RABU, 21 JUN – Persatuan Pelajar Pascasiswazah (PSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil kesempatan dalam keberkatan bulan Ramadan dengan menyantuni golongan anak-anak yatim baru-baru ini.
Program Semarak Bulan Ramadan Bersama Anak Yatim 2017 yang berlangsung di Hotel Tabung Haji, Sembulan itu meraikan seramai 35 anak yatim dari tujuh buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Gudon, SK Melawa, SK Kolombong, SK Inanam 2, SK Pengiran Siti Hafsah, SK Bukit Padang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Likas.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Pusat Pengajian Pascasiswazah, Jakaria Dasan berkata, majlis tersebut dilangsungkan bertujuan untuk mengimarahkan dan menzahirkan bulan Ramadan dengan meraikan golongan anak-anak yatim yang masing-masing berumur lingkungan 7 hingga 17 tahun.
“Ini sekali gus mampu memupuk rasa cinta beramal ibadah menerusi amalan bersedekah, serta membentuk sifat rendah diri dalam kalangan pelajar pascasiswazah,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis itu.
Selain acara berbuka puasa, turut diadakan aktiviti pengagihan barangan sumbangan yang terdiri daripada keperluan harian, dan pemberian duit raya kepada anak-anak yatim sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Kos barangan dan duit raya adalah hasil sumbangan dan derma ikhlas daripada para dermawan yang diusahakan sendiri oleh exco-exco PSA.
“Ini sedikit sebanyak diharap dapat menghiburkan hati golongan kurang bernasib baik ini,” ujar Jakaria.



SELASA, 20 JUN 2017 - Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan (ERDEC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan program kolokium dengan kerjasama University of Westminster dan Texas Tech University (TTU) di Hotel Grand Borneo, baru-baru ini.
SELASA, 20 JUN – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) terus menggiatkan inisiatif dalam memberikan khidmat masyarakat pelbagai bentuk kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan penganjuran Majlis Berbuka Puasa Bersama Persatuan Berkerusi Roda Kota Kinabalu (Peroda) baru-baru ini.
ISNIN, 19 JUN - Elakkan kontroversi, teguhkan integriti menjadi antara perkara yang ditekankan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. D. Kamarudin D. Mudin yang baru memulakan tugas sebagai Naib Canselor hari ini.
ISNIN, 19 JUN - Majlis Profesor Negara (MPN), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan mesyuarat pertamanya di bawah Kluster UMS, baru-baru ini.