UMS naik pangkat 31KHAMIS, 11 JUN – Seramai 31 kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraikan pada Majlis Meraikan dan Penyerahan Surat Tawaran Kenaikan Pangkat di Cafe D’Sireh, Bangunan Canselori UMS, hari ini.
 
Jumlah tersebut merangkumi satu penerima bagi jawatan Profesor Gred Khas B VK6, 10 jawatan Profesor Madya DS54 dan masing-masing dua penerima untuk setiap jawatan Timbalan Pendaftar N48, Timbalan Ketua Pegawai Sains C48, Penolong Pendaftar Kanan N44, Pegawai Sains Kanan C44, Pegawai Teknologi Maklumat Kanan F44 dan Penolong Bendahari Kanan W44.
 
Turut dicatatkan satu penerima jawatan bagi Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan S44, Pegawai Psikologi Kanan S44, Pustakawan Kanan S44 dan Pegawai Penerbitan Kanan N44 selain empat penerima untuk jawatan Setiausaha Pejabat Kanan gred N32.
 
Surat tawaran disampaikan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah.
 
Terdahulu, Datuk Harun dalam ucapannya berkata,pihak pengurusan universiti sentiasa memastikan proses kenaikan pangkat yang dilaksanakan sentiasa telus dan saksama.
 
“Saya berharap agar kenaikan pangkat yang diperolehi pada hari ini dijadikan sebagai batu loncatan untuk terus berusaha gigih untuk kemajuan kerjaya di masa hadapan seterusnya untuk kecemerlangan Universiti,” katanya.
 
Beliau turut berpesan agar berita gembira itu perlu dikongsikan bersama keluarga masing-masing.
 
“Luangkanlah masa untuk bersama keluarga sempena kenaikan ini kerana mereka juga tunjang disebalik kejayaan yang dikecapi,” ujarnya sambil menyarankan mereka membawa keluarga keluar makan di tempat yang luar daripada kebiasaan.
 
Hadir sama, Pemangku Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad. –SS

 
Bahagian Media dan Citra
Foto: Ernest Berinus

ho chi min program masyarakatKHAMIS,  11 JUN –  Seramai 23 ahli Persatuan Pelajar Pusat Pengajian Pascasiswazah dan kakitangan Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan program khidmat masyarakat di Ho Chi Minh, Vietnam, baru-baru ini.

Timbalan Dekan (Kebajikan Pelajar) Pusat Pengajian Pascasiswazah, Prof. Madya Dr. Amran Hj. Harun berkata, beberapa tempat dipilih sebagai lokasi program kemasyarakatan tersebut, antaranya Masjid Al An War, Madrasah An Nur dan Madrasah As Salam.

“Pada program itu kita juga mengadakan beberapa aktiviti termasuk pengagihan barang keperluan dan juga sumbangan kewangan kepada komuniti di lokasi berkenaan,” katanya yang mewakili rombongan UMS menyampaikan sumbangan tersebut.

Menurut beliau, program itu antara lain bertujuan meningkatkan hubungan silaturahim serta ikatan persaudaraan sesama Islam.

“Program berakhir dengan lawatan ke tempat bersejarah di Chu Tunnel di daerah Vietnam,” ujarnya lagi.

Turut mengiringi rombongan ialah Penolong Pendaftar Pusat Pengajian Pascasiswazah, Elizabeth Malanjun dan Mohd. Nazrie Petir dari Pusat Islam UMS. –SM


Bahagian Media dan Citra
Sumber: Pusat Pengajian Pascasiswazah
 

Prof Dr FelixKHAMIS, 11 JUN – Banjir lumpur dikhuatiri akan melanda sekiranya gegaran dan runtuhan berterusan di Gunung Kinabalu.

Perkara itu dinyatakan Pensyarah Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Felix Tongkul ketika memberi respon terhadap kekecohan laman sosial mengenai bunyi dentuman batu-batuan yang kedengaran berjatuhan dari gunung tertinggi Asia Tenggara itu.

Katanya, tanah runtuh yang berlaku boleh menyebabkan aliran air sungai tersumbat dan lama-kelamaan air bertakung seterusnya membentuk empangan sementara yang akan menghasilkan banjir lumpur apabila ia pecah.

“Keadaan ini mengundang bahaya kepada penduduk yang tinggal di tepi sungai serta kawasan sekitarnya.

“Justeru, peringatan ini bukan untuk menakutkan penduduk di sana, tetapi  sebagai satu peringatan agar para penduduk sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi UMS.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Prof. Dr. Felix dijangka akan mengulas lebih lanjut mengenai kejadian gempa bumi dan impaknya kepada Sabah dalam temubual secara langsung di RTM TVi  saluran Astro 180 pada pukul  3.00 petang ini. –SS


Bahagian Media dan Citra



     
 

Kor SISPA Latihan MenyelmatRABU, 10 JUN – Bagi mempersiapkan mahasiswa dengan pengetahuan teknik mencari dan menyelamat, Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mengadakan Kem Latihan Medan di Binsuluk Beach Resort, Membakut.

Menurut Timbalan Komandan Kor SISPA UMS, Lt. Kol. (PA) Dr. Mohamad Nizam Nazarudin, kem yang disertai 96 pelajar semester 2 dan 4 itu didedahkan dengan pelbagai aktiviti bagi membentuk pasukan penyelamat yang sentiasa bersiap sedia dan cekap dalam kalangan pelajar.

“Kem ini telah memberi pendedahan kepada mereka tentang penggunaan set radio komunikasi dan alat berteknologi tinggi seperti penggunaan Global Positioning System (GPS) dan Government Integrated Radio Network (GIRN),” katanya ketika ditemui media.

Katanya, latihan tersebut turut menerapkan budaya kerja berkumpulan yang menitikberatkan aspek kerjasama dan interaksi berkesan.

Dr. Nizam berkata, kem latihan itu juga adalah sebagai sebahagian pra-syarat wajib bagi silibus  pembelajaran dalam Kor SISPA dengan menggabungkan kemahiran insaniah dan teori serta praktikal semasa latihan.

“Pelajar diberikan tugasan mencari dan menyelamat dalam hutan dalam tempoh enam jam meliputi jarak 2.5 kilometer bagi empat check point yang pada setiapnya peserta diberi tugasan tambahan melibatkan kemahiran menyelamat kecemasan dan rawatan awal dengan sumber yang terhad seperti mendirikan khemah sementara dan menyediakan masakan medan mengikut kreativiti masing-masing,” tambahnya.

Jelasnya, para pelajar juga didedahkan asas teknik menyelamat di air selain mengenal pasti sumber hasil hutan yang bermanfaat untuk digunakan sebagai alat ganti menyelamat di belantara.

Kem latihan selama tiga hari itu diselenggara sepenuhnya pegawai bertauliah dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah.

Majlis penutupannya disempurnakan Ketua Bahagian Pengurusan Angkatan JPAM Sabah, Mejar (PA) Erwin@Elverowen Kinsui. -SS


Bahagian Media dan Citra
Sumber: Kor SISPA  
 

TNC lawat FKALRABU, 10 JUN - Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. D. Kamarudin D. Mudin mengadakan lawatan rasminya yang pertama ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), hari ini.

Ketika berada di kampus berkenaan, beliau mengadakan perjumpaan dengan pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) yang diketuai Dekannya, Prof. Madya Dr. Syed Nasirin Syed Zainol Abidin.

Perbincangan dua hala yang diadakan di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Aras 11, Bangunan Menara itu berjalan dengan lancar sambil pensyarah mengutarakan pelbagai isu yang berkaitan pembelajaran dan pengajaran.

Turut dibincangkan isu-isu berkaitan akademik, latihan industri dan kebajikan pensyarah FKAL.

Dr. Kamarudin juga meminta FKAL mengemaskini laman web mereka bagi memudahkan pelajar baru yang berminat memasuki UMS mendapat maklumat yang tepat dan terkini mengenai fakulti tersebut.

Pada masa sama, beliau berharap pensyarah akan membantu dekan mengadakan promosi ke beberapa universiti luar negara untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian tinggi mereka ke UMS khususnya Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan.

“Jika ada sebarang masalah berkaitan pentadbiran termasuk perjawatan, pihak FKAL boleh mengadakan dialog dengan Jabatan Pendaftar supaya lebih banyak maklumat yang terkini dapat diperolehi,“ katanya. –SS


Bahagian Media dan Citra
Sumber: Azri Onn