sentiasa menyokong usaha membudayakan bersukan di dalam kampus kerana ia selaras dengan usaha negara untuk bangkit bersama melahirkan ‘The Thinking Athlete’ dalam kalangan pelajar universiti,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Prof. D Kamarudin menyampaikan sijil penghargaan kepada tiga atlet wanita yang mendapat pingat gangsa pada Sukan SEA 2017, serta seorang pelajar tahun satu FPP, JI Fedalliah Clarita Jaimin yang turut mewakili pasukan bola sepak wanita negara di kejohanan Sukan SEA 2017.