Ketabahan dan kecemerlangan akademik mengangkat Siti Noorsarah Jeinia, graduan Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial dengan Kepujian ke pentas utama apabila beliau menerima Hadiah Zainal Abidin Bador pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-27.

Pelajar Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) itu menamatkan pengajian dengan PNGK 3.79, sekali gus melayakkan beliau menerima pengiktirafan berprestij sebagai pelajar terbaik dalam kategorinya.

Selain pencapaian akademik yang membanggakan, beliau turut aktif menyertai program dan aktiviti anjuran fakulti, termasuk program kemasyarakatan dan latihan praktikal yang menekankan nilai empati serta kemahiran kerja sosial.

Penglibatan ini tidak hanya meningkatkan kompetensinya, malah membantu membina keyakinan dirinya sebagai pelajar Orang Kurang Upaya Fizikal yang mampu bersaing dengan mahasiswa lain.

Sepanjang menjalani pengajian di UMS, beliau memperlihatkan komitmen luar biasa dalam mengimbangi cabaran fizikal dengan tuntutan akademik.

Menurutnya, sokongan universiti memainkan peranan besar dalam memastikan proses pembelajarannya berjalan lancar.

“Dari segi pengangkutan, pihak universiti menyediakan kemudahan yang sesuai untuk pelajar OKU. Dari segi yuran pula, jumlah yang dikenakan sangat berpatutan dan mengambil kira keperluan pelajar OKU,” ujarnya.

“Selain itu, UMS juga mempertimbangkan beberapa keperluan seperti masa tambahan semasa peperiksaan, penggunaan lif, serta sokongan lain yang memudahkan pergerakan dan proses pembelajaran kami,” tambahnya lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa kekuatan utamanya datang daripada sokongan keluarga yang sentiasa mendorongnya sepanjang tempoh pengajian.

“Yang paling pasti adalah ibu bapa. Mereka banyak memberi sokongan dan dorongan untuk saya terus belajar, dan melihat adik-beradik saya melanjutkan pelajaran membuat saya lebih bersemangat untuk berjaya,” ujarnya

Kejayaan beliau mencerminkan kemampuan pelajar OKU untuk terus maju dalam bidang akademik, terutama apabila diberikan akses kepada kemudahan inklusif, suasana pembelajaran kondusif dan sokongan moral yang berterusan.

Pencapaian ini juga membuktikan bahawa pendidikan berkualiti dapat dicapai oleh semua kelompok masyarakat tanpa mengira kekangan fizikal

Dengan kejayaan yang diraih, beliau berharap dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain, khususnya golongan OKU, agar terus yakin dengan potensi diri dan tidak berputus asa dalam mengejar Impian.

UMS pula kekal komited memperkukuh ekosistem pembelajaran inklusif dalam usaha melahirkan graduan yang berdaya saing, berdedikasi dan berjiwa insan.

 

(artikel disediakan oleh Safaruddin, Pelajar Program Kewartawanan Fakulti Dakwa dan Komunikasi, UIN Alauddin Makassar, Indonesia yang sedang menjalani latihan industri di UMS)

 

Usaha memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terus dipertingkatkan melalui program STEM Speaker Series 2025 anjuran U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang menampilkan ceramah bertajuk “Seronoknya Kimia! 5 Perkara Yang Buat Anda Kagum”.

Ceramah tersebut disampaikan oleh Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Mohd. Sani Sarjadi di Kinabatangan Hall, Sabah International Convention Centre (SICC), bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (PBAKK) 2025 baru-baru ini.

Matlamat utama ceramah adalah untuk memberi penekanan kepada usaha menjadikan kimia lebih dekat kepada masyarakat dengan menghubungkannya kepada kehidupan seharian, sekali gus meningkatkan kefahaman awam terhadap konsep asas STEM.

Menurut Sani, kimia bukanlah sesuatu yang abstrak atau sukar, tetapi ilmu yang berperanan dalam hampir setiap aspek kehidupan.

“Kimia bukan sesuatu yang rumit, ia berlaku di mana-mana tanpa kita sedar, dan apabila kita memahaminya, kita akan lebih menghargai dunia di sekeliling,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa fenomena harian seperti air mendidih, aroma kopi, warna merah tomato dan rasa pedas cili merupakan hasil tindak balas kimia di peringkat molekul.

“Pendekatan ini membantu peserta menghubungkan konsep kimia dengan pengalaman harian, seterusnya menjadikan ilmu tersebut lebih mudah difahami.

“Pendedahan awal yang menyeronokkan dapat memupuk minat kanak-kanak terhadap bidang STEM.

“Dapur merupakan ruang pembelajaran kimia paling dekat dengan masyarakat, proses memasak seperti penghasilan karbon dioksida daripada serbuk penaik, pigmen likopena dalam tomato, capsaicin dalam cili dan pembentukan gluten dalam roti merupakan contoh jelas tindak balas kimia yang berlaku secara semula jadi.

“Bila kita mula menghargai apa yang berlaku dalam periuk dan kuali, kita sebenarnya sedang belajar kimia tanpa sedar,” ujarnya.

Selain itu, Sani turut menunjukkan demonstrasi perubahan warna penanda pH menggunakan kubis ungu, pigmen tumbuhan serta tindak balas cahaya glow stick bagi menarik minat peserta.

Demonstrasi visual tersebut bukan sahaja memudahkan pemahaman konsep kimia, tetapi juga menggalakkan pelajar berfikir kritis, bertanya soalan dan berani mencuba eksperimen sendiri.

Beliau turut mengulas isu mikroplastik, di mana hanya sembilan peratus plastik global dikitar semula, yang menurutnya memerlukan penyelesaian melalui inovasi kimia.

“Cabaran ini memerlukan penyelesaian daripada perspektif kimia, kerana kimia juga kunci untuk menyelamatkan alam sekitar kita,” ujarnya.

 Sani turut berkongsi beberapa eksperimen mudah dan selamat yang boleh dilakukan di rumah seperti penanda pH kubis ungu, lava lamp buatan sendiri dan belon baking soda.

“Aktiviti ini mampu merangsang minat awal kanak-kanak terhadap sains melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan.

“Bila kanak-kanak seronok bereksperimen, mereka bukan sekadar bermain tetapi mereka sedang membina masa depan dalam STEM,” jelasnya.

Ceramah tersebut secara keseluruhannya menunjukkan bahawa kimia merupakan elemen penting yang membentuk kehidupan, teknologi dan masa depan, serta mampu menjadi pintu masuk kepada pemahaman STEM yang lebih luas.

 

Bagaimana seorang pelajar universiti mampu meneruskan pengajian setelah kehilangan kedua-dua tangan dan kakinya akibat komplikasi kesihatan yang tidak dijangka?

Itulah persoalan yang timbul kepada seorang graduan UMS yang tamat pengajian secara Aegrotat , DK Siti Mashitah AK Sulaiman, 24, yang tetap memilih untuk kembali meneruskan pengajiannya walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran kesihatan.

Keadaan kesihatan Mashitah mula merosot pada tahun 2023 apabila beliau mengalami sakit perut yang dianggap ringan pada mulanya.

Beliau dirujuk ke Hospital Beaufort dan Hospital Sipitang serta beberapa klinik swasta sebelum didiagnosis dengan jangkitan kuman yang kritikal akibat komplikasi apendiks.

Setelah berada dalam koma hampir sebulan, beliau akhirnya diamputasi pada bulan Ogos, tahun yang sama.

“Sehingga kini, saya masih mengalami phantom pain, kesakitan pada anggota yang telah tiada sehingga mengganggu aktiviti harian saya,” katanya.

Beliau juga sukar berkomunikasi dengan baik akibat pernah mengalami strok.

‘Dengan keadaan fizikal saya, cabaran mobiliti di universiti menjadi antara kesukaran terbesar yang perlu saya hadapi,” katanya lagi.

“Walaupun begitu, pihak UMS banyak membantu saya dari aspek penyediaan fasiliti termasuklah mewujudkan kelab Buddies Mahasiswa OKU.

Rakan sekelasnya merangkap buddie, Fadhilah Yusof, 23, berkata DK Siti Mashitah lebih mesra dikenali sebagai DK dan merupakan seorang yang sangat peramah dan ceria.

Dk Siti Mashitah dan Fadhilah adalah antara 654 graduan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan yang menerima segulung Ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UMS ke-27.

Menyentuh cabaran fizikal dan kesakitan berterusan, beliau tetap bercita-cita untuk terus mencapai kejayaan demi keluarganya.

Sehingga kini, beliau berpegang kepada matlamat untuk sentiasa berfikiran positif dan membetulkan niat dalam apa juga yang dilakukan.

Kisah Mashitah ini membuktikan yang semangat, sokongan dan ilmu boleh menjadi pendorong utama untuk terus maju walaupun berdepan cabaran yang paling sukar.

 

(artikel disediakan oleh Rachel Annatasha Hilarius, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)

 

Walaupun baru dibenarkan keluar hospital dua hari sebelumnya, Fadhilah Rahman Mohd Sahidin, 23, tetap bersemangat menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kali Ke-27.

Anak kelahiran Semporna itu terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa menjalani latihan ilmiah yang mengakibatkan tulang pada bahagian paha beliau patah, manakala tulang tangan kiri pula retak.

Fadhilah tidak sedarkan diri selama dua minggu di pusat rawatan intensif Hospital Semporna.

Setelah sedar, Fadhilah mengambil masa dua minggu lagi untuk menyesuaikan diri akibat kesakitan dan trauma yang dialami.

Fadhilah berkata beliau sangat bersyukur kerana masih berpeluang untuk hadir dalam Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-27, walaupun berhadapan dengan ujian yang berat pada saat akhir pengajiannya.

“Bersyukur sebab saya berjaya juga tamatkan pengajian walaupun banyak ujian yang saya tempuhi.

“Walaupun ayah tidak dapat bersama kerana sedang menjalani rawatan di hospital, saya rasa bersyukur kerana dapat hadir sidang konvokesyen,” tambahnya lagi.

Fadhilah turut berharap agar sembuh dalam masa yang terdekat supaya dapat meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya.

Rosminah Daalundong, 49, ibu kepada Fadhilah turut menyampaikan penghargaannya kepada dua orang pensyarah yang sentiasa membantu anaknya untuk menamatkan pengajian sehingga mampu menggulung  Ijazah Sarjana Muda Sosiologi dan Antropologi dengan Kepujian, sepanjang tempoh pemulihan.

“Syukur Alhamdulliah ada Dr Jalihah dan Dr Sabariah tolong dia (Fadhilah), sampai dia tamat pengajian,” katanya.

Fadhilah merupakan antara 654 graduan dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan yang berjaya menamatkan pengajian ijazah Sarjana Muda pada tahun ini.

 

(artikel disediakan oleh Nadhirah Humaira Binti Muhammad Nahji, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)

 

Perjalanan seorang guru dari Tawau, Erni Suliza Basri, menjadi inspirasi apabila beliau berjaya menggengam segulung Ijazah Sarjana dalam pengajian Sarjana Pengurusan Pendidikan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), meskipun berdepan pelbagai cabaran sebagai pelajar separuh masa.

Erni Suliza yang lebih mesra dipanggil sebagai Teacher Erni oleh anak muridnya di Sekolah Kebangsaan St. Patrick Tawau berkongsi bagaimana beliau berulang-alik antara Tawau dan Kota Kinabalu hampir setiap minggu demi menghadiri kelas hujung minggu di UMS.

“Cabaran utama saya ialah masa. Saya seorang guru dan pada masa yang sama saya menyambung pengajian, ada minggu tertentu saya terpaksa terbang ke Kota Kinabalu dua hingga tiga kali sebulan,” katanya sambil mengenang komitmen yang perlu diimbangi.

Beliau bekerjasama dengan pihak pentadbir sekolah untuk menyelaraskan jadual dan tugasan agar beliau dapat meninggalkan sekolah lebih awal bagi mengejar penerbangan ke Kota Kinabalu.

Namun di sebalik pengorbanan itu, terdapat satu sumber kekuatan yang tidak pernah pudar iaitu ibu beliau. Menahan sebak, Erni menyifatkan wanita itu sebagai inspirasi hidupnya.

“Apa sahaja yang saya lakukan adalah untuk ibu saya, ibu saya bukan orang senang dan tidak berpendidikan tinggi tetapi beliau sentiasa berusaha untuk kami adik-beradik.

“Ibu berkata biarlah dia kekurangan, asalkan kami adik beradik berjaya,” ujarnya sambil menahan air mata.

Selain itu, anak murid Erni turut menjadi pendorong utama beliau. Setiap minggu sebelum berangkat ke kelas di UMS beliau akan memohon maaf kepada muridnya kerana terpaksa pulang awal untuk mengejar penerbangan. Namun reaksi muridnya sering menyentuh hati.

“Dorang terkejut, teacher pun belajar macam kami?” katanya sambil tersenyum.

Bagi Erni, kecintaan terhadap ilmu membuatkan segala penat lelah tidak terasa dan berasa teruja setiap kali menghadiri kelas.

Dalam perjalanan kerjayanya, Erni pernah menerima beberapa pengiktirafan termasuk Tokoh Anti Dadah peringkat kebangsaan. Namun bagi beliau, pencapaian terbesar adalah menjadi guru yang lebih baik setiap hari.

Selepas menamatkan sarjananya, Erni kini merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD di UMS, institusi yang dekat di hatinya.

“Saya bukan saja jatuh cinta dengan bidang ilmu, tapi dengan para pensyarah dan komuniti UMS sendiri. Walaupun kami pelajar separuh masa, hubungan kami rapat seperti keluarga,” katanya.

Halaman 1 dari 857