JUMAAT, 06 NOVEMBER - Persatuan Mahasiswa Psikologi Pendidikan dan Sukan (PERMAPPS)  Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini berkunjung ke Sekolah Kebangsaan (SK) Lasau Podi, Kota Belud bagi menjayakan program ‘A Step To Success’.

Pengarah program, Siti Haryani Jasni berkata,  aktiviti tersebut antara lain bertujuan  menyebarluaskan pendidikan kepada masayarakat pedalaman di samping sebagai usaha untuk mengembangkan  minat pelajar melalui kaedah teknik latihan dalam kumpulan dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bidang sains, matematik dan bahasa Inggeris.

“Dalam masa yang sama, ia juga melatih mahasiswa untuk turun padang dalam program kemasyarakatan sekali gus memperkasa kemahiran insaniah selain menimba ilmu pengalaman,” katanya ketika dihubungi media.

Haryani berkata, usaha yang dilaksanakan PERMAPPS juga  amat bermakna apatah lagi mereka merupakan wakil pertama dari UMS yang menganjurkan  acara seumpamanya di sekolah tersebut.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu disertai seluruh pelajar SK Lasau dengan dikendalikan 26 ahli PERMAPPS.

Majlis perasmian penutupan disempurnakan Guru Besar sekolah itu, Selip Magaling. –SS

Sumber: PERMAPPS

KHAMIS, 05 NOVEMBER - Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) mengadakan Majlis Penyerahan Tugas Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) bagi Sesi 2015/2016 baru-baru ini.

Majlis yang bermula pada jam 7.30 malam itu telah dihadiri hampir 500 mahasiswa di samping Pengetua KKTM, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin.

Pada malam tersebut, barisan JAKMAS mengangkat ikrar dan berjanji kepada warga kolej untuk melaksanakan lebih banyak program yang membantu mengasah bakat pelajar KKTM.

Dengan mengambil motto ‘Mahasiswa Berilmu, Kepimpinan Bersatu’ mereka turut berjanji akan meneruskan lagi legasi JAKMAS dalam meraih Anugerah JAKMAS Terbaik bagi tahun yang kelima.

Dalam pada itu, Yang Dipertua JAKMAS KKTM, Muhammad Asraf Abu Bakar berkata,  tanggungjawab yang dipikul adalah satu cabaran dan beliau bersama barisan kepimpinan lain akan berusaha sebaik mungkin seiring dengan pengurusan kolej dalam melahirkan mahasiswa KKTM yang berjaya dalam bidang akademik dan kemahiran insaniah.

Dr. Nizam dalam ucapannya juga turut merakamkan syabas dan tahniah kepada barisan kepimpinan JAKMAS yang baharu. -SS

Sumber: Jennyfer Priscillasheal Jonius dan Syafiqa Yusof (KKTM)

RABU, 04 NOVEMBER – Seramai 30 pemimpin pelajar Kolej Kediaman E Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraikan dalam satu majlis penghargaan yang berlangsung di Hotel Avangio Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Ketika merasmikan majlis tersebut, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat berkata nilai kepimpinan yang diterapkan dalam diri siswa-siswa ketika menuntut di universiti akan membawa kebaikan kepada mereka apabila tamat pengajian nanti.

“Pengalaman beraktiviti dan menganjurkan program-program berskala besar akan menambah pengalaman siswa dan siswi, serta melatih dalam aspek pembelajaran berasaskan perkhidmatan yang lebih menjawab kepada tuntutan sistem pendidikan pada abad ke-21,” ujarnya.

Terdahulu, Pengetua Kolej Kediaman E, Ahmad Norazhar Mohd Yatim berkata kerjasama yang diberikan oleh barisan kepimpinan kolej kediaman E layak diberikan pujian.

“Tanpa bantuan dan keringat daripada anda sebagai pemimpin, Kolej Kediaman E tidak akan dikenali sebagai sebuah kolej yang ‘Excellent’ seperti yang kita kecapi pada hari ini. Setiap mereka ini diibaratkan seperti mutiara yang berharga buat pihak kolej, serta sudah tentunya bantuan yang diberikan mereka sangat berguna dan idea-idea diutarakan mampu menambahbaik lagi aspek kepimpinan di kolej ini,” tambahnya.

Pada majlis tersebut, seramai 30 siswa-siswi yang terdiri daripada Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), Majlis Ketua-ketua Blok (MKKB), Majlis Ketua-ketua Kelab (MKKK) dan Pemimpin-pemimpin Harapan Kolej telah diraikan.

Sumber: JAKMAS Kolej Kediaman E

RABU, 04 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Program Sarjana Pengurusan Pendidikan, Fakulti Psikologi dan Pendidikan sekali lagi mengadakan Program Komuniti Science, Technology, Engineering dan Matematics (STEM) Siri II baru-baru ini.

Penyelia program, Dr. Siew Nyet Moi @ Sopiah Abdullah berkata, acara yang bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahim II, dikelolakan 27 pelajar pascasiswazah fakulti berkenaan dengan dibantu lima pelajar prasiswazah jurusan Sains (Matematik/Fizik).

“Pengisian yang dijalankan lebih memfokuskan kepada usaha menggalakkan pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah selain menjana kreativiti dan inovasi serta mengajar teknik komunikasi dan kerjasama melalui aktiviti dalam kumpulan,” katanya ketika dihubungi media.

Ujar beliau, ia juga sebagai usaha untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar luar bandar mengukuhkan pemahaman mengenai STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejurutureaan dan Matematik sekali gus membina keyakinan diri agar memilih bidang tersebut sebagai kerjaya kelak.

“Para peserta program telah menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi serta saling berkongsi idea bagi menghasilkan rekaan yang terbaik dalam setiap aktiviti yang dijalankan, antaranya ialah menara tangki air, jambatan kertas dan Boat-Building Challenge.

”Sebagai tanda penghargaan atas usaha dan penyertaan para peserta, hadiah-hadiah juga disediakan bagi johan, naib johan dan tempat ketiga, manakala hadiah-hadiah saguhati turut disampaikan kepada kumpulan yang tidak menang di samping sebuah hadiah utama untuk johan keseluruhan,” tambah Dr. Siew Nyet Moi lagi.

Program itu yang melibatkan 35 pelajar Tingkatan 4 jurusan Sains Tulen turut dihadiri Pengetua SMK Abdul Rahim II, Annie Sawali. -SS

 

Sumber: Sumber : Fakulti Psikologi dan Pendidikan

ISNIN, 02 NOVEMBER - Susulan Pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri pada 23 Oktober 2015 yang lalu, Universiti Malaysia Sabah turut berdepan dengan pengurangan peruntukan geran. Namun demikian, sebagaimana Universiti Awam yang lain, UMS menerima perkara ini secara positif dan akan menangani situasi ini dengan   inisiatif-inisiatif tersendiri.

UMS telahpun mengalami kesan daripada waran sekatan terhadap geran mengurus kerajaan pada tahun 2015 sebanyak 7.94% daripada geran mengurus tahunan. Pengurangan tersebut telah menuntut UMS untuk menyusun dan merangka semula keutamaan kewangan mengikut keperluan dan menguruskan perbelanjaan secara berhemah dalam situasi yang menekan ini.

Oleh yang demikian, pengalaman pada tahun 2015 itu akan membantu UMS untuk menghadapi kegawatan pada tahun 2016 tanpa menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran serta tanpa mengorbankan kebajikan dan kepentingan pelajar-pelajarnya.

Bagi menghadapi keadaan ini, pihak UMS telah memastikan langkah-langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemah yang sudah mula diterapkan semenjak tahun 2012 diteruskan dengan kajian semula yang lebih teliti. Mengambil kira lokasi UMS yang jauh daripada agensi-agensi pusat dan pemegang taruh seperti Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kewangan,  UMS telah terlebih dahulu menggunakan kad kredit korporat sebagai kaedah pembayaran dan pembelian tiket penerbangan dan penginapan hotel secara atas talian untuk menjamin perbelanjaan berhemah dan ‘value for money’. Langkah yang dimulakan secara menyeluruh sejak tahun 2014 ini telah berjaya mengurangkan perbelanjaan perjalanan di bawah VOT B21000 sebanyak 18.8% berbanding  pada tahun 2014.

UMS telah menjalankan kawal selia yang teratur dalam penggunaan aset secara optimum serta pembelian secara berpusat. Di samping itu, langkah-langkah penjimatan utiliti juga giat dijalankan dan dibudayakan di seluruh kampus UMS selaras dengan gagasan Universiti yang menyokong ‘eco-campus’.

UMS juga tidak membenarkan aktiviti keraian secara berlebihan sebaliknya menumpukan kepada majlis-majlis ilmu yang lebih bersesuaian serta  menggunakan semua fasiliti dalaman sepenuhnya.

Selaras dengan Polisi Penjanaan Pendapatan UMS yang telah dilancarkan pada tahun 2013, semua Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) adalah digalakkan untuk menjana pendapatan. Usaha ini sangat penting pada masa keadaan ekonomi semasa sudah tidak memungkinkan semua aktiviti di peringkat PTJ dilaksanakan dengan hanya bergantung kepada peruntukan geran mengurus kerajaan semata-mata.

UMS juga akur dengan situasi semasa yang mana yuran pengajian pelajar di peringkat prasiswazah akan kekal tanpa kenaikan. Menyedari hakikat ini UMS telah mengambil langkah mengkaji semula yuran pelajar antarabangsa dan pascasiswazah. UMS turut mempergiat usaha menerokai peluang-peluang untuk menambahkan bilangan pelajar antarabangsa  daripada negara-negara yang mempunyai akses langsung ke Sabah seperti China, Brunei, Indonesia dan Timor-Leste. Pada masa yang sama UMS turut menggunakan kemudahan yang ada di negara rakan kumpulan BIMP-EAGA, yang memerlukan kekuatan UMS sebagai badan akademia. Langkah ini  boleh menjadi serampang dua mata bukan sahaja untuk menyumbang dalam bidang akademik semata-mata malah usahasama lain bersifat interpreneural dan perpindahan teknologi.

Aktiviti pelaburan dan penjanaan pendapatan UMS turut disokong oleh anak syarikat di bawah universiti iaitu UMS-Invest Holdings. Anak syarikat ini telah mula menunjukkan pertumbuhan positif dalam tempoh dua tahun bagi tahun 2013 dan 2014. UMS-Invest turut mempelbagaikan penglibatan perniagaan bukan sahaja dalam bidang pendidikan bersifat komersial tetapi juga di dalam bidang lain seperti bekalan, perkhidmatan dan kerja.

Penubuhan Unit Endowmen Universiti di bawah Pusat Hubungan Industri dan Pejabat Alumni UMS merupakan dua lagi inisiatif utama universiti untuk memastikan kelestarian kewangan adalah terjamin. Walaupun baru bermula namun dengan usaha berterusan kedua-dua sayap penting ini akan mampu membantu memperkukuhkan kekuatan kewangan UMS.

UMS akan menerokai lebih banyak usaha lain bagi memastikan ia kekal relevan dan melonjak naik dalam keadaan kekangan kewangan. Antaranya ialah  memastikan  pengurusan kekayaan atau ‘wealth management’ yang berkesan diterapkan di setiap peringkat dan lapisan warga universiti. Usaha ini adalah bagi mengelakkan berlaku  ‘poverty mentality’ yang mungkin akan membantutkan usaha UMS untuk lebih maju walaupun berdepan dengan kekangan kewangan.   

Pengurangan bajet ini sudah tentu akan menjadi suatu cabaran besar bagi UMS namun pembudayaan belanja berhemah dan penjanaan pendapatan yang sudah lebih dulu diterapkan diharap akan membantu pihak UMS agar lebih berdaya tahan.