Forum ilmiah “Red Ribbon Talk 2025” yang dianjurkan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) baru-baru ini menjadi platform terbaik untuk advokasi isu sosial masyarakat dalam kalangan belia khususnya pelajar universiti.

Forum tersebut yang mengupas dua isu sosial yang serius, saling berkait dan menarik perhatian masyarakat iaitu LGBT dan HIV/AIDS menghimpunkan ahli panel dari pelbagai latar belakang bidang dan agensi bagi membincangkan isu tersebut dari perspektif sosial, kesihatan dan agama.

Dekan FSSK, Prof. Dr. Asmady Idris dalam ucapan aluannya sempena program tersebut menekankan penganjuran program itu tepat pada masanya, lebih-lebih lagi apabila negeri Sabah telah disenaraikan sebagai negeri ketiga tertinggi di Malaysia yang mencatatkan kes baharu HIV, iaitu sebanyak 344 kes (10.8 peratus) daripada keseluruhan 3,185 kes yang dilaporkan pada tahun 2024.

“Meskipun terdapat penurunan dari segi jumlah kes berbanding tahun-tahun sebelumnya, angka yang dikongsikan dalam Dewan Negara pada Mac 2025 ini membimbangkan dan memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

“Justeru itu, usaha ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan para pelajar yang juga berperanan sebagai duta UMS untuk menyebarkan maklumat dan kefahaman kepada rakan sebaya, ahli keluarga serta masyarakat secara umum berkait HIV/AIDS dan LGBT,” katanya.

Sementara itu, Ketua JHEP UMS, Azmi Jumat ketika membacakan teks ucapan perasmian penutupan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin berkata, isu LGBT dan HIV/AIDS bukan sekadar isu peribadi mahupun kesihatan malah merupakan cabaran yang merentas disiplin dan memerlukan perhatian serius pelbagai pemegang taruh serta perspektif termasuklah agama, undang-undang, psikologi, pendidikan dan hak asasi.

“Meskipun dasar di Malaysia dan nilai agama kita menolak perlakuan LGBT, pendekatan yang kita ambil harus bersifat berhikmah, mendidik dan penuh empati, selain tidak mendiskriminasi tetapi perlu usaha ke arah membimbing mereka kembali ke jalan yang lebih sejahtera, sihat dan bermaruah.

“Forum seperti ini adalah satu langkah penting dalam membina kefahaman yang lebih mendalam dan memecahkan stigma serta salah faham terhadap kedua-dua isu ini.

“Justeru, saya berharap siswa-siswi dapat mengambil manfaat daripada perkongsian para ahli panel yang pakar dalam bidang masing-masing dan menjadikan perbincangan ini sebagai asas untuk tindakan yang lebih proaktif di peringkat kampus dan masyarakat,” ujar beliau.

Antara ahli panel yang terlibat dalam forum tersebut Ketua Program Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UMS, Prof. Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud; Rev. Fr. Peter Abas dari Stella Maris Catholic Church; Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam UMS, Dr. Mohd Solleh Abd Razak; Brother Yap Por Chik dari Mettirayama Buddhist Temple; Pegawai Kaunseling HIV, Klinik Kesihatan Menggatal, Wennie Veronica Bian; Pensyarah Kanan FSSK, Dr. Trixie M Tangit; dan Prep Navigator, JEJAKA, Adzrin Mumin.

 

Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal (PPPH) telah menganjurkan Sambutan Hari Keselamatan Makanan 2025 baru-baru ini sebagai usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai pentingnya amalan keselamatan makanan dan kepatuhan kepada pensijilan halal serta piawaian kesihatan makanan di Malaysia.

Bertemakan "Food Safety: Science in Action", program dengan kerjasama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Persatuan Pascasiswazah FSMP itu telah menarik kehadiran seramai 151 orang pelawat, termasuk pengusaha makanan rumah pelajar universiti, wakil agensi kerajaan serta pelajar sekolah dari sekitar Kota Kinabalu.

Menurut Pengarah PPPH, Dr. Mohd Hazim Mohd Yusop, sambutan tahun ini memberi tumpuan kepada pendekatan pendidikan berasaskan sains dan bukti dalam menyampaikan mesej keselamatan makanan kepada semua lapisan masyarakat.

“Gabungan aktiviti ceramah bersama pakar industri dan aktiviti interaktif untuk pelajar sekolah dilihat sebagai pendekatan holistik yang mampu memperluas impak kesedaran keselamatan makanan.

“Sambutan ini juga adalah platform penting dalam menjalin kerjasama antara UMS, agensi kerajaan dan masyarakat setempat dalam usaha memperkukuh kefahaman serta amalan keselamatan makanan secara menyeluruh dan inklusif.

“Ini sejajar dengan tema program yang menekankan peranan sains dalam menjamin keselamatan makanan untuk semua,” katanya.

Sebanyak empat sesi ceramah telah disampaikan oleh barisan penceramah profesional dari JKNS dan MUIS Halal Hub, dan mendapat penyertaan dari beberapa institusi pendidikan antaranya dari Pusat Minda Lestari UMS, SK Lok Yuk Likas, SK Mutiara, SMK Lok Yuk, dan SMK Kundasang.

Selain sesi ceramah, turut diadakan empat aktiviti interaktif khusus untuk pelajar sekolah bertujuan memperkenalkan konsep keselamatan makanan secara menyeronokkan dan mudah difaham, iaitu program Esplorasi Mikroorganisma (Melalui Mikroskop), Fridge Smart: Susun Elak Kuman, Tangan Bersih vs Tangan Kotor, dan Kuiz Keselamatan Makanan.

 

Program Food Festival 2025 (FoodFest ’25) mampu mengetengahkan para pelajar di Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkaitan inovasi produk makanan dan meneroka cabaran sebenar dalam industri makanan.

Bertemakan “Taste the Future of Flavour”, program itu menghimpunkan pelbagai aktiviti yang menyatukan aspek pembelajaran, penyelidikan dan keterlibatan industri.

Antaranya, sejumlah 140 pelajar terlibat dalam pertandingan pameran produk makanan, merangkumi 64 pelajar bagi pertandingan Food Product Development, iaitu para pelajar ditugaskan mencipta suatu produk makanan baharu berasaskan buah-buahan tropika.

Manakala 76 pelajar terlibat dalam pertandingan pameran produk inovasi bertemakan “Innovation for Sustainable Food System”, yang memberi peluang untuk meneroka cabaran sebenar dalam industri makanan, serta menghasilkan inovasi yang menyumbang kepada sistem makanan yang lebih mampan dan lestari.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Haji Mohd. Arif dalam ucapan sempena perasmian program tersebut berkata, pelaksanaan FoodFest’25 yang mempamerkan produk inovasi berasaskan sumber tempatan membuktikan peranan penting universiti dalam menghubungkan ilmu, penyelidikan dan teknologi kepada pasaran.

Katanya, usaha itu selari dengan hasrat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah yang sentiasa menggalakkan inisiatif inovasi makanan yang bersifat lestari, berimpak kepada ekonomi luar bandar, dan membina komuniti yang lebih berdaya saing.

“Saya amat berbesar hati melihat usaha universiti seperti UMS yang bukan sahaja melahirkan graduan berkualiti, tetapi turut memperkasa ekosistem makanan yang mampan dan berinovasi.

“Maka, pendekatan kolaboratif antara universiti, industri dan komuniti adalah sangat dialu-alukan bagi membina jaringan nilai tambah yang berimpak tinggi,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakil, Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Harun Durabi.

Tambah beliau, usaha itu turut dilihat sebagai satu landasan strategik yang bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan modal insan, tetapi juga memperkukuh daya saing produk makanan negara di peringkat serantau.

Terdahulu, Dekan FSMP, Prof. Ts. Dr. Hasmadi Mamat ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, program yang merupakan inisiatif tahunan FSMP itu telah mendapat sokongan dari pelbagai pihak industri.

“Antaranya Sabah Durian and Tropical Fruit Planters Association (MaSDa), Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Adabi Sabah Distribution, Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Kumpulan BTC Berhad (BTC), dan Shangrila Rasa Ria Resort.

“Adalah menjadi hasrat UMS untuk memastikan jalinan hubungan erat bersama rakan industri bagi membantu melahirkan pelbagai produk berinovatif, selain membantu mencapai hasrat kerajaan menghasilkan produk yang lebih mampan melalui Penyelidikan & Pembangunan (R&D) dan inovasi meningkatkan produktiviti dan daya saing industri produk makanan,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Harun turut berkesempatan menyampaikan hadiah kemenangan bagi pertandingan inovasi makanan dan gerai terbaik.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan SGS (Malaysia) Sdn. Bhd., sebuah syarikat perkhidmatan pemeriksaan dan makmal industri minyak dan gas yang terkemuka, hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menjalin kerjasama strategik dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu bagi mengekang hakisan saluran paip minyak mentah.

Majlis menandatangani MoA yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif, Canselori UMS itu disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor UMS, Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree dan Ketua Bahagian Khidmat Minyak dan Gas, SGS Malaysia Sdn. Bhd., Kanthavel Renganathan.

Projek penyelidikan bertajuk “Nitrogen Sources Augmentation of Sulphate-Reducing Bacteria (SRB) for Reduction of Corrosive Hydrogen Sulfide (H₂S) in Crude Oil Pipelines” yang diketuai oleh Ts. Dr. Ahmad Asnawi Mus dari Program Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UMS, menerima pembiayaan IMaP (Industrial Matching Programme) Fasa 2 bernilai hampir RM288,000, iaitu RM260,531 dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan sumbangan SGS sebanyak RM27,100.

Menurut Kasim inisiatif ini mencerminkan jalinan erat antara dunia akademik dan industri dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan negara.

“Kerjasama ini bukan sahaja akan memperkasa penyelesaian saintifik dalam mengurangkan hakisan mikrobiologi, tetapi juga mendorong pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran serta penggunaan bersama kemudahan makmal.

“Pendekatan kolaboratif ini selari dengan model Quintuple Helix yang mendukung agenda Ekonomi MADANI dan menyumbang kepada pembangunan mampan industri tenaga negara,” katanya.

Sementara itu, Kanthavel Renganathan berkata kolaborasi tersebut akan memperkukuh kepakaran SGS dalam penilaian risiko mikrobial dan membuka ruang kepada inovasi baharu yang menyokong operasi lebih selamat serta efisien.

Beliau turut menghargai visi kepimpinan UMS dan komitmen FST dalam membina perkongsian yang berimpak tinggi.

“Penyelidikan ini dijangka memberi manfaat besar kepada industri minyak dan gas menerusi pembangunan penyelesaian lestari bagi menangani cabaran hakisan, sekaligus memperkukuh keselamatan operasi dan integriti aset industri tenaga negara,” katanya.

UMS melalui FST kekal komited memperluas jaringan kerjasama strategik bersama industri, dalam misi memperkukuh daya saing penyelidikan serta pengantarabangsaan universiti.

Turun hadir Dekan FST, Profesor Dr. Jualang Azlan Gansau dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FST, Profesor Ts. Dr. Rodeano Roslee.

 

Sekumpulan lapan pelajar program Pendidikan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpeluang menyertai seminar PAKK antarabangsa dan bengkel pembelajaran digital di Indonesia, baru-baru ini.

Peluang itu disertai mereka melalui program Future Educators Abroad (FEA) anjuran Kelab Pendidikan Awal Kanak-kanak (KePAKK) Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) UMS selama enam hari.

Menurut Ketua Program PAKK UMS, Dr. Juppri Bacotang, program FEA bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang amalan terbaik Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) di Indonesia.

“Antara tempat yang dikunjungi oleh pelajar ialah Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) dan Sekolah Alam Bandung (SAB) di Bandung; dan Universitas Terbuka (UT) di Jakarta.

“Melalui program FEA, pelajar berpeluang melihat sendiri keunikan dan keistimewaan pusat PAKK yang terdapat di Indonesia. Misalnya, di SAB menekankan pembelajaran kanak-kanak yang bebas, seronok dan fleksibel dengan meneroka alam semula jadi di sekeliling mereka,” katanya.

Tambah Juppri, melalui program FEA juga, pelajar dapat membandingkan PAKK antara Malaysia dengan Indonesia dalam aspek kurikulum, pengurusan dan pentadbiran, fasiliti, dan persekitaran.

“Pelajar juga dapat menyertai seminar PAKK antarabangsa dan bengkel media pembelajaran digital yang dijalankan semasa program FEA.

“Kesemua ini memberi banyak pengetahuan kepada pelajar tentang amalan terbaik dan dapatan penyelidikan terkini berkaitan PAKK dari perspektif Indonesia yang boleh diaplikasikan di Malaysia.

“Sepanjang program FEA, pelajar juga terlibat secara aktif yang dapat mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi, pengurusan masa, kolaboratif, keusahawanan, etika, dan tanggungjawab,” ujar beliau.

Tambah Juppri lagi, program FEA merupakan satu platform yang sangat bermakna untuk memperkukuh jaringan antarabangsa dalam bidang PAKK.

“Program ini bukan sahaja memberi nilai tambah dalam aktiviti pelajar, malah membuka ruang kerjasama serantau dalam aspek akademik, penyelidikan, khidmat komuniti yang lebih erat antara UMS dan universiti Indonesia yang terlibat.

“Semoga aktiviti seperti ini dapat diteruskan lagi, bukan hanya di Indonesia, malah melibatkan negara-negara maju yang lain seperti di Singapura, New Zealand, Jepun, Korea, dan Finland. Ini kerana negara-negara tersebut mempunyai amalan dan kualiti PAKK yang terbaik untuk dijadikan sebagai rujukan,” katanya lagi.

Sementara itu, Penasihat KePAKK UMS, Saturia Amiruddin berkata program tersebut merupakan cabaran besar buat pelajar kerana mereka sedang berada pada tahun akhir dan menjalani latihan mengajar.

“Namun program ini dapat dijalankan dengan jayanya hasil daripada doa, usaha dan semangat pelajar yang tidak pernah luntur.

Selain itu wakil pelajar iaitu Sunita George berkata, program itu merupakan pengalaman pertama bagi mereka dalam menganjurkan program bertaraf antarabangsa.

“Banyak kenangan terindah sepanjang kami berada di Indonesia yang dapat kami jadikan tauladan dan iktibar dari segi budaya, sosioekonomi, dan pendidikan.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan memberi sumbangan untuk menjayakan program ini, terutamanya pihak pengurusan FPPS, pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, dan Ino-Max Sdn. Bhd.,” katanya lagi.